X Close

Jabatan Imigresen Sememangnya Penuh Dengan Cabaran

Diterbitkan: Ahad 17 Okt, 2010

Abdul Rahman Othman

JABATAN Imigresen sering dilanda pelbagai kontroversi namun kehangatannya bermula apabila seramai 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

Kredibiliti kakitangannya juga terjejas apabila empat pegawai imigresen ditahan reman berhubung dakwaan rasuah membabitkan kemasukan pendatang asing tanpa asing (PATI) ke negara ini melalui Pulau Ketam, Klang, baru-baru ini.

Begitu juga dengan penahanan dua pegawai imigresen oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan PATI di Jeti Port Dickson.

Terbaru, polis menahan tujuh pegawai imigresen di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan warga asing ke negara ini.

Lebih panas apabila kesemua mereka dipercayai bersekongkol dengan ketua sindiket berbahaya yang turut terdedah dengan jenayah serius lain seperti aktiviti pengganas, penyeludupan senjata api, dadah dan pengintipan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi kata dua kepada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman bahawa tidak mustahil beliau akan ditukar jabatan sekiranya perkara ini berulang .

Teka-teki mengenai kedudukan Abdul Rahman akhirnya terjawab beberapa hari lalu apabila beliau menerima surat rasmi berhubung pertukaran jawatannya pada hari yang sama beliau sepatutnya ditemuramah oleh wartawan Mingguan mStar.

Abdul Rahman ditukarkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memegang portfolio Setiausaha Bahagian Imigresen berkuat kuasa pada Jumaat lalu (15 Oktober).

Jawatan yang disandangnya sejak 21 Julai 2008 itu kini diisi oleh Datuk Alias Ahmad yang sebelum ini merupakan Setiausaha Bahagian Keselamatan di KDN.

Mingguan mStar menjadi media terakhir yang menemuramah Abdul Rahman Othman sebagai Ketua Pengarah Imigresen.

MSTAR: Jabatan Imigresen sering dilanda kontroversi. Apa kata Datuk?

ABDUL RAHMAN: Saya melihat tugas di Jabatan Imigresen merupakan sesuatu yang mencabar bukan sahaja di pintu masuk tetapi di kaunter bagi sistem penyampaian.

Kegagalan kita memeriksa atau memerhati seorang itu di pintu masuk dengan teliti bermakna kita juga gagal di benteng pertahanan terakhir negara.

Dari segi pertahanan, Jabatan Imigresen merupakan agensi terakhir. Sebab itu saya tidak pertahankan isu penahanan pegawai imigresen oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Isu penahanan melibatkan soal kredibiliti. Komen Datuk?

Imej buruk imigresen berpunca daripada sikap tidak jujur pegawai yang ditahan tidak akan menjejaskan semangat pegawai imigresen lain.

Dalam mana-mana sistem pasti ada yang tidak berperanan dengan baik tetapi 95 atau 99 peratus pegawai imigresen masih bertanggungjawab menjalankan tugas.

Mereka terus berkhidmat di pintu masuk meskipun imej sedikit tercalar. Ini memberikan peringatan bahawa tugas mereka sentiasa dipantau.

Dalam dunia ini tiada yang sempurna 100 peratus dan setiap daripada mereka yang silap perlu belajar serta memperbaikinya.

Begitu juga dengan Jabatan Imigresen yang seharusnya diberikan peluang untuk menunjukkan prestasi baik menerusi tugas, keupayaan dan kredibiliti.

Jangan hanya kerana tujuh pegawai imigresen yang ditahan polis di bawah ISA kita harus melupakan peranan, sumbangan dan tanggungjawab pegawai-pegawai lain.

Jangan persalahkan kami sahaja hanya kerana beberapa kes sedangkan banyak pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba membolosi masuk ke negara berjaya ditahan.

Kami juga mendapat pengiktrafan seperti dicapai oleh Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai imigresen lapangan terbang terbaik dunia oleh Anugerah Skytrax.

Pengiktrafan itu berdasarkan keupayaan, kecekapan dan keberkesanan dalam menguruskan kemasukan di pintu masuk utama negara.

Tidak dinafikan penahanan pegawai imigresen sedikit sebanyak mencalarkan imej tersebut namun ia tidak dianggap sebagai hari terakhir bagi Jabatan Imigresen.

Namun kita sepatutnya bangkit semula dengan meneruskan penambahbaikan bagi mengembalikan semula kecemerlangan sebelum ini malah lebih baik.

Tidakkah imej pegawai imigresen lain turut tercalar?

Jumlah pegawai imigresen yang ditahan itu sangat kecil berbanding 14,276 kakitangan keseluruhan atau antara 4,000 dan 5,000 pegawai bertugas di pintu masuk.

Saya tidak membezakan mana-mana pun kerana ia melibatkan kakitangan secara menyeluruh. Namun saya telah menerangkan kepada pegawai penyelia di barisan hadapan mengenai tanggungjawab semua.

Jika tidak dipatuhi, ia akan memberikan imej buruk, kehancuran atau kemudaratan lebih besar kepada Jabatan.

Tidak perlu cakap pasal rasuah, jika terdapat salah laku pegawai seperti tidak datang bertugas pun sudah cukup besar kesalahan itu.

Sistem penyampaian akan gagal kerana kekurangan kakitangan bertugas sedangkan masyarakat mengharapkan perkhidmatan terbaik. Jika pegawai penyelia tidak dapat melaporkan salah laku pegawainya untuk tindakan maka sampai bila-bila pun mereka akan terus bermasalah.

Pun begitu, pegawai imigresen perlu melihat kejadian berlaku sebagai peringatan bahawa pihak lain akan bertindak sekiranya gagal melaksanakan tanggungjawab.

Ini juga peringatan menunjukkan bahawa kita melakukan kesilapan dan perlu memperbaiki perkara itu ke arah lebih baik.

Kita seharusnya melihat ia sebagai satu ujian untuk mengembalikan kekuatan. Paling penting adalah menguruskan rakan sepasukan dengan lebih baik kerana antara mereka mungkin alpa kerana sudah banyak ‘keuntungan’ diberikan sebelum ini.

Apakah ‘keuntungan’ yang dimaksudkan?

Skim perkhidmatan imigresen ditambahbaikkan diperkenalkan mulai 1 Disember 2007 menerusi Skim Perkhidmatan Bersepadu. Mana-mana pegawai imigresen yang sekadar berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja boleh dinaikkan jawatan ke peringkat pengurusan dan profesional.

Mungkin kerana mereka merasakan keuntungan itu sudah begitu besar berikutan peluang kenaikan pangkat begitu besar menyebabkan mereka mudah lupa.

Pada masa ini tidak ada perkhidmatan lain dalam kerajaan yang akan merasai kenaikan pangkat setelah sembilan tahun sahaja bekerja.

Ia turut melibatkan penambahan jawatan apabila depot dipertanggungjawab sepenuhnya di bawah Jabatan Imigresen pada 1 Ogos 2009.

Ketika itu kerajaan meluluskan 938 jawatan baru pelbagai peringkat bagi mengisi kekosongan di bahagian tersebut.

Kerajaan juga baru-baru ini meluluskan peruntukan RM100 juta menerusi bajet luar jangka untuk penambahbaikan dalam Jabatan Imigresen.

Bagaimana percaturannya dalam kedudukan Jabatan Imigresen?

Kerajaan sememangnya prihatin terhadap kedudukan Jabatan Imigresen maka para pegawai-pegawai mestilah melaksanakan tugas lebih baik.

Masalah pembolosan warga asing sebenarnya tertumpu kepada depot yang tidak lengkap dengan sistem kawalan bermutu.

Namun kini segalanya tersedia dengan peruntukan secukupnya sekaligus semua pegawai imigresen perlu menghargai keprihatinan sumbangan kerajaan.

Bila sudah ada peruntukan dan penambahbaikan skim perkhidmatan, mereka sepatutnya menunjukkan prestasi lebih baik dan bukan memberi masalah.

Apakah cadangan untuk penambahbaikan?

Banyak perkara di Jabatan Imigresen boleh diperbaiki dan sudah tiba masanya untuk meneliti cadangan penjenamaan semula.

Jabatan Imigresen hari ini terlalu banyak menumpukan perhatian kepada kemudahan untuk warganegara seperti pasport. Bagaimanapun, menyusuri perkembangan globalisasi, kita semua terbuka kepada ketibaan warga asing dari seluruh dunia ke negara ini.

Kerajaan turut berusaha untuk membawa masuk bakat dari luar negara dengan menyediakan peluang lebih baik untuk golongan itu. Justeru, kita seharusnya menukarkan fokus dengan memberikan peluang lebih baik kepada mereka yang bukan warganegara untuk berada di negara ini.

Ketibaan warga asing adalah 23 juta orang dengan purata 2.7 juta orang setiap hari.

Mereka adalah pekerja asing, pelajar antarabangsa, ekspatriat, pelawat harian dan pelancong asing. Semua warga asing di negara ini diuruskan oleh Jabatan Imigresen dan pilihan yang ada pada pegawai adalah menguruskannya dengan lebih baik.

Kita dahulu terlalu fokus kepada warganegara tetapi sekarang perlu beralih kepada warga asing dengan aliran yang turut ditunjukkan kerajaan.

Antaranya jangkaan terhadap kedatangan pelancong asing serta usaha untuk mewujudkan pusat kecemerlangan dan hab pendidikan.

Bagaimana pula dengan operasi dan perkhidmatan lain?

Antara cadangan penjenamaan semula yang sudah pun diuar-uarkan kepada kerajaan adalah mengkhususkan pejabat imigresen. Sebagai contoh, jika hari ini kita pergi ke pejabat imigresen Kajang namun pejabat itu hanya membuat urusan pasport Malaysia sahaja.

Apabila mewujudkan pejabat imigresen bermakna ia harus melibatkan semua urusan bukan sekadar tertumpu kepada pasport semata-mata.

Kita juga perlu menaiktaraf kemudahan teknologi maklumat bagi melancarkan urusan di pintu masuk sebagaimana pelaksanaan pintu pagar automatik (autogate) untuk pasport Malaysia.

Kemudahan itu wajar diperbanyakkan supaya Jabatan Imigresen dapat menumpukan urusan keluar masuk warga asing. Kita sudah mempunyai pejabat di luar negara yang menguruskan pengeluaran visa maka kemasukan mereka ke negara ini sudah melalui proses saringan.

Bagaimanapun, isu warga asing memasuki negara ini kerana memiliki pasport dan visa palsu tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan tanggungjawab pihak imigresen di sesetengah negara.

Apa yang kita boleh lakukan adalah menyekat kemasukan mereka sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan demikian.

Adakah adil sekiranya Jabatan Imigresen dipersalahkan berhubung kes pendatang asing tanpa izin (PATI)?

Tidak. Jabatan Imigresen tidak patut dipersalahkan 100 peratus dalam kes PATI kerana ia turut melibatkan beberapa peringkat pertahanan.

Jika kemasukan menerusi jalan laut ia akan melalui agensi lain iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim dan Pasukan Gerakan Marin.

Saya juga ingin menjelaskan bahawa Jabatan Imigresen hanya bertanggungjawab di 117 pintu masuk menerusi laluan udara, darat dan air yang diwartakan sahaja.

Seperti laluan tikus di perairan tidak dipantau oleh Jabatan Imigresen kerana ia melibatkan tiga agensi lain tetapi sebagai agensi terakhir tetap dipersalahkan.

Yang terakhir itu melibatkan soal imej dan sekiranya tiga agensi itu berperanan maka maka Jabatan Imigresen hanya melengkapkan sahaja maka hebatlah.

Tetapi jika ketiga-tiganya gagal, sehebat mana Jabatan Imigresen masih tetap gagal sebagai agensi terakhir di benteng pertahanan negara.

Begitu juga dengan pihak lain, mahu menjadikan negara sebagai hab pendidikan tetapi pihak berkenaan tidak mengetahui sejauh mana kualiti pelajar itu.

Jabatan Imigresen diminta memberi sokongan ketibaan pelajar asing dan akhirnya dipersalahkan sekiranya pelajar terbabit terlibat dengan jenayah.

Namun saya tidak menganggap perkara ini sebagai beban tetapi cabaran untuk terus maju ke hadapan.

Bagaimana dengan usaha mempertingkatkan kualiti pegawai imigresen?

Penambahbaikan kualiti perkhidmatan akan diteruskan. Kita sebagai penyedia perkhidmatan maka tiada pilihan melainkan mempertingkatkan kualiti dari masa ke semasa kerana masyarakat mahukan yang terbaik.

Sistem pendidikan akan diteruskan bukan terhad sekadar induksi tetapi sebenarnya meliputi latihan meluas seperti pengkhususan, perkhidmatan dan integriti.

Latihan interaksi tentang bagaimana untuk bertingkah laku sebagai seorang pegawai diperlukan supaya mereka dapat menjalankan pengurusan secara profesional.

Mereka akan menjadi pelaksana dan diajar bagaimana untuk membuat keputusan, tentang bagaimana untuk memberi arahan serta memantau arahan.

Latar belakang dan kemahiran yang perlu ada pada pegawai imigresen dan perlu diberikan penekanan.

Kedudukan Jabatan Imigresen adalah memberi perkhidmatan dan masyarakat perlu membantu memberikan sokongan.

Ini terutama melibatkan isu ‘pemberi’ dalam perantaraan terhadap sesuatu urusan kerana mahu cepat atau demi kepentingan tertentu.

Masyarakat harus ingat bukan semua perkara boleh dibayar dengan duit. Mereka juga harus berperanan membanteras gejala rasuah.

Apakah reaksi apabila ditukarkan sebagai Setiausaha Bahagian Imigresen di Kementerian Dalam Negeri (KDN)?

Saya melihat keputusan ini sebagai kesempatan kepada saya untuk menyumbangkan lebih besar lagi kepada imigresen.

Ini menunjukkan kerajaan masih melihat saya untuk terus menyumbang maka saya ditempatkan sebagai Setiausaha Bahagian Imigresen di KDN.

Sumbangan lebih besar merujuk kepada apa yang tidak dapat saya laksanakan semasa jadi Ketua Pengarah Imigresen.

Apabila di tempat baru nanti, saya perlu mempunyai idea lebih baik. Di KDN, kita menetapkan dasar. Oleh itu, dasar-dasar imigresen haruslah lebih baik daripada apa yang ada pada hari ini.

Cakap-cakap mengatakan penukaran itu disebabkan Datuk tidak menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Imigresen dengan baik. Komen Datuk?

Itu pandangan masing-masing. Yang pasti, saya sudah berusaha menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Jika saya tidak menunjukkan prestasi yang baik atau dianggap pertukaran ini sebagai satu hukuman, sudah tentu saya akan diberikan peranan di bahagian lain yang tiada kaitan dengan imigresen.

Tetapi saya masih lagi diberikan peluang untuk terus berkhidmat untuk imigresen yang lebih baik.

Apa perasaan Datuk apabila meninggalkan kerusi Ketua Pengarah dalam keadaan Jabatan Imigresen penuh kontroversi?

Kedudukan Jabatan Imigresen pada hari ini meskipun dilanda pelbagai kontroversi lebih kepada soal peringatan.

Ia juga sebagai satu peringatan untuk saya. Ini bermakna saya perlu menunjukkan prestasi lebih pada masa akan datang.

Sebab itulah saya masih lagi diberikan peluang menjalankan tugas melibatkan imigresen.

Saya berterima kasih kerana diberikan peluang meneraju di sebuah jabatan yang penuh dengan cabaran. Jabatan Imigresen sememangnya penuh dengan cabaran dan Ketua Pengarah baru akan mendepani cabaran seperti yang saya lalui.

Apa yang saya buat (sebagai Ketua Pengarah) adalah sesuai pada waktu saya. Apa yang saya buat juga berdasarkan cara saya memimpin.

Ketua Pengarah baru mungkin mempunyai cara lain, lebih baik daripada cara saya. Mungkin kesesuaian itu akan membawa kecekapan lebih baik kepada Jabatan Imigresen. Itu yang saya harapkan.

Apakah kunci utama Jabatan Imigresen untuk terus kukuh?

Hakikatnya, Jabatan Imigresen merupakan sebuah organisasi unit beruniform. Semangat perjuangan begitu kuat begitu juga dengan kerjasama sepasukan.

Kita perlu membina kekuatan berdasarkan strategi dan kelebihan yang ada. Perkara itu paling penting dan tidak sukar untuk melakukannya.

Bagaimanapun, masyarakat juga perlu terus memberikan kerjasama untuk merangsang kekuatan itu dan bukanlah sekadar mengharapkan yang terbaik daripada Jabatan Imigresen.

Dengan peluang kedua dan sokongan termasuk penambahbaikan dan pembaharuan, saya percaya Jabatan Imigresen akan terus kukuh.

iklan

iklan

Iklan