X Close

Jakim Sambut Baik Kenaikan Elaun Imam & Guru KAFA

Diterbitkan: Jumaat 15 Okt, 2010

KUALA LUMPUR: Peningkatan kadar elaun bulanan untuk imam dan guru agama menunjukkan kerajaan yakin dengan kemampuan mereka memberikan khidmat lebih baik untuk meningkatkan syiar Islam negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Beliau berkata elaun bulanan Imam yang dinaikkan daripada RM450 kepada RM750 sebulan dan guru Kemahiran Asas Fardhu Ain (KAFA) dinaikkan daripada RM500 kepada RM800 mulai Januari ini, juga dapat meringankan beban mereka.

Katanya golongan imam sangat berpengaruh dalam masyarakat setempat dan harus diberi perhatian oleh kerajaan agar mereka lebih bersemangat menjalankan aktiviti keagamaan untuk memberi kebaikan kepada umat Islam. Bercakap kepada BERNAMA ketika dihubungi bagi mendapatkan pandangan mengenai Bajet 2011 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Jumaat, beliau berkata kenaikan imbuhan bulanan guru KAFA juga akan mendorong mereka memberi khidmat yang lebih baik pada masa depan.

"Khidmat guru KAFA sangat penting kerana mereka juga berperanan memperkasa lagi sistem pendidikan Islam negara," katanya.

Secara keseluruhannya, Wan Mohamad berkata Bajet 2011 dilihat sebagai bajet yang turut memberi perhatian dalam aktiviti dan pendidikan agama negara kerana kenaikan elaun dan imbuhan bulanan itu merupakan satu berita baik yang dinanti-nantikan oleh 14,252 imam dan 33,664 guru KAFA di seluruh negara. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan