X Close

LUAR PAGAR... Oleh PYANHABIB

Diterbitkan: Khamis 26 Nov, 2009

'NASI GANJA' YANG LALOK!

DI TENGAH puluhan pelanggan di ruang Kedai Kopi Yong Suan yang sempit dan berlaga kerusi, saya menikmati kelazatan 'nasi ganja' berkuah kari hitam, berlauk daging kambing masak kurma, sepotong telur masin dan sedikit ramuan rempah seakan sambal.

Beralaskan meja bulat marmar dan kerusi kayu fesyen lama, saya nikmati 'nasi ganja' dengan tekun di tengah hari itu. Ini kali kedua saya berdepan dengan 'nasi ganja' dan saya cuba serap aromanya,...hmmmm.

Tumpuan saya terhadap keseronokan menibai 'nasi ganja' bagaimanapun sedikit terganggu bila lengan saya dicuit rakan, saya disyaratkan menoleh ke meja sebelah kanan yang hanya berjarak dua langkah dari kerusi yang saya duduki.

Saya sedikit kaget, sesusuk tubuh yang amat femes, kelihatan berdiri tercegat sambil memerhati sekeliling, meninjau lokasi meja kosong strategik dan ada 'ong', gamaknya.

Sebaik terpandang saya, terus dihampirinya dan memeluk saya beberapa detik (diiringi senyum lebar kawan-kawan) seperti mana saya pernah memeluknya semasa kami bertemu di pameran lukisan di RA Galeri sebelum Ramadan lalu.

Dan meja saya yang sebelum itu memang diperhatikan orang sekeliling kerana dilepak rakan-rakan berambut gondrong berserabai yang macam tidak mandi seminggu, tiba-tiba bertambah meriah dan terus diberi lebih perhatian.

Meja kami jadi tumpuan, gamaknya pelanggan 'nasi ganja' yang berbilang kaum hari itu tertanya-tanya siapa kami yang muka berminyak dihampiri tetamu itu, tambahan pula saya dipeluk seseorang yang femes!

Dalam kalut orang memandang dan kalut mamak 'nasi ganja' dan nyonya Kedai Kopi Yong Suan mengelap meja, menarik menyorong kerusi untuk tetamu yang baharu sampai itu, saya kaget lagi apabila mamak tokeh 'nasi ganja' yang masih memegang senduk dengan senyum manisnya sempat mengisyaratkan saya dengan ibu jari dan lenggok kepalanya yang bermaksud: Setel!

Dalam kata tanpa selindung, dalam kepala saya terbayang bajet 'nasi ganja' saya dan tujuh rakan semeja pada tengah hari itu disetelkan oleh brader femes ini!

Ternyata bukan langkah kiri sewaktu saya minta rakan-rakan Ipoh belanja saya pekena 'nasi ganja' di Jalan Yang Kalsom itu. Mereka layak tumpang senyum, wah wah!

Cerita selanjutnya (selepas senyuman manis mamak 'nasi ganja' itu - dan senyum kawan-kawan juga) sudah jadi purbakala sama seperti purbanya deretan bangunan kedai yang menumpangkan gerai 'nasi ganja', yang dibina tahun 1960 itu, atau purbakalanya Stesen Bas Tanjung Rambutan di hadapan Kedai Kopi Yong Suan yang dipupuskan lebih lima belas tahun lalu, hah ha!

Bagaimana brader yang femes ini (sama ada femes dibelasah atau femes dipuji) boleh terpancul ke tempat yang sama dan pada waktu yang sama semasa saya dan rakan-rakan dengan gagah perkasanya menghadap 'nasi ganja' di gerai mamak yang pengasasnya pun sudah arwah dan berganti waris itu? Ini kerja Tuhan!

Di wartakan kepada saya oleh orang kanannya: Bahawa brader yang femes ini semasa berkunjung ke gerai 'nasi ganja' untuk makan tengah hari pada hari itu, sebenarnya sudah dua hari kaki seluarnya basah. (saya ingat sudah dua hari tidak balik rumah, hah ha!).

