X Close

Bandar Tentera Darat: Pengiktirafan tinggi negara kepada sumbangan perwira

Diterbitkan: Khamis 8 Okt, 2009

PORT DICKSON: Tulisan emas pada batu marmar hitam di pintu masuk utama kem berbunyi "Pusasda, Tempat Lahirnya Pahlawan", berserta logo di tengahnya yang dikenali sebagai "Harimau Berjuang".

Kem itulah tempatnya 25 pemuda Melayu dilatih menjadi kumpulan pertama bagi penubuhan Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1 Mac 1933, yang kemudiannya berkembang maju menjadi sebuah angkatan bersenjata yang moden, profesional dan berprestij.

Ketika itu, tempat tersebut dikenali pada zaman pentadbiran British sebagai Haigh Lines. Kini ia menjadi Pusat Latihan Asas Tentera Darat atau ringkasnya Pusasda.

Di situ juga terletaknya padang kawad yang menyimpan nostalgia perajurit ketika perbarisan tamat latihan sebagai rekrut tentera sebelum mereka dikerahkan bagi mempertahankan perbatasan tanah air.

Sebahagian perajurit muda lelaki membuat perbarisan berjalan lalu dalam masa sempena majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson baru-baru ini. Seramai 1,423 perajurit muda lelaki pengambilan 166/2009 dan 108 perajurit muda wanita pengambilan 28/2009 menyertai perbarisan tersebut. -Foto BERNAMA

Selain Pusasda, Port Dickson juga menempatkan beberapa kem tentera seperti Kem Lateda, Kem Pulamor, Kem Pusarti, Kem Pusat Olah Perang, Kem Sebatang Kara, Kem Segenting, Kem Sekolah Pengurusan Tentera Darat, Kem Sunggala, P.D. Garison, Institut Kejuruteraan Jentera dan Elektrikal Tentera Darat, Kolej Tentera Darat, Kem Pusat Olah Perang Tentera Bangsa-Bangsa Bersatu dan Muzium Tentera Darat.

Oleh itu, wajar sekali pengisytiharan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 29 Okt lepas.

Bandar yang pada asalnya dipanggil Tanjung dan Arang itu ditukar menjadi Port Dickson sempena mengambil nama seorang pegawai tinggi British bernama Sir John Frederik Dickson.

"Seolah-olah nostalgia berulang kembali... ini merupakan bandar pertama di mana Batalion Pertama Askar Melayu Diraja dilahirkan," kata Pegawai Waran (B) Sabaruddin Shaharuddin, yang pernah bertugas dalam Rejimen ke2 Kor Amor Diraja di Kem Sunggala di sini antara tahun 1987 dan 1989.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersalam dengan anggota Tentera Darat pada Majlis Sambutan Hari Raya Bersama Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) baru-baru ini. Najib mengisytiharkan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat sebagai langkah mengiktiraf jasa Angkatan Tentera Malaysia khususnya Tentera Darat yang banyak melahirkan rekrut baru di bandar itu. -Foto BERNAMA

Bekas tentera itu berkata beliau terharu dengan pengumuman Najib dan percaya pengumuman itu akan menyemarakkan lagi semangat berpasukan di kalangan anggota tentera serta pesara tentera yang memilih untuk menetap di Port Dickson.

Bagi Lt Kol (B) Malakan Kamaruddin, pengisytiharan itu merupakan sesuatu yang amat istimewa lebih-lebih lagi kerana datuknya iaitu Undang Luak Rembau Allahyarham Datuk Abdullah Damad merupakan salah seorang daripada lima orang pengasas RAMD di Port Dickson.

Beliau yang menyertai tentera pada 1958 turut mendapat latihan asas di Pusasda, berkata ramai pahlawan tanah air mendapat latihan mereka di tempat sama termasuklah Lt Adnan Saidi dan Sarjan Hassan.

SATU MALAYSIA ... Perajurit muda dari pelbagai bangsa dan etnik antaranya India, Iban, Bidayuh, Bugis Sulu dan Kadazan bergambar bersama sempena majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda di PUSASDA.

"Awak ingat, Sarjan Hassan itu rekaan cerita P.Ramlee kah? Memang ada Sarjan Hassan yang berani di kem ini dan saya sendiri mengenalinya. Orangnya gempal dan tidak banyak cakap tetapi ceritanya pada Perang Dunia Kedua dulu sama macam cerita P.Ramlee itu," katanya.

Beliau juga menyarankan agar nama-nama kem dan jalan di sini ditukar kepada nama anggota dan pegawai tentera yang banyak berjasa kepada negara.

Lt Komander (B) Mohammad Azmi Mohd Said berkata banyak sejarah ketenteraan di Port Dickson yang boleh digunakan untuk memajukan industri pelancongan dan mungkin pelawat boleh dibawa melawat kem dan Muzium Tentera Darat yang diperbesarkan.

Beliau berkata Kor Armor misalnya mempunyai simpanan beberapa ekor kuda yang boleh diguna untuk aktiviti pelancongan selain mewujudkan aktiviti menembak sebagai tarikan pelancong.

Katanya sejajar dengan pengisytiharan sebagai Bandar Tentera Darat, cenderamata baru seperti replika kecil meriam dan senjata api tentera pada rantai kunci dan seumpamanya boleh dihasilkan untuk pelancong.

Selain itu, kalangan bekas anggota tentera juga telah menyuarakan harapan agar kerajaan menyediakan kemudahan bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan apabila mereka bersara dan memilih untuk menetap di Port Dickson.

"Mereka juga minta kemudahan seperti kolam renang, perumahan, gimnasium dan internet WiFi," kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Satu lagi lagi cadangan ialah pembukaan kampus Universiti Pertahanan Nasional (UPN) di Port Dickson, yang pasti menjadi pemangkin pertumbuhan Port Dickson sebagai bandar peranginan terkenal di rantau ini. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan