X Close

Kediaman Tampil Berbeza Cara Eric

Diterbitkan: Isnin 29 Nov, 2010

Perwatakan ceria Eric menepati imejnya selaku duta cat ICI Dulux. - Foto oleh SAHAR MISNI

MUDAH, ringkas, praktikal. Itulah pendekatan yang diaplikasikan pereka hiasan dalaman terkemuka negara, Eric Leong atau lebih dikenali sebagai Raja Hias ketika melakukan dekorasi dan pengubahsuaian sesebuah kediaman.

Berbekalkan minat yang tinggi, keghairahan dan pengalaman luas dalam industri hiasan dalaman, anak jati Johor itu akan memastikan sentuhannya sentiasa mengikut trend terkini serta bersesuaian dengan cara hidup masyarakat di negara ini.

Warna terang mampu memaksimumkan kesan yang dihasilkan oleh cahaya semulajadi di dalam bilik tidur. - Foto oleh RAYMOND OOI

Justeru itu, tidak mustahil rancangan pengubahsuaian popular ‘Deko Bersama Eric’ yang dahulunya dikenali sebagai Casa Impian, disiarkan di Astro Ria mendapat rating tertinggi berbanding rancangan tempatan lain sejak sembilan tahun lalu.

Ketika ditemui Mingguan mStar pada pameran Hartanah Star di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini, Eric yang pada mulanya meminati bidang rekaan fesyen sebelum memahat nama dalam industri kreatif itu mengakui kebanyakan rakyat Malaysia mengambil mudah aspek menghias kediaman masing-masing.

“Rata-ratanya ramai pemilik kediaman hanya menitikberatkan susunan perabot dan kain langsir saja. Namun kunci utama dalam melakukan kerja pengubahsuaian sebenarnya melibatkan pemilihan warna cat dan jenis lampu bagi menyerlah lagi ruangan dalaman,” kata Pengasas dan Pengarah Seni Reka Kumpulan Designcity Sdn. Bhd itu selepas ceramah Dulux Colour Future 2011.

Warna kelabu dan putih membangkitkan konsep gaya moden klasik pilihan Eric.

Memiliki pengalaman selama 20 tahun dalam industri hiasan dalaman tidak sesekali menjadikan Eric bermegah diri. Sebaliknya, jejaka berusia 39 tahun itu tidak lokek berkongsi tip dalam menata rias sudut ruang kediaman tanpa menggunakan perbelanjaan yang tinggi.

Menurut Eric, pemilik kediaman hanya perlu mengikut lapan langkah mudah yang disarankan untuk diguna pakai dalam menghasilkan idea kreatif menghias rumah. Tip-tip itu termasuk menentukan gaya hiasan, skema warna, feature wall (dinding utama), pilih perabot yang sesuai, pencahayaan, kemasan (soft furnishing), aksesori dekor dan sentuhan akhir (menggunakan bunga-bungaan segar dan lilin).

Perkara asas yang harus ditekankan oleh setiap pemilik rumah adalah menentukan gaya hiasan dengan mengambil kira corak kehidupan anda seisi keluarga. Pada era kini, terdapat pelbagai pilihan trend menghiasi rumah bermula dari klasik moden, padan dan suai, gaya asas, Inggeris dan funky. Segalanya terpulang kepada citarasa anda dalam mewujudkan suasana selesa di kediaman masing-masing.

“Ramai tuan rumah selalu membeli set kelengkapan rumah mengikut kemahuan sendiri. Pantang nampak cantik dan ada jualan murah, mereka beli tanpa mengambil kira aspek kesesuaian. Untuk mengelakkan pembaziran, kita perlu membeli mengikut gaya yang dikehendaki,” ujarnya.

Jika sebelum ini gaya klasik moden lebih menekankan penggunaan warna hitam dan putih, pendekatan pada tahun ini agak berbeza. Bagi pemilik kediaman yang gemarkan konsep itu, pemilihan cat lebih bertumpu kepada warna ungu dan oren di samping penggunaan lampu kristal berupaya menampakkan lagi ciri-ciri kemewahan.

“Seelok-eloknya setiap ruang di dalam rumah menggunakan satu gaya hiasan dalaman tetapi ruang yang bersambung lebih baik menekankan konsep yang sama. Berbeza dengan bilik tidur, gaya hiasan yang berbeza boleh diaplikasikan,” jelas jejaka yang tidak lekang dengan senyuman dan suka berjenaka itu.

Pemidang bukan lagi berfungsi sekadar pemisah malah mampu membangkitkan seri dan keindahan ruang.

Pemilihan warna yang bersesuaian dengan ruang rumah anda perlulah diutamakan terlebih dahulu. Warna bukan saja menyerlahkan ruang dalaman malah dapat menghasilkan mood persekitaran yang ceria, kreatif ataupun penuh ketenangan.

Warna yang dipilih bukan saja menggambarkan personaliti pemilik malah mampu menambahkan nilai sesebuah kediaman. Penggunaan warna terang memberikan impak besar dengan menampakkan ruang dalam rumah anda lebih luas. Hindari penggunaan warna gelap seperti hitam, kelabu dan merah hati kerana ia menjadikan sesuatu ruang kelihatan lebih kecil.

“Setiap warna memiliki kuasa dalam mempengaruhi mood seseorang. Sebagai contoh, untuk bilik anak perempuan, warna merah jambu amat digalakkan kerana ia sentiasa mencetuskan suasana ceria. Warna biru atau hijau pula sesuai digunakan untuk bilik anak lelaki. Ia mampu mengurangkan tekanan dan menjadikan seseorang itu lebih fokus,” katanya.

Bagi konsep feature wall, pilihan warna gelap seperti hitam atau merah sesuai sebagai latar belakang dinding utama anda manakala bahagian lain pula boleh dicat menggunakan warna natural atau lebih cair.

Feature wall turut dikenali sebagai sudut pertama pandangan mata setiap kali seseorang masuk ke kawasan yang berkenaan.

Ia juga bertindak menjadi latar belakang kepada persekitaran ruang dalaman rumah.

Namun ada segelintir pelanggan yang lebih gemar mencipta feature wall menggunakan kertas dinding. Kerja menghias feature wall kini tidak sesukar mana kerana anda hanya perlu menentukan corak dan warna.

Penggunaan kertas dinding berkualiti mampu bertahan lama dan tidak mudah pudar.

“Anda perlu menentukan feature wall yang sesuai dan menggunakan warna yang lebih gelap. Tidak salah memilih warna kegemaran anda jika ia menjadikan rumah nampak lebih berseri. Gunakan konsep dua tona, satu warna gelap dan satu warna lebih cair yang boleh dipadankan mengikut trend semasa,” ujarnya.

Ruang bilik air tampak menarik dengan elemen hitam putih.

Eric yang diberi kepercayaan untuk menggalas tugas selaku ketua bahagian hiasan dalaman di The One Academy berkata, pemilihan perabot pula harus mengambil kira keluasan ruang dan gaya tata rias kediaman. Penggunaan perabot yang cukup minimum dengan fungsi serba guna mampu membuatkan rumah nampak luas tetapi tetap mengekalkan ciri-ciri elegan dan sedap mata memandang.

“Membeli sette dan meja makan perlu mengikut bilangan penghuni. Jangan beli perabot yang tidak diperlukan bagi mengelak pembaziran. Kini, Ottoman menjadi pilihan ramai kerana fungsinya yang pelbagai. Paling penting adalah reka letak perabot yang memberi karakter tersendiri kepada ruang kediaman,” katanya.

Satu lagi elemen yang tidak kurang pentingnya dalam membangkitkan keceriaan kepada penghuninya ialah pencahayaan. Penggunaan lampu bersesuaian memberi pencahayaan yang sempurna pada keseluruhan ruang ditambah lagi dengan reka bentuk siling moden.

Kepelbagaian cahaya sama ada lampu putih (daylight) atau kuning (warmlight) turut menyumbang kepada penataan hiasan dalaman yang bergaya moden, klasik, Inggeris atau zen.

Lampu kuning dapat mencetuskan efek pandangan yang lebih menarik sesuai untuk bilik tidur. Bagi ruang dapur, tandas, bilik persalinan dan bilik bacaan, penggunaan lampu putih adalah disarankan.

Tambahnya, penggunaan kemasan (soft furnishing) dalam kediaman tidak patut diabaikan. Ia biasanya terhasil menerusi pemilihan langsir, hamparan permaidani, cadar tilam, selimut atau kusyen bertujuan untuk melembutkan susunan dekorasi.

“Terpulang kepada anda sama ada mahu menggunakan cadar tilam atau alas meja menyerupai fabrik langsir untuk menampakkan keserasian. Elakkan penggunaan warna yang sama terlalu banyak kerana ruang kediaman akan kelihatan kusam dan membosankan. Lengkapkan kemasan katil anda menggunakan kusyen dan bantal bagi menampakkan keselesaan,” katanya.

Konsep hiasan dalaman dilakukan bertujuan untuk memberi impak melalui kesan visual yang mudah dihasilkan melalui penggunaan aksesori dekor.

Perlu diingatkan elakkan pembelian aksesori terlalu kecil yang akan menyebabkan ruang kelihatan berserabut. Sebaliknya, pilih aksesori besar untuk mendapatkan impak yang diingini dan letakkan di ruang utama.

Pemilihan aksesori dekor perlu selari dengan konsep hiasan dalaman kegemaran anda. Akhir sekali, berikan sentuhan terakhir berkualiti bagi memastikan gaya hidup moden dan ideal dapat dipenuhi. Suasana di dalam rumah pasti lebih harmoni dengan gubahan bunga ringkas dan penggunaan lilin sebagai penyeri.

Ia juga berupaya mengubah suasana dan karektor kediaman termasuk memberi keselesaan kepada pemilik. Untuk mengekalkan suasana nyaman di rumah, letakkan pewangi yang mudah didapati di pasaran ketika ini.

Sementara itu, Eric yang juga duta cat ICI Dulux turut memperkenalkan warna pilihan untuk tahun 2011 iaitu kuning sitrus yang melambangkan simbol kebebasan, kegembiraan dan optimis.

iklan

iklan

Iklan