X Close

LUAR PAGAR... Oleh PYANHABIB

Diterbitkan: Jumaat 19 Feb, 2010

"DALAM facebook terdapat enam orang guna nama lu. Tolong add gua supaya gua tidak salah orang dan gua berhubung dengan `Pyanhabib’ yang sebenar," demikian e-mel yang saya terima daripada seorang rakan dari TV3.

Rakan itu berasa was-was kerana dia menemui satu senarai seramai enam orang menggunakan nama saya semasa dia membuat carian di facebook.

Saya seorang yang pemalas untuk berfacebook. Saya tidak rajin untuk bersembang secara, melayan benda alah ini, berasa sangat mengganggu. Kerana itu saya tidak peduli tentangnya hinggalah dikejutkan dengan e-mel kawan saya itu.

Memang, saya tidak peduli pun tentang sembang maya yang menjadi kegilaan berjuta orang di Malaysia ini sehinggakan tahu-tahu Perdana Menteri pun turut memiliki halaman sendiri.

Saya tidak ada kepentingan apa-apa untuk sibuk berfacebook. Saya tidak ada keperluan apa-apa untuk sibuk bersembang maya.

Bagaimanapun, supaya saya rasa tidak tertinggal maka sejak lama dahulu saya sudah mendaftar sebagai salah seorang pembayar gaji untuk pengasas facebook - lebih awal daripada Perdana Menteri.

Tetapi sejak mendaftarnya, saya sungguh malas mengguna benda alah ini, lebih-lebih lagi bila melihat kotak e-mel penuh sesak diasak/dirasuk mesej yang lebih banyak saya tidak tahu hujung pangkalnya dan daripada siapa kepada siapa.

Mesej yang mencanak-canak masuk ke kotak e-mel cukup membosankan kerana saya terpaksa mendelete benda yang tidak kena mengena dengan saya.

Begitu juga ketika baharu sahaja menghadap laptop, membuka dan menyemak e-mel, tiga empat orang sekali gus serbu masuk untuk bersembang dan saya yang tidak reti apa yang hendak disembangkan selain berbahasa lebih kurang sambil bertanya: `sudah makan nasik?’

Dahulu, semasa mahu mendaftar di facebook saya dapati nama saya tidak boleh digunakan kerana nama saya telah digunakan oleh beberapa orang lain.

Dalam kata lain, ada beberapa orang menyamar/mengguna nama saya (Pyanhabib @ Pyan Habib). Ada rakan buat carian nama saya di facebook. Dan dia dapati `Pyan Habib’ berupa penyokong tegar sebuah parti siasah, yang seolah-olah nama saya itu diguna semata-mata untuk memperdajalkan saya.

Ada juga `Pyan Habib’ yang hobinya mengumpul/menyimpan ratusan (baca: ratusan) kenalan yang rata-ratanya perempuan (baca: perempuan), siap dengan gambar profilnya.

Dalam facebook yang mengguna nama saya itu, ramai yang salah masuk dan menyangka mereka berhubung dan bersembang dengan Pyanhabib original!

Malahan gambar-gambar yang dikirim kepada saya oleh pelayar facebook yang diambil di acara-acara puisi pun ada yang termasuk ke dalam fail mereka yang memperguna nama saya ini.

Ada si pengirim gambar (yang kemudiannya dapat menghubungi saya) memberitahu bahawa dia menghantar gambar tersebut kepada `Pyanhabib’ yang disangkanya saya yang sebenar.

Memang sebelum ini saya sudah tahu ada beberapa orang lain menggunakan nama saya. Telah beberapa kali juga saya terbaca dan diberitahu bahawa terdapat komen, ulasan dan surat pembaca dalam akhbar cetak dan akhbar online, ditulis oleh `Pyanhabib’ sedangkan ia bukan tulisan saya.

Bagi mengelak daripada perkara-perkara yang disalahgunakan untuk tujuan tidak elok oleh orang yang mengguna/menyamar, maka itulah saya daftar nama saya di facebook sepenuhnya iaitu `Pyanhabib Rahman’.

Sebelum ini saya telah daftarkan nama saya ini untuk e-mel: Pyanhabib@gmail.com manakala untuk blogspot: Pyanhabib.blogspot.com.

Nama saya mungkin disalahgunakan - memang berlaku: Satu hari seorang gadis memasuki facebook saya dan terkejut apabila mendapati saya adalah Pyanhabib sebenar sedangkan sebelum ini sudah bertahun-tahun dia berhubung secara maya dengan seseorang yang bernama `Pyanhabib’.

Menurut gadis itu, hubungan mereka sehingga peringkat dia `memberi harapan’. Tidak tahulah saya apa itu `memberi harapan’. Saya terkesan, penyamar nama saya ini akan melayan sembang jika yang memasuki facebook nya atau yang diajak bersembang adalah seorang perempuan.

Sebaliknya, dia tidak memberi respon jika yang ingin bersembang dengan `Pyanhabib’ itu seorang lelaki. Dalam kata lain, penyamar hanya melayan gadis/perempuan. Kerana itulah dia menyimpan ratusan nama gadis/perempuan dalam senarai kenalannya, siap dengan gambar lagi.

Jika digoogle `Pyan Habib’ atau `Pian Habib’ sekali pun, nama ini merujuk kepada saya dan bukan kepada orang lain walaupun nama saya sepatutnya dieja dan diatur huruf sebagai `Pyanhabib’.

Sehingga kini sudah ada 4-5 orang memberitahu saya mereka selama ini pernah berhubung dengan `Pyanhabib’ yang disangka saya.Ada apa pada nama? Ada! Kerana namalah maka saya tahu apa itu Restoran Haslam dan siapa pemiliknya, apa itu Jalan Pahang dan di mana letaknya.

Kerana namalah saya tahu siapa itu bekas Mufti Perlis, saya kenal wajahnya yang sentiasa manis. Kerana namalah, dia kenal saya dan saya kenal dia. Kerana namalah, saya tahu dia ada kolum Minda Mufti dalam Mstar Online. Kerana namalah, saya kenal Rozaid Abdul Rahman selaku Pengarang Bersekutu mStar Online.

Dan, kerana namalah juga maka antara saya dan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bertukar senyum, menghulur dan memberi salam sambil sejenak bertanya khabar di Restoran Haslam di Jalan Pahang, suatu petang minggu itu!

Ya, apa ada pada nama? Ada!

PYANHABIB adalah satu nama besar dalam dunia kesusasteraan dan penulisan puisi tanah air. Beliau sangat prihatin dan khuatir namanya digunakan oleh orang lain untuk tujuan yang tidak baik. Baginya nama tetap bermakna walaupun ada orang berkata: Apa ada pada nama.

iklan

iklan

Iklan