X Close

Jabatan Perikanan Tiada Kuasa Tutup Kolam Ternak Kelisa - Noh

Diterbitkan: Khamis 25 Nov, 2010 MYT 7:38:00 PM

KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan tidak mempunyai kuasa untuk menutup pembinaan kolam-kolam ternakan ikan Arowana atau Kelisa di Bukit Merah, Perak yang dikatakan menjejaskan penanaman padi mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dalam satu kenyataan di sini, Khamis berkata, hanya Pejabat Tanah yang berkuasa untuk berbuat demikian.

Jelas beliau, tanah tersebut adalah tanah persendirian yang disyaratkan untuk penanaman padi.

"Bagi pemilik tanah tersebut, mereka telah membuat permohonan menukar syarat kepada Pejabat Tanah Daerah Kerian. Oleh itu, Jabatan Perikanan tidak mempunyai kuasa untuk menutup pembinaan kolam-kolam ternakan ikan kelisa," katanya.

Baru-baru ini, pesawah di daerah Kerian, Perak dan sebahagian Seberang Perai Selatan Pulau Pinang mahu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kerajaan Negeri Perak membatalkan segera projek ternakan ikan Arowana di Bukit Merah kerana mendakwa operasi penanaman padi mereka terjejas.

Antara kawasan penanaman padi, mukim Bagan Serai, Beriah, Gunung Semanggol, Selinsing, Parit Buntar dan Nibung Tebal. Mereka mendakwa sukar memperolehi air untuk kerja-kerja membajak dan kegunaan harian.

Projek yang bermula pada tahun 2000 kini dikatakan sudah mempunyai 3,808 buah kolam dengan jumlah 70 orang pengusaha berbanding dulu tidak sampai 10 pengusaha.

Bagaimanapun, Noh memberitahu, mengikut rekod Jabatan Perikanan di kawasan tersebut, terdapat 74 pengusaha kelisa yang mengendalikan 5,512 buah kolam.

Kolam-kolam tersebut berkeluasan 156 hektar dengan keluasan purata sebuah kolam, 6 meter x 12 meter.

Berhubung dengan penggunaan air dari terusan Tebuk Panchur sehingga kekurangan air, Noh menjelaskan, penternakan ikan Arowana memerlukan jumlah air yang banyak di peringkat permulaan.

"Tetapi setelah mencapai kedalaman air sedalam tiga kaki (kedalaman kolam ialah empat kaki), air akan melimpah keluar melalui paip over flow dan proses ini berjalan 24 jam.

"Air itu akan masuk semula ke dalam tali air (Tebuk Panchur) dan ia boleh digunakan oleh pesawah serta mempunyai baja semulajadi hasil proses pembajaan air kolam ternakan ikan," katanya.

Sehubungan itu, Noh menambah, kolam-kolam ternakan ikan yang beroperasi memerlukan air tidak lebih dari 1/5 bahagian sahaja dari jumlah keseluruhan penggunaan air oleh penternak ikan dan pesawah padi.

"Projek antara akuakultur dengan padi bolehlah dikategorikan sebagai situasi menang-menang dalam membangunkan ekonomi negara," katanya.

iklan

iklan

Iklan