X Close

Pesta Tanglung 2009 satukan pelbagai kaum di Malaysia

Diterbitkan: Isnin 28 Sept, 2009

Kanak-kanak yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India bergambar sambil memegang tanglung. - foto THE STAR oleh SIA HONG KIAU

KEISTIMEWAAN negara Malaysia adalah kehidupan majmuk berbagai masyarakat berbilang kaumnya yang hidup bersama tanpa memikirkan sentimen perkauman.

Lebih menarik, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan berbagai kaum seperti Iban, Kadazan, Bajau dan berbagai lagi yang terdapat di Sabah dan Sarawak sentiasa berpeluang menyambut berbagai jenis perayaan bersama setiap tahun.

Baru-baru ini telah diadakan sambutan julung kalinya Pesta Tanglung Kuala Lumpur 2009 yang telah berlangsung di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 26 September lalu.

Majlis yang dianjurkan Kementerian Pelancongan melalui Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama 100 badan bukan kerajaaan bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dan kebudayaan berbilang kaum selaras dengan konsep 1Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen bergambar sewaktu menyertai perarakan tanglung dari Pasar Seni ke Jalan Petaling.

Selain itu festival ini juga diadakan bertujuan meraikan festival tahunan kuih bulan yang akan disambut pada 3 Oktober ini.

Pesta yang bermula pada jam 8 malam hingga 11 malam itu dihadiri oleh seramai 20,000 masyarakat berbagai kaum di Malaysia serta pelancong asing yang turut menyertai perarakan membawa pelbagai bentuk tanglung dari Pasar Seni menuju ke Jalan Petaling.

Jalan Petaling yang mendapat gelaran 'Chinatown' dipenuhi dengan pelbagai identiti, kebudayaan dan tulisan Cina.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan.

Najib dalam ucapan perasmiannya mengatakan Pesta Tanglung ini akan dijadikan acara tahunan dalam usaha menerima kepelbagaian budaya di Malaysia serta meraikan keunikan sambutan perayaan di Malaysia.

"Kita melihat beberapa perspektif sebagai penerimaan terhadap usaha menjurus kepada memantapkan lagi perpaduan negara dari segi pemikiran kita terhadap budaya, amalan, tradisi, pemakanan dan sebagainya.

Pelancong dari Indonesia memerhatikan tanglung yang diberikan oleh penganjur kepada setiap pengunjung yang hadir.

"Festival ini juga dilihat sebagai satu lagi produk pelancongan kerana ia pasti dapat menarik lebih ramai pelancong dan menjadi satu langkah mengelakkan berlakunya keretakan hubungan antara kaum di negara kita," katanya.

Kepelbagaian persembahan budaya berkonsepkan 1Malaysia

Pesta Tanglung Kuala Lumpur 2009 ini juga berlangsung dengan diserikan oleh berbagai persembahan kebudayaan yang berkonsepkan 1Malaysia.

Meskipun festival ini disambut oleh masyarakat Cina, namun pesta ini menampilkan persembahan budaya yang mewakili setiap kaum di Malaysia membuktikan perayaan ini disambut oleh setiap gelintir masyarakat tidak mengenal kaum dan budaya.

Berbagai persembahan diadakan seperti tarian moden, orkestra Cina, akrobatik Cina dan persembahan tarian cuti-cuti 1Malaysia.

Tarian ini menampilkan kepelbagaian jenis tarian yang merangkumi setiap kaum iaitu Melayu, Cina, India, suku kaum Orang Asli, Iban dan Kadazan.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor (dua, kiri) bersama-sama memotong Kuih Bulan berbentuk 1Malaysia selepas melancarkan Pesta Tanglung KL 2009 di perkarangan Pasar Budaya di sini. Turut hadir Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (empat, kiri). - foto BERNAMA

Lebih menarik, tarian mereka diiringi oleh lagu 'Cuti-Cuti Malaysia' yang dinyanyikan dalam tiga jenis bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina dan Tamil oleh penyanyi terkenal tanahair, Datuk Siti Nurhaliza.

Tidak ketinggalan juga tarian akrobatik singa yang begitu sinonim dengan masyarakat Cina apabila meraikan sesuatu majlis.

Upacara pelancaran pesta ini juga menyaksikan Perdana Menteri memotong kuih bulan berbentuk 1Malaysia seberat 80 kilogram selepas upacara perasmian berlangsung.

Kemeriahan pesta tanglung yang diadakan buat pertama kali ini juga diserikan dengan tanglung gergasi setinggi 3.05 meter berbentuk logo 1Malaysia yang dinyalakan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dengan tarian serta pukulan gendang pelbagai kaum.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (tengah) dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor membawa tanglung ketika berarak di Jalan Petaling selepas melancarkan Pesta Tanglung KL 2009 di perkarangan Pasar Budaya di sini. Turut kelihatan Menteri Pelancongan Datin Seri Dr Ng Yen Yen. - foto BERNAMA

Perarakan tanglung yang bermula dari Pasar Seni ke Jalan Petaling juga membuktikan kemajmukan masyarakat berbagai kaum di Malaysia apabila ianya disertai oleh masyarakat Melayu dan India sambil membawa tanglung.

Malah pelancong-pelancong asing juga tidak ketinggalan untuk sama meraikan pesta ini dengan menyertai perarakan tersebut.

Sambutan berbagai perayaan menjadi satu aspek untuk setiap masyarakat di Malaysia merapatkan perhubungan sesama kaum, biarpun sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri masih lagi belum selesai, masyarakat Cina pula menyambut festival kuih bulan dan tanglung dalam bulan yang sama.

Selepas ini juga, rakyat Malaysia akan bersama-sama kaum India menyambut perayaan Deepavali yang pastinya akan diadakan secara meriah juga.

Begitulah keunikan masyarakat di Malaysia dan ini juga dikatakan bahawa negara Malaysia merupakan negara yang 'Truly Asia'.

iklan

iklan

Iklan