X Close

Liberalisasi ekonomi: Cabaran dan peluang

Diterbitkan: Khamis 30 Apr, 2009

PENGUMUMAN YAB Perdana Menteri untuk meliberalkan ekonomi Malaysia bukan perkara yang baru. Hakikatnya, amalan dan dasar negara kita untuk mengambil pendekatan meliberalkan ekonomi pernah diadakan suatu ketika dahulu.

Pada tahun 90-an, Malaysia pernah membuka ruang untuk pelabur luar membeli saham/ ekuiti sehingga 30% dalam badan korporat Malaysia. Tujuan ketika itu ialah menarik perhatian pelabur luar supaya menyimpan dan melabur duit di Malaysia dan mempromosikan Malaysia sebagai salah satu pusat kewangan antarabangsa yang mampan. (Kok Fay Chen dan K. S Jomo). Dasar YAB Perdana Menteri yang baru ini sebenarnya melakukan pendekatan yang dinamik dalam menguruskan ekonomi negara. Umpama ‘getah’ yang boleh dilenturkan sebesar yang mungkin, dan dibiarkan dalam keadaan sedia ada. Jika dirasakan perlu melenturkannya, boleh dipanjangkan sejauh mungkin. Jika mahu kekal seperti sedia ada, maka kekalkan dalam bentuk sedia ada. Hakikatnya, ‘getah’ tetap ‘getah’ juga, walaupun dilenturkan entitinya. Meliberalkan ekonomi boleh difahami sebagai satu usaha menggalakkan persaingan secara merit, dalam konteks mengejar dan membangunkan sumber/ lebihan aset negara atau individu.

Dalam kerangka falsafah dan wacana liberal ekonomi semasa, apa yang mereka perjuangkan ialah kebebasan mutlak inidvidu atau pasaran yang menentukan perjalanan ekonomi. Bahkan menolak campur tangan negara yang hanya secara minimal sahaja dibenarkan.

Dari Adam Smith, David Hume, David Ricardo, sehingga tokoh ekonomi liberal kontemporari seperti Friedrich Hayek dan Milton Friedman, semua mengangkat darjat humanisme sebagai ukuran mutlak kejayaan seseuatu ekonomi.

Tidak ada peranan kerajaan, bahkan agama sebagai pemandu dan panduan ekonomi negara. Bagi mereka, manusia perlu diberi kebebasan mutlak mengaut keuntungan, walaupun dengan menggondolkan tanah, menipu, merampas hak orang atau menindas. Dasar meliberalkan ekonomi negara tidak sama dengan kerangka falsafah pemikiran yang dianjurkan oleh tokoh- tokoh seperti itu. Hakikatnya, Malaysia masih mengambil pendekatan dualistik atau ‘serampang dua mata’, iaitu membuka ruang pesaing luar untuk melabur dan pada masa yang sama kerajaan berperanan teguh dan berdisplin mengawal secara hikmah ekonomi negara. Jika dilihat dalam konteks falsafah ekonomi negara, dasar ekonomi negara merupakan adunan tiga bentuk pemikiran falsafah ekonomi yang dominan, iaitu sosialisme, kapitalisme (neo- liberal) dan Islam sendiri.

Walaupun ada ilmuwan ekonomi Muslim seperti Umar Chapra yang menentang apabila mengatakan orientasi kapitalisme dan sosialisme ada persamaan kefahamannya dengan orientasi Islam. Bagi beliau, kefahaman itu menunjukkan kedangkalan prinsip asas dalam ketiga- tiga dasar pemikiran itu (Umar Chapra). Namun demikian, hakikatnya ada nilai yang dikongsi bersama dalam ketiga- tiga pemikiran tersebut yang akhirnya boleh ditemui dalam ajaran Islam sendiri. Tidak keterlaluan mengatakan corak dan gaya mengurus ekonomi Malaysia tidak akan lari daripada tiga komponen falsafah pemikiran ekonomi ini. Tidak boleh mengatakan ekonomi Malaysia kapitalisme per- se, apabila melihatkan penumpuan besar kepada pembangunan projek mega dan pembukaan sektor ekonomi yang menggalakkan keuntungan maksimum.

Ini kerana, Malaysia banyak membantu mengangkat martabat ekonomi masyarakat miskin dan kaum yang memerlukan, seperti memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Peningkatan Daya Pengeluaran Negara (DPDPN), Dasar Penswastaan dan banyak lagi. Hatta kerajaan sentiasa mengumumkan agenda membasmi kemiskinan, yang boleh dilihatkan kejayaannya, apabila mensasarkan tahun 2010 sebagai bebas daripada kemiskinan tegar.

“Menurut kajian Jabatan Statistik, bahawa pendapatan isu rumah Malaysia meningkat kepada RM 3,686 sebulan pada 2007, daripada RM 3, 249 pada tahun 2004, peningkatan sebanyak 4.3 peratus, yang disebabkan pertumbuhan ekonmi yang positif, yang menjana peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat Malaysia” (Bernama 7 April 2008) Malah, jika mengatakan menggunakan kerangka ekonomi Islam secara menyeluruh, tidak tepat juga. Walaupun ada menjurus kepada mengangkat keadilan dan mengurus kemiskinan, melalui pembahagian wang zakat dan seumpamanya, hakikatnya masih ada lagi kelompongan yang perlu diperbaiki. Jika kerangka ekonomi Islam digunakan, seharusnya falsafah ekonomi Islam diajar dan dijadikan silibus utama dalam semua pendidikan ekonomi yang ada di sekolah dan universiti.

Tokoh ekonomi Muslim seperti Al-Maqarizi, Ibn Khaldun, Abu Yusuf dan ramai lagi diperkenalkan dan dikembangkan ideanya. Apa yang ada ialah subjek dan buku teks ekonomi yang didominasi oleh kerangka fikir Barat yang sama ada berpaksikan kapitalisme atau sosialisme. Hanya yang ada ialah usaha bersendirian dan sesetengah pihak sahaja yang bersungguh mengangkat wacana ekonomi Islam sebagai teras utama. Kehadiran perbankan Islam dilihat sebagai ‘menyelamatkan’ sektor ekonomi secara keseluruhan, kerana menggunakan kerangka ‘Shariah’ dalam menguruskan aktiviti perbankan.

Walaupun masih muda dan berpotensi jauh, perbankan Islam sebenarnya harus melonjak jauh dengan ‘membersihkan’ diri daripada elemen perbankan konvensional yang masih melekat. Antara isu yang perlu ditangani ialah sistem interest, fiat money dan fractional reserve system. (Kamel Mydin Meera) Apabila melihat dasar yang dinamik dan unik ini, Malaysia berusaha menguruskan ekonomi negara menggunakan acuan tersendiri. Usaha ini boleh menampakkan kejayaan dalam sejarah mengurus negara, terutamanya pada tahun krisis 1997.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir mengambil sikap ‘melawan arus’, apabila tidak meminjam daripada IMF untuk menguruskan ekonomi negara, berbanding dengan Korea Selatan, Thailand dan negara lain. Dalam konteks hari ini, dasar meliberalkan ekonomi negara ada beberapa faktor yang perlu dilihat secara kritis; 1) Apabila kerajaan membuka polisi untuk pelabur luar memiliki saham/ ekuiti sehingga 70% dalam perbankan Islam, bank pelaburan, takaful dan syarikat insurans adalah usaha yang positif.

Tujuannya adalah mempromosi pelabur luar melabur di Malaysia. Apabila sejumlah wang yang besar dilaburkan di Malaysia, ekonomi negara boleh dipacu dengan segera.

Putaran ekonomi dan ‘purshasing power’ dari sektor kerajaan sehingga individu dapat dijana. Namun demikian, bagi perbankan Islam, cabaran sangat getir.

Ekuiti sebesar 70% yang diperolehi oleh pelabur luar dalam sesebuah perbankan Islam tempatan sebenarnya telah ‘mencabar’ dasar kuota yang sering dipertahankan.

Namun dalam konteks ekonomi semasa, dasar ini melawan arus. Sudah tentu bagi orang Melayu, secara diam- diam, polisi terbuka dan merit telah berjalan dan menuntut supaya lebih bersedia dan berdaya saing.

Secara objektif, tidak ada penentangan secara kuat dari orang Melayu, memandangkan mungkin subjek ekuiti dalam perbankan Islam masih jauh dan tidak melekat di sanubari mereka. Jika dasar merit dibuka secara total dalam aspek pendidikan seperti kemasukan MRSM atau universiti, barangkali penentangannya akan kuat. Ini kerana isu pendidikan sangat kuat dalam sanubari mereka. 2) Dua lesen perbankan Islam kepada pemain luar negara dengan modal AS$ 1 Billion menuntut perbankan Islam sedia ada bersaing dengan kuat dan dedikasi. Dari segi modal ‘poket’, perbankan Islam dari luar negara, hakikatnya mempunyai lebihan modal yang besar dan banyak, kerana industri minyak yang membantu. Justeru memungkinkan mereka mempunyai pakej produk dan servis, serta fasiliti perbankan yang lebih menarik dan dinamik. 3) Malah, dalam konteks produk perbankan Islam, pemain luar negara mampu menawarkan produk yang kurang kontroversi. Berbanding dengan perbankan Islam tempatan, apabila Hakim Wahab Patail mengisytiharkan produk Bai’ Bithama Ajil tidak patuh Shariah (non- compliant) pada Julai 2008, merupakan satu ‘wake up’ call kepada semua perbankan Islam.

Maknanya, akan menjejaskan hampir majoriti portfolio perbankan Islam yang menggunakan BBA akan dikategorikan sebagai tidak patuh Shariah. Walaupun begitu, keputusan itu dikritik kerana tidak menggunakan kaedah yang kemas dalam mengeluarkan penghakiman kerana tidak merujuk kepada pakar Shariah perbankan Islam, bahkan dikatakan telah ‘re-write’ kontrak sedia ada yang telah dipersetujui oleh pelanggan dan bank.

Namun, pada Mac 2009 yang lalu, keputusan terbaru mengenai kepatuhan Shariah produk BBA oleh Bank Islam telah diisytiharkan kemenangan moral kembali kepada perbankan Islam. 4) Namun demikian, tidak selamanya perbankan Islam tempatan boleh selesa dengan produk yang sedia ada. Persaingan apabila ‘langit luas terbuka’ menuntut kreativiti yang dinamik dan ketajaman membaca situasi pasaran untuk mempromosikan produk tempatan. 5) Polisi 70 % tidak dibuka kepada perbankan komersial konvensional (Commercial bank), hanya perbankan pelaburan (Investment bank) sahaja. Pelabur luar sebenarnya berminat dengan perbankan komersial konvensional hakikatnya, kerana pakej dan pasaran perniagaan semasa (retail market) lebih menarik dan mudah mengaut untung.

Permintaan membeli rumah, kereta, deposit dan sebagainya mempunyai permintaan yang berterusan, dan boleh menjamin pusingan pasaran yang konsisten. Berbanding dengan perbankan pelaburan, yang menumpukan kepada capital market (modal pasaran) seperti sukuk, bond dan real estate yang terlalu terhad. Justeru, apakah manfaat liberalisasi ekonomi kepada rakyat secara keseluruhan? Mungkin peringkat mikro ekonomi, dasar ini tidak dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia, terutama bila mahu dikaitkan dengan penyelesaian masalah ekonomi seharian.

Namun, di peringkat makro ekonomi dan jangka masa panjang, liberalisasi ekonomi ada peluang untuk dijayakan, terutamanya menjadikan Malaysia sebagai hub perbankan Islam sedunia. London berjaya dari segi menarik pelabur sebagai hub kewangan konvensional antarabangsa. Malaysia semestinya merancang dan menyusun strategi ke arah itu. Kesimpulannya, liberalisasi ekonomi ini harus menguntung rakyat Malaysia sendiri. Ini boleh dilakukan dengan melakukan kempen kesedaran menyokong produk dan servis perbankan Islam di kalangan massa, menggalakkan pelaburan yang sah/ patuh Shariah di kalangan massa, menggalakkan pembelian emas dinar sebagai pelaburan masa depan dan mengagih keuntungan pelaburan oleh perbankan atau mana- mana pelaburan kerajaan untuk membangunkan rakyat. Mohd Hilmi Ramli Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

iklan

iklan

Iklan