X Close

Konsep Kaizen Galas Tanggungjawab - KP Baru Imigresen

Diterbitkan: Jumaat 15 Okt, 2010

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Imigresen yang baru, Datuk Alias Ahmad akan mengamalkan konsep kaizen dalam menggalas tanggungjawab di Jabatan itu mulai hari ini.

Alias berkata, konsep yang mengamalkan peningkatan secara berterusan dalam mencapai tahap kecemerlangan akan dipraktikkan dalam menyelaras pengurusan jabatan itu.

Katanya, beliau akan terus mengekal dan meneruskan semua dasar sedia ada dan akan membuat penambahbaikkan dalam meningkatkan prestasi jabatan itu.

"Kita akan meneruskan semua dasar oleh kerajaan dan membuat penambahbaikkan terhadap dasar-dasar yang mungkin terdapat kelemahan.

"Bagaimanapun segala keputusan akan melalui perbincangan dengan Menteri bertanggungjawab dan semua agensi berkaitan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Alias, 58 tahun, mengambil alih tugas daripada Datuk Abdul Rahman Osman yang ditukarkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai Setiausaha Bahagian Imigresen berkuatkuasa hari ini.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN sejak Mei lalu.

Dalam pada itu, Alias berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan semua agensi terlibat mengenai beberapa isu yang melibatkan jabatan itu namun enggan mengulas lanjut.

"Segala isu yang berkaitan dengan Jabatan Imigresen akan dibincangkan dengan Menteri dan Ketua Setiausaha kementerian dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

"Terlalu awal untuk saya memberi komen mengenai isu-isu berkaitan kerana hari ini adalah hari pertama saya di Jabatan," ujarnya.

Sementara itu, Alias berkata, beliau akan mengambil pendekatan low-profile dalam menjalankan tugas barunya dan memberi laluan kepada Menteri bertanggungjawab dan Ketua Setiausaha untuk memberi sebarang kenyataan kepada media.

Bagaimanapun, beliau berjanji semua masalah akan dipandang serius demi kebaikan rakyat dan negara.

Beliau juga memohon supaya masyarakat tidak hanya memandang kepada keburukan tetapi melihat semua kebaikan dan sumbangan jabatan itu kepada negara.

(Ikuti laporan eksklusif mengenai Jabatan Imigresen dalam akhbar Mingguan Mstar yang diterbitkan bersama Sunday Star Ahad ini)

iklan

iklan

Iklan