X Close

LUAR PAGAR... Oleh PYANHABIB

Diterbitkan: Khamis 7 Jan, 2010

TERKENANGKAN PAK SAKO...

TERSANGAT banyak orang menulis dan bercerita tentang Pak Sako, negarawan rakyat ini. Banyak orang ada kenangan dengannya. Saya juga ada kenangan. Dan di sini saya bercerita sedikit daripada beberapa kenangan saya bersama Almarhum Pak Sako.

Saya mengenali `Pak Sako’ melalui novel Putera Gunung Tahan karya `Ishak Haji Muhammad’, sewaktu saya berusia 10 tahun dalam darjah empat sekolah rendah. Emak saya memberitahu bahawa Ishak Haji Muhammad itu adalah `Pak Sako’.

Dan saya diceritakan tentang Pak Sako yang menjelajah Semenanjung Tanah Melayu untuk mengutip derma bagi menerbitkan akhbar Utusan Melayu bertulisan Jawi.

Saya juga diceritakan bahawa Pak Sako pernah sampai ke kampung saya (Changkat Ibol, Bukit Gantang, Perak) dan Ketua Kampung Changkat Ibol ketika itu, `Mansur’ adalah kawan Pak Sako.

Tanpa disangka, bertahun-tahun selepas itu, saya mendapati diri saya bertugas di bawah satu bumbung bersama Pak Sako, di penerbitan akhbar yang diasaskan Pak Sako, minum pagi dan petang bersama Pak Sako, menjadi teman pengiring Pak Sako.

Perkahwinan saya turut diraikan Pak Sako malah emak saya yang sebelum itu hanya hafal akan cerita Putera Gunung Tahan, turut mendapati dirinya duduk semeja dengan Pak Sako!

Dan yang paling saya kaget apabila sekeping gambar saya berambut gondrong serabai bersaiz besar terselit di bawah alas kaca meja tulisnya. Ketika itu tahun 1983 dan saya baharu bertugas di Utusan.

Malah dalam satu kolum yang ditulis Pak Sako mengenai Hari Puisi di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1981, terdapat gambar saya melahu di bawah pokok mengiringi tulisan itu.

Semasa saya naik pelamin pada tahun 1989, Pak Sako hadir meraikan perkahwinan saya dan memeriahkan suasana dengan berpantun ditujukan pada saya dan isteri. Dan pada satu hari yang lain, sewaktu minum-minum di kantin DBP, Pak Sako dengan rokok Rothman King Size yang sentiasa berasap, sekali lagi berpantun mengenai saya dan isteri di hadapan kawan-kawan.

Dia memang seorang perokok tegar tetapi dia sihat segar bugar. Dalam usia tua dia masih jalan bergaya, masih gagah naik turun tangga Hentian Puduraya. Turun naik bas, kacang baginya.

Sesekali saya menjengok ke dalam bilik pejabat yang disediakan khas untuknya, yang turut ditumpangi pembantu pejabat yang sekali gus menjadi rakannya.

Di dalam bilik itu terdapat sebuah mesin taip jenama Olivitti. Sebuah kipas dinding yang sentiasa berpusing. Sebuah asbak rokok yang puntungnya sentiasa berasap manakala Pak Sako tekun menaip menggunakan jari telunjuk!

Setiap petang selepas selesai menyiapkan rencana, selepas menyemak-menyunting dengan tulisan tangan yang sangat cantik menggunakan pen dakwat cair hitam -mengingatkan saya akan tulisan A.Samad Said - (Pak Sako menulis untuk beberapa kolum yang disediakan untuknya dalam majalah dan akhbar terbitan Utusan), dia akan menaiki bas kilang yang kebetulan melalui hadapan bangunan Utusan di Jalan Lima untuk ke Hentian Puduraya.

Jika sedikit lewat, Pak Sako akan menaiki bas panjang biru lusuh Tong Fong di Jalan Chan Sow Lin (yang hentian basnya diamaljariah oleh Utusan beberapa bulan kemudian, jahanam. Dan beberapa tahun kemudian, lingkup!).

Jika bas mini berhenti dan tidak sendat dengan penumpang, Pak Sako akan menaiki bas mini bertambang 50 sen sekali naik itu sambil memerhati gelagat pemandu yang dirasuk pelesit sewaktu memandu.

Setiap kali bersama Pak Sako di dalam bas, yang saya lihat, meskipun bas penuh sesak sewaktu menaikinya, Pak Sako masih mendapat tempat duduk kerana ada sahaja penumpang yang bermurah hati memberinya ruang.

Di Hentian Puduraya, Pak Sako akan menarik tangan saya mengajak menemaninya pekena teh di sebuah restoran. Di sini dia akan berehat sambil minum teh atau kopi sementara menunggu untuk menaiki bas pulang ke rumahnya di Hulu Langat.

Kadang-kadang di pejabat lagi dia sudah mengingatkan saya untuk menemaninya pekena teh petang.

Kadang-kadang pada waktu yang lain dia mengajak saya menemaninya menaiki bas ke Chow Kit dan saya yang `anak muda’ ketika itu terpaksa memperlahankan langkah mengikut rentak tuanya sewaktu dia berlenggang kangkung menyusuri jalan dan lorong sekitar Chow Kit.

Orang-ramai yang mengenalinya akan segera menegur, melambai atau tersenyum sewaktu ternampak atau berselisih bahu dengannya.

Para peniaga gerai makan akan tertinjau-tinjau, anak-anak gadis pelayan bersilih ganti mempelawa Pak Sako menyinggahi gerai. Manakala kanak-kanak yang berselisih, yang dibisikkan oleh ibu atau ayah mereka, akan segera datang menyalami dan mencium tangannya.

Untuk kanak-kanak, dia akan bertanya khabar sambil berjenaka dan dia tidak pernah lokek menghulur seringgit dua. Pak Sako seorang yang sangat pemurah.

Kerana pemurahnya, kebanyakan dokumen, fail-fail dan buku-buku yang dipinjam oleh budak-budak universiti - yang mengganggu Pak Sako hingga ke rumah, demikian saya diberitahu - yang kononnya membuat kajian tentang sasterawan-negarawan rakyat ini, lesap diambil tidak dipulang-pulangkan.

Sewaktu uzur, pencetus dan pengasas penerbitan akhbar Utusan Melayu ini, masih meminta mesin taip untuk menulis malah di sisi katilnya diletakkan mesin taip agar dapat dilihatnya setiap hari.

Dan Pak Sako yang lahir pada 14 November 1909 dan kembali kepada Allah pada 7 November 1991, ternyata seorang penulis yang menulis sampai mati, sungguh!

Jemputan membaca puisi pada perasmian Galeri Rajawali oleh EXCO Pelancongan Pahang di Jalan Pak Sako 4, Temerloh pada 10 Januari 2010 telah mengembalikan kenangan Pyanhabib terhadap Almarhum Pak Sako. - PENGARANG

iklan

iklan

Iklan