X Close

Hanya Bahasa Melayu Yang Mampu SatuPadukan Rakyat Malaysia - Rais

Diterbitkan: Ahad 24 Okt, 2010

KUALA LUMPUR: Tiada bahasa lain di Malaysia yang mampu menyatupadukan seluruh rakyat negara ini selain daripada bahasa Melayu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata ini kerana bahasa Melayu merupakan bahasa yang difahami oleh seluruh rakyat negara ini dan dalam aspek menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum seperti di Malaysia penggunaan satu bahasa yang saling difahami oleh semua rakyat adalah sangat penting.

"Justeru dalam konteks negara kita Malaysia, harus kita akui tiada bahasa lain yang mampu menyatupadukan kita selain daripada bahasa Melayu," katanya dalam teks ucapan pada Majlis penutupan Program 1Malaysia Sejuta Puisi di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sini pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Kanan (Pengurusan) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Dr Rothiah Omar.

Rais berkata penggunaan dan pembudayaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian tidak mustahil mampu untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia seterusnya memberi penghayatan yang lebih mudah kepada gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata tidak mustahil zaman kegemilangan bahasa Melayu ketika digunakan secara meluas dalam bidang pentadbiran, diplomatik, ekonomi, kesenian, sosial dan budaya sejak beratus tahun dahulu berulang kembali walaupun di zaman globalisasi ini.

"Kita mesti yakin akan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang berupaya mentransformasikan pemikiran dan tindakan bangsa Malaysia secara menyeluruh," katanya yang juga berpendapat pembudayaan bahasa Melayu dapat dijalankan dengan pelbagai aktiviti termasuk melalui puisi.

Rais berpendapat puisi yang baik dan didendangkan dengan alunan indah dan bait-bait yang mempunyai maksud yang mendalam mampu menyampaikan mesej dengan lebih efektif dan berguna kepada khalayak.

"Seni puisi sama ada berupa pantun, syair, nazam, terompa, rejang atau seloka adalah sarat dengan teladan dan sempadan, tanpanya satu bahasa dan bangsa itu akan hilang nilai estetik, gramatis serta romantisnya," katanya yang turut menasihati agar puisi dimanfaatkan sebaik mungkin agar ia dapat memberi kesan positif kepada pemikiran dan tindakan.

Justeru, Rais berkata mesej 1Malaysia yang disampaikan melalui bait-bait indah puisi adalah sangat tepat pada masanya dan efektif.

"Ini adalah kerana baris kata yang tersusun dan tersulam indah mampu menembusi jantung hati manusia lebih tajam dari sebilah pedang," katanya sambil menyarankan agar perjuangan 1Malaysia melalui seni puisi dijuangkan berhabis-habisan demi mewujudkan sebuah negara yang bersatupadu.

Selain penggunaan puisi sebagai jalan untuk membudayakan bahasa Melayu, Rais juga menggesa pemimpin, cendekiawan, sasterawan, budayawan, birokrat, teknokrat, pelajar sehinggalah orang kampung untuk mengembleng tenaga dan akal fikiran bagi mencari jalan lain untuk membudayakan bahasa Melayu.

"Ini termasuklah pembudayaan bahasa Melayu yang mampu mengungkapkan semua bidang ilmu seperti ekonomi, politik, sosial, sains dan teknologi," katanya.

Beliau berkata dengan peruntukan sebanyak RM200 juta dalam Bajet 2011 untuk membangunkan industri kreatif, ia diharap dapat membantu penggiat seni puisi untuk menjalankan aktiviti merakyatkan seni budaya warisan dengan lebih berkesan dan menyeluruh. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan