X Close

Ayam panggang dan percik pilihan pengunjung Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13

Diterbitkan: Khamis 27 Ogos, 2009

ORANG ramai berpusu-pusu ke Stadium Shah Alam di Seksyen 13 bukan kerana menyaksikan perlawanan bola sepak pada bulan Ramadan ini.

Mereka sebaliknya berasak-asakan untuk membeli pelbagai makanan dan minuman untuk berbuka puasa.

Aneka mee goreng. -foto THE STAR oleh SAMUEL ONG

Maklumlah terdapat lebih 200 gerai di situ. Gerai-gerai tersebut menjual murtabak, nasi kerabu, nasi dagang, nasi minyak, nasi lemak kukus, mee goreng dan kebab ayam serta daging.

Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan rojak, pasembur, Penang laksa, Johor laksa, yong tau foo, otak-otak, burger Arab, roti John, satay di samping macam-macam kuih dan kek.

Gerai menjual ayam panggang sangat popular kerana pelanggannya sanggup berbaris panjang untuk membeli setengah malah satu ekor!

Pelanggan-pelanggan beratur membeli ayam golek dan ayam percik di gerai Mansor Che, "Restoran Jaring".

Mansor Che Soh, 55, berkata, ayam golek dan ayam percik laris dijual. Turut dijual ikan percik dan daging bakar.

Katanya, dia boleh menjual 350 ekor ayam setiap hari di bazar tersebut.

"Kebanyakan pembeli adalah pelanggan tetap saya. Saya telah menjalankan perniagaan di Bazar Ramadan selama lapan tahun," katanya yang juga berniaga di Sunway Mentari Business Park.

Pengendali gerai Ayam Bakar Zaharah Madu Asli, Sufian Ismail mempertaruhkan cairan perap khas untuk memanggang ayam-ayam yang dijualnya.

Menurutnya, resipi rahsia itu merangkumi madu dan serbuk cili.

Ayam barbeku: Fatrhurrohman Baihaqi, 35 (kiri) memanggang ayam-ayam di gerai-gerai 'Ayam Bakar Zaharah Madu Asli'.

"Secara puratanya, saya berjaya menjual 200 ekor ayam sehari," ujar Sufian yang mempunyai 10 orang pekerja untuk membantunya.

Ikan bakar dengan sambal antara yang dijual di bazar Ramadan Stadium Shah Alam.

Dalam pada itu, gerai Kak Yah yang menjual roti jala dan yau char kuai turut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Gerai-gerai minuman juga banyak terdapat di bazar ramadan. Menariknya, ia sedia dibungkus dan berwarna-warni untuk kemudahan para pembelinya.

Azrul Azim, 22 (kiri) menyusun pek-pek minuman di gerainya untuk kemudahan pelanggannya.

Antaranya, air mata kucing, air teh bunga kekwa, air tembikai susu dan air jagung.

iklan

iklan

Iklan