X Close

Agro Bazaar di Restoran Jejantas Ayer Keroh

Diterbitkan: Sabtu 26 Sept, 2009

Agro Bazaar di Restoran Jejantas Ayer Keroh semakin popular di kalangan pengguna Lebuh Raya Utara Selatan yang singgah untuk berehat dan menjamu selera. Agro Bazaar pertama untuk beroperasi di restoran jejantas itu terletak di arah selatan lebuh raya itu. Ia dibuka pada 1999 dan kini ia menggamit pengguna lebuh raya itu dengan pelbagai produk, termasuk keenakan, kesegaran dan "kaw" KopieSatu, minuman kopi tempatan seratus peratus. Agro Bazaar, milik penuh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) itu yang beroperasi 24 jam setiap hari sepanjang hari menjadi tumpuan pelancong domestik dan luar negara. Kelihatan dalam gambar Penyelia Agro Bazaar Nasir Kassim. -Foto BERNAMA

AGRO Bazaar di Restoran Jejantas Ayer Keroh di sini semakin popular dalam kalangan pengguna Lebuh Raya Utara Selatan yang singgah untuk berehat dan menjamu selera.

Agro Bazaar pertama yang beroperasi di restoran jejantas ini terletak di arah selatan lebuh raya berkenaan. Bazaar ini mula beroperasi pada 1999.

Agro Bazaar ini milik penuh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 11 malam setiap hari. Pada musim perayaan, ia beroperasi 24 jam.

Bazaar ini, yang menjadi tumpuan pelancong domestik dan luar negara, menjual pelbagai produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Antara barang yang dijual ialah keropok ikan, keropok melinjau, opak ubi, pelbagai kerepek, dodol pelbagai rasa dan kuih muih kering, cencaluk serta bahan masakan seperti belacan dan serbuk asam pedas.

PRODUK FAMA

Turut dipasarkan ialah pelbagai produk keluaran Fama seperti jenama OleMas dan AgroMas.

Setakat ini, bazaar ini menarik penyertaan 31 orang pengusaha PKS, 29 pengusaha dari Melaka dan masing-masing seorang dari Negeri Sembilan dan Selangor.

Pengarah Fama Melaka Mohd Nawi Othman berkata Fama mewujudkan Agro Bazaar ini sebagai ruang untuk mempromosi dan memasarkan produk para usahawan PKS dari seluruh negara.

Beliau berkata Agro Bazaar ini mencatat jualan RM1.3 juta tahun lepas berbanding RM1.2 juta pada 2007.

"Pada tahun ini kami mensasarkan nilai jualan sebanyak RM2 juta," katanya di sini.

KUALITI TINGGI

Beliau berkata produk PKS yang dijual di bazaar ini berkualiti tinggi dan mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983.

Mohd Nawi berkata Fama turut memberi khidmat nasihat dan bantuan kepada pengusaha yang baru melibatkan diri dalam perusahaan yang mereka ceburi.

"Kami akan membantu pengusaha PKS supaya produk mereka bukan sahaja diterima baik pengguna yang berkunjung ke Agro Bazaar tetapi juga berjaya memasuki pasaran lebih luas seperti pasar raya besar di seluruh negara," katanya.

Memandangkan ruang Agro Bazaar ini telah penuh, Fama Melaka merancang membuka sebuah lagi Agro Bazaar di Hentian Ayer Keroh di arah utara.

SAMBUTAN ORANG RAMAI

Sementara itu, Penyelia Agro Bazaar Nasir Kassim berkata sambutan orang ramai terhadap bazaar ini semakin meningkat kerana mereka boleh mendapatkan semua produk PKS berasaskan makanan di sini terutama makanan tradisi rakyat Melaka.

Yang lebih menarik ialah kesemua produk di sini segar dan berkualiti tinggi kerana Fama sentiasa memberi bimbingan kepada pengusaha terutama mengenai kaedah pembungkusan dan pelabelan.

"Pengguna lebuh raya terutama pelancong yang pertama kali singgah membeli produk PKS di sini, akan datang lagi untuk membelinya kerana kualitinya yang baik," katanya.

Beliau berkata produk yang dipasarkan di sini ialah pada harga yang berpatutan.

FAMA SARAWAK

Bagi mempelbagaikan jualan produk di sini, Nasir berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Fama Sarawak dan Sabah untuk mendapatkan bekalan produk dari keduadua negeri itu untuk bazaar ini.

"Kami juga mempelawa pengusaha PKS dari Sabah dan Sarawak untuk mempromosi produk mereka di sini, seperti kuih cincin, kuih lidah, kerepek pisang ranggu, tabaloi dan ikan terubuk masin," katanya.

Nasir berkata semakin popular sekarang ialah "KopieSatu" yang berjaya menarik ramai pengguna lebuh raya untuk menikmati minuman kopi segar diperbuat daripada biji kopi tempatan.

Beliau berkata hidangan "KopieSatu", kopi keluaran Kilang Kopi Fama di Banting, Selangor, mula diperkenal pada 2005. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan