X Close

PBB Anugerah 'Tokoh Sepanjang Tahun 2010' Kepada Marina Mahathir

Diterbitkan: Isnin 25 Okt, 2010

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)menganugerahi gelaran 'Tokoh Sepanjang Tahun 2010' kepada Datin Paduka Marina Tun Mahathir terhadap kegigihannya memperjuangkan hak kaum wanita, dan sentiasa lantang dalam kempennya berkaitan kesedaran terhadap HIV dan AIDS.

Residen Perwakilan bagi Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) dan Penyelaras Residen PBB di Malaysia, Kamal Malhotra berkata Marina menulis banyak artikel yang berkaitan dengan prinsip, kesamaan gender, wanita, Undang-undang Syariah, kepelbagaian kebudayaan, diskriminasi terhadap wanita Islam serta lain-lain isu yang berkaitan, dan membentangkannya di persidangan-persidangan peringkat nasional mahupun antarabangsa.

"Kriteria yang digunakan bagi pemilihan untuk anugerah itu termasuk merujuk kepada individu atau pertubuhan dari Malaysia dengan rekod sumbangan khidmat yang cukup memberangsangkan, atau gigih dalam membantu pembangunan Malaysia dalam pelbagai dimensi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa menghadiri sambutan ulang tahun ke-65 PBB yang diadakan di Hotel Renaissance di sini hari ini. Bagaimanapun Marina tidak hadir pada majlis malam ini untuk menerima anugerah itu kerana beliau ketika ini sedang mengikuti satu majlis anjuran Sisters in Islam (SIS) di Barcelona, Sepanyol.

Selain Timbalan Menteri Luar Senator A.Kohilan Pillay, majlis itu turut dihadiri oleh pada duta besar dan perwakilan asing di Malaysia.

Sementara itu stesen televisyen swasta milik Media Prima, TV3 pula menerima Anugerah Serantau Hari Penyiaran Kanak-kanak Antarabangsa (ICDB) Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef) bagi rantau Asia Timur dan Pasifik 2010.

TV3 memperolehi anugerah itu bagi kategori televisyen menerusi rancangan dokumentarinya yang bertajuk "Terubuk Masin untuk Perdana Menteri", manakala Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula menerima anugerah itu bagi kategori radio menerusi satu program Traxx FM yang bertajuk 'Listen Up!'. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan