X Close

Cabaran Mengajar Di Sekolah Integriti Kajang

Diterbitkan: Isnin 22 Nov, 2010

Suriah Awang Chik

MENGAJAR di Sekolah Integriti Kajang bukan perkara yang mudah walaupun sukatan pelajaran dan sistem persekolahannya adalah sama dengan sekolah biasa.

Ini kerana para pelajar Sekolah Integriti ialah banduan muda atau juvana yang sedang menjalani hukuman.

Bagaimanapun, terdapat sebilangan guru yang sanggup menyahut cabaran Kementerian Pelajaran untuk mengajar di penjara.

Salah seorangnya ialah penyelia Sekolah Integriti Kajang, Suriah Awang Chik yang mula menyertai Sekolah Integriti Kajang sebagai guru mata pelajaran Matematik sejak pembukaannya pada 2008.

Berbekalkan pengalaman mengajar Matematik selama lebih 20 tahun di sembilan buah sekolah menengah di seluruh negara sebelum ini, beliau terpanggil untuk membantu para pelajar yang juga banduan di Penjara Kajang.

Sekolah Integriti merupakan sekolah ke-10 yang disertainya sepanjang pembabitan dalam bidang perguruan.

Selama ini pun, akui Suriah, beliau sering dipertanggungjawabkan untuk mengajar di kelas yang mana para pelajarnya lemah dalam bidang akademik.

Menurut Suriah, cabaran paling besar mengajar di Sekolah Integriti ialah dia perlu menggunakan pelbagai pendekatan untuk berhadapan dengan pelajar dari pelbagai peringkat usia.

Fuzi Mohamed Zin.

Adalah tidak menghairankan ketika itu, beliau masih tercari-cari kaedah serta rentak pengajaran terbaik ketika sekolah itu baru ditubuhkan.

“Misalnya, para pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terdiri daripada mereka yang berusia antara 17, 18, 19, 20 dan 21 tahun,” katanya kepada Mingguan MStar.

Di peringkat awal penubuhan Sekolah Integriti, terdapat satu kelas Ujian Penilaian Sekolah Rendah, dua kelas pemulihan 3M (kemahiran membaca, menulis dan mengira), dan masing-masing satu kelas untuk Pra Penilaian Menengah Rendah (persediaan PMR), PMR, Kelas Pra Sijil Pelajaran Malaysia (persediaan SPM) dan SPM selain kelas skil yang lain.

Tujuh guru mengajar 12 kelas.

120 pelajar kelas akademik, 50 pelajar skil pengkomputeran peringkat 1 dan 2.

Untuk menampung kekurangan guru, Suriah berkata, penjara mengambil khidmat banduan yang berpendidikan tinggi untuk mengajar.

“Sekarang, terdapat 13 orang guru yang mengajar 120 banduan dan 60 banduan baru. Guru-guru turut menyumbangkan masa memberikan syarahan dan tutorial pada hari Sabtu,” katanya.

Sementara itu, guru kaunseling Fuzi Mohamed Zin berkata, cabaran terbesar guru adalah mengembalikan mood para pelajar.

Ini kerana katanya, terdapat pelajar yang langsung tidak tahu membaca kerana tidak pernah pergi ke sekolah. Ada yang tahu membaca tetapi tidak memahami isi kandungannya.

“Bila mereka dimasukkan ke SIK, tugas kita adalah lebih kepada memulihkan banduan muda tersebut dari segi akademik dan sahsiah,” katanya.

Jelas Fuzi lagi, sahsiah para pelajar tersebut terjejas ekoran datang daripada keluarga yang porak peranda serta menjalani kehidupan yang terbiar.

Beliau berpuas hati kerana usahanya mendekati banduan muda ini melalui pembelajaran di Sekolah Integriti telah menampakkan hasil yang baik.

Akui beliau, sesetengah mereka menampakkan perubahan sikap dan tingkah laku walaupun baru enam bulan belajar di sekolah tersebut. Fuzi berharap masyarakat menerima banduan muda ini apabila mereka dibebaskan kelak kerana mereka memerlukan sokongan masyarakat untuk balik ke pangkal jalan.

“Ada yang berulang kali masuk ke SIK sebanyak dua atau tiga kali. Daripada sesi kaunseling yang dikendalikan bersama banduan terbabit, baru saya tahu mereka tidak dapat menyesuaikan diri di luar.

“Mereka tidak diberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan malah tidak mempunyai tempat tinggal,” katanya.

iklan

iklan

Iklan