X Close

Solekan Siang, Malam Gaya M.A.C

Diterbitkan: Selasa 20 Apr, 2010

SEIRING dengan perkembangan fesyen yang sentiasa berubah, jenama kosmetik terkenal M.A.C kini tampil dengan koleksi terbaru untuk musim bunga 2010 bagi memenuhi trend berfesyen dan solekan terkini.

M.A.C Give Me Liberty of London tercetus hasil kolaborasi kosmetik popular ini dengan jenama fesyen terkemuka dari United Kingdom, Liberty of London.

Atas persefahaman itu, M.A.C yang sinonim dengan dunia solekan bergabung dengan Liberty of London yang terkenal menerusi percetakan corak dan motif pada fabrik.

Peluang bertemu dengan Ketua Jurusolek M.A.C, Haritha Shan baru-baru ini, dimanfaatkan mStar Online bagi mendapatkan panduan bersolek untuk siang dan malam hari menggunakan koleksi kosmetik M.A.C Give Me Liberty of London.

Kata wanita berusia 27 tahun itu, untuk siang hari dia mencadangkan teknik solekan yang lebih semulajadi tanpa tepekan bedak yang berlebihan.

Bersesuaian dengan konsep koleksi ini yang menekankan rona semulajadi dan ceria, Haritha berkata, perkara asas kepada pemilihan warna mekap perlulah bersesuaian dengan warna kulit individu.

"Untuk solekan pada siang hari, saya cadangkan pengguna mengenakan warna yang lembut dan lebih semulajadi.

"Bagi yang berkulit cerah dan pucat, bedak muka Give Me Liberty Summer Rose yang berasaskan kombinasi warna merah jambu dan ungu ini mampu menyerlahkan raut wajah seseorang.

"Manakala bagi yang berkulit sawo matang atau gelap, bedak muka Give Me Liberty Shell Pearl yang berasaskan warna peach adalah pilihan terbaik untuk anda.

"Sementara itu, solekan lembut dan semula jadi di sekeliling mata adalah teknik terbaik untuk siang hari.

"Untuk bahagian bibir, pengguna boleh memilih set gincu seperti Ever Hip yang berasaskan warna coral.

"Manakala untuk proses terakhir, pengguna boleh sapukan pengilat bibir English Accents bagi menyerlahkan lagi kilauan pada bibir," jelas Haritha.

Beralih kepada tip solekan pada sebelah malam, Haritha berkata, teknik solekan pada sebelah malam juga tidak banyak berbeza daripada solekan di siang hari.

Cuma, untuk solekan pada sebelah malam, seseorang itu perlu memberi penekanan pada warna yang lebih terang dan menyerlah.

"Tepekan bedak muka pada sebelah malam harus lebih tebal berbanding pada siang hari.

"Ini kerana, limpahan cahaya lampu di hotel atau dewan makan umpamanya akan menyerlahkan lagi solekan di wajah seseorang itu.

"Penekanan pada bahagian mata dengan menggunakan pembayang mata seperti Birds & Berries (rona hijau gelap kebiruan) dan Bough Grey (rona kelabu kebiruan) pasti menyerlahkan lagi bahagian mata si kaum hawa," ujarnya yang menggemari set bedak muka bagi koleksi terbaru ini.

Set M.A.C Give Me Liberty of London yang dilengkapi gincu, pengilat bibir, pembayang mata, pemerah pipi, bedak muka, pengilat kuku, beg mekap (saiz kecil dan besar) Give Me Liberty of London dan skaf Give Me Liberty of London kini berada di pasaran.

iklan

iklan

Iklan