X Close

Harimau Dipercayai Serang Orang Asli Ditemui Mati

Diterbitkan: Ahad 7 Feb, 2010

Yok Meneh yang cedera selepas diserang pak belang di Hospital Teluk Intan semalam.

IPOH: Anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), yang menjalankan kerja-kerja mengesan harimau di Hutan Simpan Bukit Tapah di Sungkai dipercayai menyerang seorang Orang Asli pada Jumaat, terkejut apabila mendapati haiwan berkenaan mati petang ini.

Pengarah Perhilitan Shabrina Shariff berkata tujuh anggota, yang pergi ke kawasan hutan pada pukul 8 pagi, menemui bangkai harimau itu pada pukul 2 petang tidak jauh dari tempat mangsa diserang.

Pemeriksaan anggota Perhilitan mendapati harimau jantan berusia empat tahun seberat 120 kg dan berukuran panjang antara 1.5 meter hingga 1.8 meter itu mempunyai kesan tembakan di badan selain kaki depannya putus akibat dijerut, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Shabrina berkata beberapa bahagian anggota badan harimau juga dilapah.

Beliau berkata harimau itu dipercayai diburu penduduk perkampungan Orang Asli itu sejak beberapa hari lalu dan terdapat perangkap jerat di kawasan hutan itu menyebabkan haiwan berkenaan bertindak ganas menyerang mangsa.

Bangkai harimau itu akan dibawa ke pejabat Perhilitan di Sungkai untuk pemeriksaan lanjut, kata Shabrina.

Beliau meminta mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang terbabit memburu haiwan berkenaan.

Dalam kejadian dua hari lepas, Yok Meneh Yok Din 47, dari Kampung Ras, dekat Sungkai cedera parah selepas mendakwa diserang harimau ketika mencari petai di kawasan hutan berkenaan.

Dalam kejadian kira kira 1.30 petang itu mangsa yang mengalami kecederaan parah di belakang, kaki dan tangan namun sempat menyelamatkan diri selepas bergelut dengan harimau berkenaan. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan