X Close

LUAR PAGAR... Oleh PYANHABIB

Diterbitkan: Khamis 25 Mac, 2010

"Brader, gua mahu tanya. Gua mahu lu jawab..."

Demikian seseorang menegur saya dalam sembang `muka buku’ (facebook) yang terpaksa saya jengok dan klik bukakan sewaktu saya, juga dengan terpaksa, menyemak beratus e-mel yang menyesakkan kotak e-mel saya.

Saya tidak pandai bersembang di `muka buku’ walaupun pada suatu hari saya cuba menyapa seorang kenalan untuk bertanya khabar tetapi apabila saya diberi jawapan, "Oh, orang popular pun ada di sini..." Ia telah mematikan hasrat saya untuk bertanya khabar akan dirinya.

"Ok. Gua akan jawab. Tidak kiralah apa yang lu mahu tanya," jawab saya kembali kepada seseorang yang bertanya tadi.

"Betulkah lu pengikut UMNO?" soalnya.

"Gua pengikut UMNO? Kah kah kah!," saya menyoal balik sambil ketawa berdekah-dekah dalam `muka buku’.

"Kawan gua bilang lu pengikut UMNO. Dia kata dia bersembang dengan `Pyanhabib’ pengikut UMNO dalam facebook."

"Oit, lu punya kawan sudah salah masuk! Itu 'muka buku' bukan gua punya, itu orang sudah menyamar nama gua. Lu punya kawan sudah bersembang dengan orang yang bukan gua."

"Gua ahli UMNO dan gua pun tertanya-tanya sejak bila `Pyanhabib’ jadi pengikut UMNO. Ini hal lu kena tolong jawab sama gua," beritahu seseorang yang bertanyakan status saya itu.

Okey, ini jawapan gua:

"Gua bukan pengikut UMNO, bukan pengikut Pas, juga bukan pengikut PKR! (Perkasa pun gua tidak ikut!).

"Gua naik pentas Pas atau pentas PKR tidak semestinya gua pengikut dia orang. Gua naik pentas dia orang sebab gua dijemput untuk bacakan puisi dan gua dibayar. Ingat: Gua dibayar untuk baca puisi bukan gua dirasuah!

"Puisi gua pula kasi taruk semua orang. Itu pasal orang nampak gua join pembangkang. Sedangkan pembangkang atau kerajaan sudah gua taruk sama rata sejak lama dahulu. Lama sebelum kebangkitan reformasi."

Tidak percaya? Boleh semak status gua di guntingan akhbar tahun-tahun 80an di Perpustakaan Negara, misalnya.

Semak juga puisi-puisi yang gua baca sejak tahun 80an lagi.

Kalau mahu tahu, sejak tahun 80an gua sudah pun baca puisi yang mengutuk gomen di merata-rata tempat malah dipetik untuk filem lakonan gua, Kembara...Seniman Jalanan. Gomen tidak marah pun. Hanya selepas kebangkitan reformasi dan sehingga kini, sentuh gomen adalah tabu!

Membaca dan menulis puisi ini bidang gua, ini sumber rezeki gua. Ada orang jemput, ada orang bayar, gua pergilah.

Gua tidak peduli pun pentas itu siapa punya. Kalau UMNO ajak naik pentas dia orang, gua naik. Masalahnya, orang UMNO tidak lagi jemput gua sebaliknya gua disalah pandang malah diprovok pun (sila buat carian di google, pasti akan jumpa ada orang provok gua).

Pernah kawan UMNO mahu jemput gua tetapi mereka berkata: `tunggu dulu’ `tunggu bajet’ atau ` bajet tidak ada’.

Mereka bercakap pasal `tunggu dulu’ `tunggu bajet’ dan `bajet tidak ada’ sedangkan kawan-kawan dalam Pas dalam PKR tidak cakap pun benda-benda itu. Mereka buat program, jemput dan bayar gua! Mereka bayar gua dan mereka tidak kata, bajet tidak ada!

Pernah dalam satu program TV, gua disenaraikan antara jemputan. Dan gua diberitahu oleh orang dalam, semasa meeting, ada suara meningkah: `Kenapa dijemput Pyanhabib? Namanya naik!’

Dalam kata lain, nama gua sama naik dalam senarai orang-orang yang tidak dikehendaki, tidak diperlukan untuk menyibuk dalam sebarang rancangan TV.

Kerana apa? Hanya kerana gua dijemput pembangkang membaca puisi di pentas mereka sedangkan pada waktu itu gua bertugas sebagai penyunting akhbar Utusan Malaysia.

Benda-benda macam ini majikan gua tidak hairan, mereka tidak peduli sama ada gua baca puisi di pentas pembangkang atau bukan pembangkang.

Dalam satu majlis puisi yang dianjurkan sebuah akhbar arus perdana di sebuah universiti, yang hadir di pentas membaca puisi terdiri beberapa orang yang sememangnya bukan orang kerajaan sedangkan sebelum itu gua diberitahu oleh orang dari akhbar yang sama: `Pyanhabib sokong PKR!’

Dulu-dulu, sebelum reformasi, kawan-kawan gua di Pemuda UMNO selalu juga cari gua untuk baca puisi. Gua naik pentas dia orang dengan senang hati.

Gua tidak peduli pun UMNO memusuhi pembangkang atau pembangkang memusuhi UMNO. Ketika itu tidak ada pun yang bertanya gua: Lu orang UMNO? Lu orang Pas? Lu orang PKR?

Yang gua nampak sama ada dia orang UMNO, orang Pas atau orang PKR, dia orang suka dengan puisi yang gua bacakan dan dia orang terhibur walaupun gua banyak mengata dan mengutuk gomen atau bukan gomen.

Untuk rekod, gua pernah diajak Pemuda UMNO naik pentas di Tambak Johor. Di tengah hujan yang sedikit melebat sedikit merenyai, di tengah kepulan asap dari bakaran patung PM Israel, gua baca puisi mengutuk Israel, Amerika, PBB malah mengutuk OIC (Pengerusi OIC ketika itu ialah Malaysia).

Di Tambak Johor yang panas dan bingar dengan seranah kutukan dan kepulan asap dari bakaran patung PM Israel oleh pemuda-pemuda UMNO itu, gua sepentas dengan Hishammuddin Hussein selaku Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan program hari itu ialah memprotes kehadiran PM Israel ke Singapura.

Ketika itu bukan era reformasi dan gua selamat mengutuk dengan sesedap rasa malah gua juga mengutuk gomen terang-terangan dan gomen tidak marah pun!

Gua juga pernah dibawa khas ke Rompin, Pahang oleh teman-teman juga dari Pemuda UMNO untuk program puisi kemerdekaan di tengah-tengah bandar Rompin. Gua pergi kerana gua dibayar. Ya, gua dibayar dengan lumayannya, hampir RM3,000 untuk sebuah puisi yang gua bacakan!

Sebelum itu, gua pernah hadir di majlis Pemuda UMNO di PWTC pada suatu malam, juga untuk membaca puisi. Dan pada majlis malam itu gua baca puisi sambil Zahid Hamidi - ketika itu Ketua Pemuda UMNO Malaysia, baharu sahaja menang bertanding menentang Rahim Tamby Chik - berdiri di samping gua di atas pentas!

Juga untuk rekod, puisi yang gua bacakan di PWTC itu turut menyentuh/mengusik Zahid Hamidi juga -secara spontan - dan gua tengok Zahid yang di samping gua di atas pentas ketika itu, ketawa dengan gelihatinya!

Untuk hari ini, gua berterima kasih kepada budak-budak indie, budak-budak `bawah tanah’ (underground) kerana mereka tidak pernah berkata `tidak ada bajet’ bila menjemput gua baca puisi. Mereka masih mampu membayar gua walaupun tidak selumayan mana.

PYANHABIB adalah seorang penyajak tanpa ikatan pada mana-mana aliran politik. Beliau ingin terus kekal begitu...

iklan

iklan

Iklan