X Close

Perjalanan Hidup Bekas Penagih Dadah

Diterbitkan: Selasa 26 Jan, 2010

Sohaimi menyesal 22 tahun daripada usia remajanya hilang akibat pengaruh dadah.-Foto THE STAR oleh DARRAN TAN

PERJALANAN hidup penagih-penagih dadah memang penuh dengan kecelaruan akibat kebergantungan pada najis itu, malah banyak yang melarat dan merempat akhirnya.

Tetapi bukan semua penagih yang membuat keputusan untuk melalui kehidupan begitu buat selama-lamanya.

Ada segelintir daripada mereka berjaya kembali ke pangkal jalan dengan keluar dari pengaruh dadah, mengubah cara hidup mereka setelah timbul keinsafan.

Antara mereka adalah Sohaimi Ahmad yang kini bergelar Pengurus Program Rumah Pengasih yang terletak di Kuala Lumpur.

Sekilas pandang, tiada siapa yang dapat mengagak beliau sebenarnya merupakan seorang bekas penagih melainkan setelah beliau sendiri mengakui kenyataan tersebut.

Ini kerana susuk badannya tegap dan cara percakapannya penuh dengan keyakinan diri selepas bebas daripada ketagihan dadah, jauh berbeza padan dengan identiti beliau yang terdahulu.

Insan ini pernah dipenjarakan beberapa kali kerana kesalahan mencuri dan mengambil dadah. Beliau juga pernah menjadi peminta sedekah di Stesen Bas Klang dan pusat-pusat serenti bagaikan rumah keduanya suatu ketika dahulu.

Pun begitu, Sohaimi tidak malu mendedahkan pengalaman hidupannya kerana baginya, ia boleh dijadikan sebagai pedoman untuk sesiapa yang ingin mencuba dadah.

“Saya kehilangan 22 tahun daripada usia remaja saya kerana menghisap najis itu dan mula menghisap heroin pada umur 14 tahun.

“Pada masa itu juga saya kehilangan ayah dan ahli-ahli keluarga pernah menuduh saya pembunuh ayah. “Sebelum arwah meninggal, beliau menyuruh saya mengambil air wuduk untuknya sebelum solat subuh. Dan oleh kerana berada di bawah pengaruh dadah, saya memarahinya.

“Itu juga merupakan kali terakhir saya bercakap dengannya,” katanya dengan nada sedih apabila ditemui di Rumah Pengasih di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kini Sohaimi yang berumur 52 tahun mahu berkongsi pengalamannya dengan penagih-penagih yang sedang mendapatkan rawatan di Rumah Pengasih itu.

Beliau hidup bahagia di samping isterinya dan sedang menantikan kelahiran cucu tirinya yang ketiga.

“Kehidupan saya jauh lebih baik tanpa dadah. Sekarang saya mendekatkan diri dengan Tuhan dan kini menikmati kehidupan ini sepenuhnya,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau juga pernah mendekati maut sebanyak lapan kali kerana mengambil dadah secara berlebihan. Mujurlah hayatnya masih panjang dan beliau yakin dia mendapat peluang kedua untuk memperbaiki dirinya.

“Saya percaya hidup saya kini mempunyai misi penting iaitu untuk membantu penagih-penagih lain untuk keluar daripada terus di belenggu dadah,” jelasnya.

iklan

iklan

Iklan