X Close

Mingguan mStar, KKM Anjur Kempen Kurangkan Gula

Diterbitkan: Ahad 19 Dis, 2010 MYT 6:04:00 PM
Dikemaskinikan: Ahad 19 Dis, 2010 MYT 6:44:31 PM

KUALA LUMPUR: Kempen pengurangan pengambilan gula dalam masakan dan demonstrasi masakan berkhasiat berjaya meningkatkan kesedaran tentang bahaya pengambilan berlebihan bahan makanan itu kepada orang ramai.

Kempen yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Mingguan mStar itu berjaya menarik lebih 50 peserta yang diadakan di Universiti Kolej Hospitaliti Berjaya di sini.

Bengkel yang dimulakan dengan penerangan mengenai kebaikan dan keperluan pengurangan gula dalam makanan mendapat reaksi baik daripada peserta apabila pelbagai soalan diajukan kepada penceramah.

Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM, Norlaily Md Nasir ketika ditemui berkata, pengisian program berkenaan lebih kepada memberi pemahaman tentang bahaya pengambilan gula berlebihan dan keperluan masyarakat untuk mula mengubah cara hidup.

Beliau berkata, ceremah sedemikian perlu diadakan bagi memastikan masyarakat di negara ini memahami cara pengambilan gula yang betul.

"Pelbagai penyakit diakibatkan oleh pengambilan gula dan ramai tidak menyedarinya.

"Melalui ceramah dan sesi soal jawab seperti yang diadakan hari ini ia dapat membantu masyarakat memahaminya dengan lebih berkesan," katanya di sini, Ahad.

Dalam pada itu, Norlaily gembira dengan sambutan yang diterima dan menganggap masyarakat sudah mula menyedari keperluan mengurangkan gula dalam kehidupan mereka.

"Mungkin topik ini ringkas dan remeh pada sesetengah orang, tetapi melalui soalan yang dilontarkan ia jelas telah membuka mata masyarakat," ujarnya.

Sementara itu, pada program sama, satu demonstrasi masakan berkhasiat turut diadakan kepada semua peserta.

Lebih menarik apabila semua peserta dibahagikan dalam kumpulan untuk mencuba sendiri resepi yang ditunjukkan.

Ketua Masakan Malaysia Universiti Kolej Hospitaliti Berjaya, Chef Rossham berkata, hidangan yang diajar ringkas dan mudah disediakan oleh semua peserta.

Menurutnya, selain mengajar peserta mengenai masakan berkhasiat, objektif lain demonstrasi masakan itu adalah untuk memberi pendedahan mengenai khasiat bahan masakan yang digunakan kepada peserta.

Antara masakan yang diajar kepada peserta adalah seperti salad kerabu mangga, kari asam dengan acar dan ubi kayu tiga warna bersama kelapa segar.

Dalam pada itu, semua peserta yang ditemui rata-rata berpuas hati dengan bengkel yang diadakan dan menyifatkan ia memberi pendedahan kepada mereka mengenai kepentingan untuk mengurangkan gula dan pada masa sama melakukan aktiviti santai dan memberikan manfaat kepada mereka.

iklan

iklan

Iklan