X Close

Mendaki Gunung Stong Bagai Terapi Hindar Kekusutan Minda

Diterbitkan: Jumaat 29 Okt, 2010

CANTIK... Air terjun Gunung Stong ialah antara tarikan utama pelancong ke daerah Gua Musang. Air terjun tujuh tingkat setinggi 457 meter dari paras laut itu juga dikatakan tertinggi di Asia Tenggara. - Foto BERNAMA

KUALA KRAI: Gunung Stong, dikenali juga sebagai Gunung Setong, di Dabong dalam jajahan Gua Musang, Kelantan mempunyai ketinggian 1,433 meter.

Pendakian ke puncak gunung itu sememangnya menjadi satu pengalaman yang amat bermakna dan sukar untuk dilupakan.

Penulis berpeluang merasai pengalaman itu selepas menerima jemputan mengikuti Ekspedisi Cabaran Stong 2010 anjuran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena sambutan ulangtahun ke-125 organisasi pengangkutan awam tersebut pada 1 Jun lepas.

Seramai 51 peserta terdiri dari wakil media dan agen pelancongan menyertai ekspedisi tiga hari itu yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan KTM dan media menerusi aktiviti riadah di samping menghayati keindahan alam semulajadi.

Ekspedisi ini adalah yang kedua selepas kumpulan yang pertama berjaya menawan puncak Gunung Ledang dalam satu pendakian serupa yang diadakan sebelum ini, kata Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB, Mohd Fazil Ismail.

EKSPEDISI BERMULA

Pada permulaan ekspedisi, peserta bertolak dari Stesen Sentral Kuala Lumpur tepat pukul 8.30 malam menaiki tren dan tiba di stesen Dabong, terletak kira-kira 155km dari Kota Baharu pada pukul 8.30 pagi keesokan hari.

Perjalanan kemudian diteruskan dengan menaiki van dan kereta menuju ke Stong Hill Resort yang mengambil masa 15 minit dari Stesen Dabong, iaitu sebuah pusat rekreasi yang menyediakan kemudahan chalet yang terletak di kaki Gunung Stong.

- Foto THE STAR Oleh SAZUKI EMBONG

Kesemua peserta kemudian berkumpul dan diberi taklimat ringkas mengenai taman negeri itu serta laluan pendakian oleh jurupandu pendakian sebelum melakukan senaman regangan.

Tepat pukul 10 pagi ekspedisi bermula dengan cabaran pertama yang harus ditempoh ialah dua jam mendaki menuju ke Kem Baha, di mana peserta mendirikan khemah untuk bermalam sebelum meneruskan pendakian ke puncak gunung.

Sepanjang perjalanan mendaki ke Kem Baha itu, kami disajikan dengan pemandangan indah dan menarik hutan Taman Negeri Gunung Stong yang kaya dengan hidupan flora dan fauna, serta gunung batu kapur yang berusia berjuta-juta tahun lamanya.

Taman negeri tersebut juga tersenarai sebagai antara lima destinasi ekosistem terbaik di Malaysia. Paling memukau adalah keindahan air terjun Jelawang, yang mempunyai ketinggian 303 meter dari paras laut dan mempunyai tujuh peringkat yang boleh ditemui semasa pendakian.

Di sini, pendaki tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati pemandangan cantik air terjun tersebut selain merakamkan gambar kenangan.

Sepanjang perjalanan itu juga, peserta ekspedisi diuji dengan pelbagai rintangan, termasuk terpaksa melalui jalan yang sempit dan curam selain terpaksa memanjat batu yang tinggi serta berbahaya.

Namun semua itu tidak menjadi penghalang dan semua peserta selamat tiba di Kem Baha pada pukul 12 tengah hari.

MENUJU KE PUNCAK STONG

Selepas mendirikan khemah dan menikmati makan tengah hari, peserta kemudian bersiap untuk meneruskan cabaran pendakian selama empat jam lagi bagi menuju ke puncak Gunung Stong.

Kali ini hanya 36 peserta menyahut cabaran tersebut manakala selebihnya mahu beristirehat dan menikmati air terjun Jelawang serta pemandangan indah di Kem Baha.

Pendakian kali ini adalah lebih sukar dan mencabar. Peserta terpaksa melalui jalan sempit dan licin yang menyukarkan pendakian sehingga menyebabkan beberapa peserta tergelincir dan terseliuh kaki.

Ada juga yang mengalami kekejangan otot kaki sehingga terpaksa mengalah dan berpatah balik ke Kem Baha.

Sesekali kedengaran juga suara serangga hutan yang seolah-olah 'mengejek' kami yang keletihan. Selepas hampir dua jam mendaki, keletihan semakin dirasai, namun keindahan hutan Gunung Stong dan suasana nyamannya seolah-olah memberi semangat kepada peserta untuk meneruskan pendakian.

Pemandangan memang menarik bagi siapa saja yang mencintai alam dan aktiviti luar. Taman negeri ini tidak hanya memiliki nilai-nilai eko-pelancongan tetapi juga berfungsi sebagai kawasan pemuliharaan yang signifikan bagi flora dan fauna.

Taman negeri itu juga merupakan 'tempat tinggal' bagi beberapa jenis haiwan liar termasuk Gajah Asia, seladang, burung merak Argus, harimau Malaya dan tapir.

Selepas lebih empat jam mendaki, akhirnya puncak Stong berjaya ditawan.

Walaupun keletihan, rasa puas dan gembira jelas terpancar di wajah setiap peserta yang berjaya menawan puncak gunung tersebut.

Dari puncaK Gunung Stong, peserta ekspedisi dapat melihat pemandangan cantik dan mengujakan Taman Negeri Gunung Stong itu. Dari situ kami juga boleh nampak puncak Gunung Ayam dan Baha yang begitu cantik diselaputi kabus tebal.

Suasana di puncak gunung itu juga sangat nyaman dan menenangkan dengan suhu antara 15 dan 18 darjah selsius.

Seketika menikmati pemandangan cantik dan suasana nyaman itu, memang sesuai dijadikan terapi untuk melupakan sementara kekusutan minda dan kesibukan kota. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan