X Close

LUAR PAGAR... Oleh PYANHABIB

Diterbitkan: Rabu 16 Dis, 2009

SUARA KENA `kincing’... "Aku tidak mahu ambil tahu siapa bikin. Aku sudah bikin itu lagu sejak tahun 81. Sebarang gubahan sekarang aku tidak mahu terlibat."

Demikian antara lain kata YM Raja Kobat Salehudin Raja Muda Musa sewaktu saya menemuinya di Bangi Kopitiam Taman Melawati.

Saya bertemu beliau selepas saya diberitahu tentang youtube memuatkan sebuah klip video yang mana lagu dalam klip video tersebut adalah dari dua rangkap terakhir puisi saya bertajuk `Suara’ dan dinyanyikan oleh penyanyi amoi yang fasih lagi chomel!

Raja Kobat adalah penggubah asal lagu yang liriknya berdasarkan dua rangkap terakhir puisi saya itu manakala gubahan muzik oleh Ooi Eu Jin.

Mereka berdua berkolaborasi bikin lagu berdasar puisi saya ini pada tahun 1981.

Kolaborasi mereka berdasarkan puisi saya ini khas untuk lagu latar drama berjudul Gelisah Seorang Seniman terbitan RTM pada tahun tersebut dan ia dinyanyikan oleh Zainal Othman, seorang jurugambar, pengarah filem dan telemovie yang bersuara jantan ala Tom Jones! Drama Gelisah Seorang Seniman dilakonkan oleh Uji Rashid dan Khalid Salleh. Skrip drama ini adalah karya asal tulisan Azizi Haji Abdullah.

Dan entah bagaimana ceritanya, skrip itu kemudian telah disesuaikan oleh Zahora Lola selaku penerbit drama tersebut berdasarkan watak saya dan kerana itu dua rangkap terakhir puisi saya diambil sebagai lagu latarnya. Demikianlah saya difahamkan.

Raja Kobat menyatakan bahawa dia pernah ditemui beberapa orang yang mahu gubah semula lagu puisi Suara. Malah pada tahun ini sahaja ada 2-3 orang bertemu dengannya bagi tujuan yang sama.

``Aku tidak suruh dan tidak halang. Mereka hendak buat, buatlah. Tetapi yang tulen dan asli adalah lagu Suara yang aku gubah tahun 1981,’ katanya lalu memberikan saya cd gubahan asal.

Dalam kes ini, saya tidak faham sama ada saya yang sepatutnya diminta izin kerana puisi Suara itu karya saya atau Raja Kobat yang diminta izin kerana dua tiga orang itu berasakan lagu itu hak milik Raja Kobat?

Saya menulis puisi ini sekitar penghujung tahun 70-an. Saya mulakannya dengan menconteng daun tingkap tingkat atas penginapan saya di Anak Alam, sebuah koloni pelukis-penulis yang mendiami sebuah banglo kolonial menghadap Padang Merbuk di Jalan Parlimen.

(Apa itu Anak Alam? Tentang Anak Alam akan saya ceritakan dikesempatan lain).

Contengan asal pada daun tingkap tersebut beberapa tahun kemudian saya kembangkan dan diberi tajuk `Suara’.

Puisi ini kemudiannya dilihat sebagai mahakarya saya semasa usia remaja dan pernah dibaca atau diminta dibacakan di merata acara puisi di dewan-dewan universiti dan siswa universiti menggemarinya malah mereka diberi tugasan kuliah berdasarkan dua rangkap terakhir puisi saya ini.

Puisi ini juga adalah sebuah karya tidak sengaja dan ia menjadi sebuah puisi pun secara tidak sengaja juga. Daripada hanya sebuah contengan kecil di daun tingkap, bertahun-tahun kemudian ia berkembang menjadi sebuah puisi, bukti ghairahnya usia remaja saya memasuki dunia penyair.

Sungguh. Sehingga tahun 80-an, hanya bermodalkan puisi Suara, saya menjejak kaki ke universiti malah saya masuk keluar universiti! Dalam kata lain, puisi Suara seakan masterpiece saya semasa remaja. Baca dan rasalah:

…….

sepi berguling

pada tebing bukit-bukit bening

pedih memilu

resah mengerang

pada jurang gaung-gaung garang

pahit mengilu

hey pernahkah engkau

melihat aku mundar-mandir

di lorong-lorong usang hanyir

pernahkah engkau

hey pernahkah engkau

melihat aku tersungkur-mundur

di warung-warung gelas anggur

pernahkah engkau

adalah aku yang sering menggigil

sewaktu terasa suara-suara sepi memanggil

adalah aku yang sering menerajang

sewaktu terasa hari-hari begitu panjang

resah kubakar bagai bintang gugur ke bumi

KE BUMI

seringkali terdesir dan menyelinap

ke penjuru ruang kamar pengap

siapakah yang datang mengetuk pintu itu

dan memanggil-manggil namaku

aku tidak pasti meskipun berkali-kali

engkau kususuri

suara

suara

suara

di manakah suara itu

ke manakah menghilang

sepi pun menurun

aku menjadi rindu

suara

suara

suara

Dua rangkap terakhir puisi inilah yang divideoklipkan oleh satu penerbit lalu menjualkannya kepada stesen TV sebagai produk halal mereka!

Mudah-mudahan stesen TV tersebut tidak berasa mereka tertipu dan penerbit terbabit tidak berasa mereka menipu stesen TV tersebut dan menipu diri sendiri!

Puisi Suara yang dilagu dan divideoklipkan itu terang-terang dicatat sebagai karya saya tetapi saya tidak pernah dihubungi, tidak pernah diminta izin dan saya tidak pernah tahu bahawa karya kecil saya itu mendatangkan hasil berpuluh ribu ringgit kepada pihak penerbit yang tentunya berasakan ia produk halal mereka.

Dan, mana tahu kalau selepas ini giliran saya pula untuk dibayar! Saat `Suara' gua kena kincing, untung lagi tukang pegang lampu, tukang tarik wayar, tukang jaga nasi bungkus atau tukang bancuh air kerana khidmat mereka dibayar. Ah, Suara gua kena kincing!

iklan

iklan

Iklan