X Close

Bilangan Doktor Di Malaysia Masih Kurang

Diterbitkan: Jumaat 23 Apr, 2010

PUTRAJAYA: Jumlah doktor terlatih di Malaysia masih berkurangan, sekaligus tidak memenuhi standard nisbah yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata nisbah yang ditetapkan oleh WHO ialah 1:600 manakala bilangan doktor di negara ini masih jauh lebih rendah.

Bagaimanapun katanya nisbah jumlah doktor berbanding penduduk Malaysia dijangka bertambah baik contohnya tahun lepas ia merekodkan 1:905 iaitu jauh lebih tinggi berbanding tahun 2000 yang merekodkan 1:1,940.

"Kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan telah merangka pelbagai langkah, termasuk mewujudkan pelbagai insentif agar jumlah doktor graduan perubatan di negara ini terus bertambah.

"Dilihat pada pertambahan graduan setiap tahun, kami positif standard itu akan berjaya dipenuhi menjelang 2015 nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di kementeriannya di sini hari ini.

Memorandum persefahaman itu melibatkan Newcastle University Medicine Malaysia dan kementerian, bagi membolehkan universiti berkenaan menggunakan kemudahan kementerian untuk kampus mereka di Johor sebaik sahaja ia mula beroperasi tahun hadapan.

Rosnah memberitahu, kekurangan doktor yang ketara dapat dilihat di Sabah dan Sarawak berikutan kebanyakan tenaga mahir yang ada enggan ditukarkan ke sana.

"Kementerian dalam hal ini telah melaksanakan beberapa langkah untuk memastikan kekurangan tersebut dapat diatasi, antaranya mengagihkan lebih ramai doktor untuk kedua-dua negeri berkenaan, khususnya doktor yang bertugas di hospital atau klinik kerajaan.

"Selain sistem pengagihan, kita juga adakan sistem penggiliran dan mereka wajib mematuhi arahan penggiliran itu," katanya.

Sabah dan Sarawak masing-masing memiliki nisbah 1:2,248 dan 1:1,709. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan