X Close

Teknik Baru Mendidik Kanak-kanak Autistik Tarik Minat Rosmah

Diterbitkan: Rabu 14 Apr, 2010

WASHINGTON: Kejayaan sekolah Ivymount di Rockville dekat sini membantu kanak-kanak autistik supaya lebih berkeyakinan dan mampu berinteraksi melalui teknik pengajaran dengan muzik, nyanyian serta tarian menarik perhatian Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri Perdana Menteri berkata kejayaan sekolah itu, yang merupakan sekolah harian bukan berasaskan keuntungan "amat memberangsangkan".

"Walaupun kanak-kanak ini lembam dan autisme, tetapi mempunyai bakat yang tersendiri dalam diri mereka, dan jika diberi pendedahan dalam muzik, mereka bukan sahaja ada bakat tetapi juga mampu mengubah lagu dan sebagainya," katanya kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Rosmah, yang juga Presiden Bakti, berkata demikian selepas mengadakan lawatan bersama anggota badan itu ke sekolah Ivymount, yang terletak kira-kira 20km dari ibu kota Amerika Syarikat.

Sekolah itu yang ditubuhkan hampir 50 tahun lepas bermula dengan seorang pelajar kini mempunyai lebih 200 pelajar berumur dari empat hingga 21 tahun yang mempunyai "kekurangan keupayaan termasuk kurang daya kebolehan pembelajaran khusus, pelbagai kekurangan berkomunikasi atau kelemahan bahasa, kecacatan mental dan masalah kesihatan lain dan autisme.

Rosmah juga amat tertarik dengan sistem pengajaran sekolah itu yang turut mengajar pelajarnya berdikari dengan menjual makanan dan mengutip derma untuk mangsa bencana alam yang merupakan satu pembelajaran mengenai tanggungjawab sosial.

Beliau berkata pihaknya banyak belajar daripada lawatan berkenaan, dan yakin jika pihaknya mendapat dorongan serta geran daripada kerajaan, mereka mampu mewujudkan sekolah seumpamanya di Malaysia.

Rosmah berkata program sekolah itu, bagaimanapun perlu diubah suai bagi menepati acuan dan keperluan kanak-kanak autisme di Malaysia.

Walaupun Malaysia tidak mempunyai sekolah khas sedemikian setakat ini, beliau berkata teknik pengajaran dengan penekanan kepada muzik sudah mula diadakan.

Terdahulu, semasa berucap Rosmah berkata antara sebab Bakti mengadakan lawatan itu adalah untuk mempelajari teknik baru yang digunakan oleh sekolah yang menawarkan pendidikan kanak-kanak istimewa, untuk digunakan di Malaysia.

Beliau berkata Bakti yang aktif membantu pertubuhan dan organisasi yang memberikan penjagaan kepada kanak-kanak istimewa akan mengadakan satu karnival di Kuala Lumpur pada November tahun ini, bertujuan mendidik mereka mengasimilasikan diri ke dalam masyarakat serta menggalakkan orang ramai membeli barangan kraf yang dihasilkan mereka.

Rosmah satu pertandingan nyanyian bagi golongan istimewa ini akan turut diadakan di peringkat daerah dan pertandingan akhir dilangsungkan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata isteri para Menteri Besar dan Ketua Menteri, yang turut serta dalam lawatan itu, dapat memperoleh sebahagian ilmu dalam pendidikan dan mengasuh kanak-kanak istimewa memandangkan mereka juga bertanggungjawab menjaga kebajikan golongan berkenaan di negeri masing-masing.

Rosmah berada di Washington mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan dan menghadiri Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear, yang bermula Isnin atas jemputan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Lawatan Rosmah turut disertai lebih 20 anggota Bakti, termasuk isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datin Seri Masnah Rais, isteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah.

Isteri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datin Seri Shuryani Shuaib dan isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Prof Datin Seri Aishah Salleh.

Turut serta adalah isteri Menteri Besar Negeri Sembilan Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumuddin, isteri Ketua Menteri Melaka Datin Seri Datuk Wira Asmah Abdul Rahman, isteri Ketua Menteri Sabah Datin Seri Faridah Tussin dan isteri Menteri Besar Pahang Datin Seri Junaini Kassim.

Pengarah Sekolah Ivymount Janet Wintrol dalam taklimatnya berkata sekolah itu mempunyai 206 guru termasuk guru pendidikan khas yang mempunyai ijazah sarjana manakala para penolong guru sekurang-kurangnya mempunyai diploma atau ijazah pertama.

Kebanyakan kanak-kanak yang dihantar ke sekolah itu adalah dibiayai oleh daerah yang mereka tinggal memandangkan untuk menghantar kanak-kanak ke sekolah itu amat mahal dengan yuran setahun berjumlah US$63,000 (RM202,804). -BERNAMA

iklan

iklan

Iklan