Dalam kata lain, kaki seluarnya basah kerana dia ke hulu ke hilir menziarah mangsa banjir tanpa menyingsing kaki seluar!

Diceritakan, sewaktu banjir melanda beberapa kampung sekitar Ipoh, dia tinggalkan pejabat untuk menziarahi mangsa banjir. Ada mangsa yang rumahnya dihanyut air. Ada mangsa yang dua anak akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM. Ada mangsa yang diberi bantuan bina rumah baharu buat melangsungkan kenduri kahwin dan dia membantu selayaknya.

Kembali kepada 'nasi ganja' yang penuh `imaginasi’ itu, apa itu 'nasi ganja'?

Kenapa 'nasi ganja' hanya femes di Ipoh terutama di kalangan peminat sejati seperti anak muda peminat sejati rock kapak?

Kenapa 'ganja' dibabitkan dengan nama nasi sedangkan tidak jauh dari situ tersergam Balai Polis Jalan Yang Kalsom? Hah ha!

Tengah hari itu, bila saya dibawa rakan Ipoh ke sebuah kedai kopi Cina di Jalan Yang Kalsom, saya rasakan ada sesuatu yang menarik pada nama kedai kopi di bangunan lama Ipoh itu.

Sebaik keluar dari kereta, saya terus menyebut kuat: Rumah Tumpangan dan Kedai Kopi Yong Suan!

Sudut tepi hadapan kedai kopi Cina itu sebenarnya yang menjadi tumpuan. Ada gerai mamak menumpang di situ dan orang-ramai dari pelbagai kaum berbaris panjang hingga keluar ke kali lima kedai, mereka berbaris hanya untuk sepinggan nasi bernama `nasi ganja’ berkuah likat dengan lauk pilihan sama ada ayam goreng merah berempah, daging masak hitam atau daging kambing kurma. Penangannya? Perghh!

Nasi tadah pinggan diorder terus bayar, cari meja kosong dan makan, atau boleh sahaja dibungkus dibayar untuk dibawa balik rumah. Mamak 'nasi ganja' dan pembantunya yang ramah tidak menang tangan.

Manakala nyonya Kedai Kopi Yong Suan turut sibuk ambil order air minuman dan, teh kedai Cina fesyen lama memang kaw kaw!

Mana asal dan usul 'nasi ganja' tidak pula saya ketahui.

Sebenarnya, ini adalah kali kedua saya nikmati 'nasi ganja'. Kali pertama saya diperkenalkan kepada 'nasi ganja' bungkus berkuah likat itu oleh pengarah filem Mamat Khalid lebih setahun lalu di rumahnya di Ipoh semasa saya dalam perjalanan pulang ke Taiping.

Pertama kali membuka bungkusan nasi ganja, hati jadi takbur: Ah, nasi kandar mamak bersepah di KL. Tetapi bagi kaki nasi kandar berlaukkan kambing atau daging masak hitam, penangan aroma 'nasi ganja' berkuah likat ini memang `lalok’!

`Gila! Aku yang berbinikan orang Ipoh pun tidak tahu apa kejadahnya nasi ganja!’ Jerit SMS seorang rakan Kuala Lumpur bila saya beritahu saya pekena nasi ganja dan bajet 'nasi ganja' saya dan tujuh orang rakan disetelkan oleh brader femes kenalannya.

Rakan itu hairan kerana dia berbinikan orang Ipoh tetapi tidak pernah tahu wujud dan femesnya 'nasi ganja' Ipoh!

PYANHABIB bertandang ke Ipoh kerana dijemput rakan-rakan yang mengadakan acara kesenian di Rumah Karyawan Perak, yang `tuan tanah’nya YM Raja Ahmad Aminullah, turut disergah dengan SMS: `Woi, lu pekena 'nasi ganja' sama Zambry Kadir ye? SB Ipoh repot gua. Dia orang tanya lu apa bikin di Ipoh’. Ceh, kantoi!

iklan

iklan

Iklan