X Close

Malaysia Tingkat Kutipan Pingat Sukan SEA

Diterbitkan: Selasa 2 Feb, 2010

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya memperoleh purata 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pingat emas yang ditawarkan dalam lima edisi Sukan SEA lalu sejak tahun 2000.

Bilangan peratusan pungutan pingat emas itu adalah dua peratus lebih tinggi berbanding lapan peratus dari tahun 1977 hingga 1997, menurut laporan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.

Laporan itu menyebut pencapaian terbaik Malaysia selepas tahun 2000 ialah ketika menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu pada 2001 dengan memperoleh 28.3 peratus atau 111 daripada 392 emas yang dipertandingkan.

Pada edisi berikutnya di Vietnam pada 2003, Malaysia memungut 9.7 peratus atau 43 daripada 444 emas yang ditawarkan sebelum mencatat 13.7 peratus atau mengumpul 61 daripada 444 pingat emas yang ditawarkan oleh Filipina pada 2005.

Malaysia kemudian mencatat peningkatan dengan memungut 14.2 peratus atau 68 daripada 477 emas dari edisi di Korat, Thailand pada 2007 dan pada edisi terbaru temasya tersebut di Vientiane, Laos pada Disember lepas, Malaysia memungut 10.8 peratus atau 40 daripada 372 pingat emas yang ditawarkan.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi ketika diminta mengulas statistik itu berkata, segala peningkatan tersebut berlaku selepas kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

"Banyak program intensif yang bertujuan membangun dan meningkatkan prestasi atlet dilakukan bagi menghadapi Sukan Komanwel dan limpahan dari program tersebut turut meningkatkan prestasi atlet Sukan SEA," katanya.

Sieh berkata, kesan dari program Sukan Komanwel itu dirasai bila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001 dengan mengumpul 111 pingat emas, sekaligus menjadi juara keseluruhan temasya dwitahunan itu.

"Malaysia bagaimanapun perlu berhati-hati dengan peningkatan mendadak yang ditunjukkan oleh Singapura dan Vietnam," katanya.

Sieh berkata, Singapura telah memulakan cabaran Sukan SEA selepas tahun 2000 dengan hanya memungut 5.6 peratus atau 22 daripada 392 emas dari edisi Kuala Lumpur 2001, sebelum mengumpul 8.9 peratus atau memungut 33 daripada 372 emas di Vientiane.

Begitu juga Vietnam yang sebelum tahun 2000 sering tertinggal dalam carta kutipan pingat di kalangan 10 negara Asean dan ketika menjadi tuan rumah pada edisi 2003, muncul juara keseluruhan dengan memungut 35.1 peratus atau 156 daripada 444 emas yang ditawarkan di Bandaraya Ho Chi Minh dan Hanoi.

Vietnam juga menduduki tempat ketiga dalam carta kutipan pingat keseluruhan pada edisi 2005 dan 2007 sebelum muncul naib juara di Vientiane, tahun lepas.

Sieh berkata, Indonesia yang sering memonopoli gelaran juara keseluruhan pada edisi pada tahun 80an dan 90an, menunjukkan kemerosotan dalam edisi Sukan SEA selepas tahun 2000 tetapi dijangka kembali menunjukkan taring ketika menjadi tuan rumah edisi ke-26 pada 2011. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan