X Close

LUAR PAGAR... Oleh PYANHABIB

Diterbitkan: Sabtu 30 Jan, 2010

MENYUNTING novel dan buku adalah perkara yang tidak pernah saya fikirkan tetapi saya pernah `terfikir’ untuk melakukan kerja-kerja ini secara sambilan. Dalam kata lain, mengisi masa terluang apabila saya ambil keputusan berhenti daripada tugas hakiki saya sebagai sub-editor di Utusan Malaysia.

(Sekadar catatan: Subeditor @ penyunting adalah adalah perkataan bangun kena buat @ kata kerja @ kata terbitan yang sangat tidak seronok didengar oleh Ketua Pengarang saya ketika itu. Jawatan sub-editor @) penyunting kini telah dimansuhkan dan sebagai ganti ia kini dikenali sebagai `pemprosesan’ @ unit pemprosesan yang pada awalnya rakan-rakan sering berjenaka akan istilah ini).

Job pertama pembabitan saya sebagai penyunting novel, saya peroleh dalam bulan Febuari tahun 2008 apabila saya dihubungi wakil sebuah syarikat penerbitan buku. Sejak itu saya dapati saya telah terlibat secara aktif dalam kerja `sambilan yang kelihatan sepenuh masa’ ini.

Saya beruntung kerana diberi kepercayaan oleh satu penerbit yang sangat bersungguh menerbit pelbagai buku dan genre novel. Terbitan syarikat ini ada yang diulang cetak dalam masa singkat, sementara dua tiga buku pula sering menduduki senarai teratas buku paling laris.

Kali pertama diberi job, saya diserahkan manuskrip terjemahan setebal hampir satu inci. Saya diminta menyunting mengolah karya terjemahan tersebut, sebuah karya berbentuk biografi tentang Saidatina Khadijah!

Semasa melihat teks, awal-awal lagi saya berterus terang yang saya tidak memiliki sebarang latar untuk memungkinkan saya mengolah menyunting karya berbentuk biografi itu. Tambahan pula ia melibatkan biografi isteri Nabi Muhammad SAW yang diolah berdasarkan sejarah dan fakta.

Bayangkan jika tersilap satu angka pada tahun sesuatu kejadian, misalnya, maka impaknya melibatkan imej penerbit.Asalnya, saya dihubungi dan ditawarkan menulis biografi beberapa rakan saya yang ternama.

Bagaimanapun penulisan biografi itu tidak diteruskan kerana ada beberapa hal yang tidak seronok untuk diambil tahu.Menyunting akhbar tidak sama dengan menyunting buku. Buku statik, bentuk bersegi empat. Orang baca dari satu muka surat ke satu muka surat. Pembaca yang teliti akan dapat mengesan pelbagai kesilapan penyunting.

Menyunting buku memberi banyak ruang untuk penyunting kantoi dengan mudah. Sebaliknya kerja suntingan akhbar sedikit selamat kerana akhbar diterbitkan setiap hari dan beritanya dibaca untuk kemudian dibungkusnasilemakkan atau dibikin `ralat’ keesokannya.

Alhamdulillah, setelah melalui beberapa suntingan dan kerjasama pihak penerbit, kerja pertama saya membuahkan hasil apabila buku berbentuk biografi iaitu Khadijah: Cinta Abadi Kekasih Nabi, diulang cetak.

Kalau ada sesiapa yang patut ditunjal dahinya setelah buku yang bercerita tentang isteri, kekasih dan sahabat yang paling dicintai Rasulullah ini diterbit cetak, maka sayalah, walaupun saya tidak patut ditunjal - sebab siang-siang saya sudah cakap jangan tunjal saya kalau saya tersalah conteng!

Hari ini, jadual harian saya, yang sememangnya tidak pernah berjadual, berubah. Apabila dalam satu masa saya diberi 2-3 manuskrip novel untuk di conteng, maka tugas saya adalah untuk pulun dari Subuh ke Subuh. Malam jadi siang, siang jadi malam.

Seksanya kalau dapat manuskrip yang teksnya berselirat dengan kesalahan nahu, ejaan. Malah letak titik komanya kena diperbetulkan sambil berharap kesalahan titik koma ini tidak terlepas.

Ada teks yang babnya berulang ke muka surat lain, ada teks yang berjela-jela dengan istilah. Ada teks yang ditulis sekali lalu. Ada yang tulis lengkap dengan sumber rujukan dan nota kaki.

Ada watak yang tidak letih-letih keluar masuk muka surat memberi dan menjawab salam, menjawab dan memberi salam! Paling tidak seronok apabila ada penulis ikut sedap sendiri, ada bab sepanjang 5-6 muka surat dalam novel yang sudah diterbitkan tiba-tiba muncul berulang dalam novel kedua yang sedang disunting. Nasib baik dapat dikesan awal. Kalau terlepas?

Tugas saya, bantai cincang conteng sahaja. Kalau enam muka perlu cincang, enam mukalah ghaib dari teks. Saya bukan si pandai akan hal menconteng buku atau novel. Tetapi saya ada lesen 10 tahun sebagai penyunting akhbar yang pernah buat salah hanya satu huruf (`j’) iaitu menulis `agenda’ kepada `ajenda’ yang kemudiannya notis kesalahan itu ditampal pada papan memo, hem…

PYANHABIB adalah seorang sasterawan tanpa kawalan. Dalam artikel ini beliau bercerita tentang kerjanya mengedit novel yang kemudiannya beliau dapati sebuah kerja sambilan yang telah menjadi kerja sepenuh masa.

iklan

iklan

Iklan