X Close

Pemimpin Tamil pertama dan Presiden MIC, Tun V.T.Sambanthan

Diterbitkan: Rabu 28 Okt, 2009

Tun Sambanthan berkawan rapat dengan Tunku Abdul Rahman.

SAMBANTHAN Thirunyana Veerasamy atau lebih dikenali sebagai Tun.V.T.Sambanthan pernah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan bagi negara kita bersama-sama Tunku Abdul Rahman dan Tan Cheng Lock.

Beliau pernah memainkan peranan penting untuk memujuk masyarakat India untuk bersatu-padu sebelum negara kita mendapat kemerdekaan dengan menyertai perikatan Barisan Nasional di anatara kaum Melayu, Cina dan India yang menjadi titik permulaan kemerdekaan yang kita kecapi kini.

Pemimpin ini pernah menjadi Presiden Malaysian Indian Congress (MIC) yang ke-lima dari tahun 1955 hingga 1973. Ini merupakan satu-satunya parti politik mewakili masyarakat India di Malaya pada masa itu.

Tunku Abdul Rahman merupakan sahabat karibnya dan mereka bersama-sama dalam parti perikatan Barisana Nasional berjaya menyatupadukan masyarakat Melayu, Cina dan India di Malaya.

Pada 31 Ogos 1957, beliau menjadi saksi dalam persetujuan untuk menuntut kemerdekaan di antara pemimpin tanah Malaya dan pihak British.

LATAR BELAKANG

Sambanthan dilahirkan di Sungai Siput pada tahun 1919. Bapanya Veerasamy datang ke Malaya pada tahun 1980 dan merupakan pemilik kebun pokok getah di Sungai Siput, Perak.

Pemimpin yang disegani ini mempunyai tiga orang adik-beradik, dan bersekolah di Sekolah Tinggi Clifford yang terletak di Kuala Kangsar Perak. Beliau merupakan seorang yang gemar bersukan, pandai dalam akademik serta suka berlawak jenaka.

Jalan yang dinamakan sempena nama Tun Samanthan.- Foto THE STAR oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS

Beliau melanjutkan pelajarannya ke Annamalai University yang terletak di Chidambaram, Tamil Nadu, India dalam jurusan Ekonomi.

Semasa menuntut disana, Sambanthan tidak ketinggalan mengikuti keadaan politik di India. Beliau pernah mengambil bahagian dalam satu protes dibawah pimpinan Quit India Movement dan mengalami kecederaan suatu masa dahulu.

Oleh itu, tidak hairanlah sekembalinya dari India, Sambanthan menyertai barisan kepimpinan pemuda MIC.

Masalah perkauman dan mensensasian isu-isu kecil yang mencetuskan pergaduhan di India ini banyak memberi pengajaran kepadanya.

Itu juga merupakan salah satu sebab kenapa beliau mementingkan toleransi, keharmonian dan kerjasama pelbagai bangsa dan kaum di negara kita apabila beliau menjadi pemimpin.

Pemimpin yang dihormati ini juga merupakan pengikut ajaran Mahatma Gandhi yang mempraktikkan anti-keganasan untuk mencapai kemerdekaan.

Pada tahun 1942 selepas ayahnya meninggal dunia, Sambanthan mengambil alih perniagaan perusahaan getah warisan keluarganya.

Sambanthan sangat perihatin terhadap kaum India di Malaya dan disebabkan itu, tidak hairanlah pada tahun 1954, beliau membina Mahatma Gandhi Tamil School di Sungai Siput dengan bantuan pegawai-pegawai British pada masa itu.

Keperihatinan yang ditunjukkan oleh beliau dalam bidang pendidikan membuka ruang baru kepadanya untuk menaburkan bakti dalam Jabatan Pendidikan Negeri Perak apabila beliau dilantik sebagai salah seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah dalam jabatan tersebut.

Sambanthan berkhawin dengan Umasundari dan mempunyai seorang anak perempuan yang dinamakan Deva Kunjari.

Wisma Tun Sambanthan yang terletak di Kuala Lumpur.-Foto THE STAR oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS

PENGLIBATAN AWAL DALAM POLITIK

Pemimpin yang disegani ini pada mulanya dilantik sebagai Pengerusi MIC untuk negeri Perak pada tahun 1953.

Keempat-empat pemimpin India yang mengetuai MIC sebelum Sambanthan sebenarnya terdiri daripada kaum minoriti dari negara India, (bukan Tamil) sedangkan pada realitinya, 90% masyarakat India di Tanah Melayu merupakan buruh daripada selatan India (Tamil).

Sambanthan merupakan pemimpin Tamil pertama yang dilantik sebagai Presiden MIC pada tahun 1955.

Presiden MIC kemudiannya bertanding dalam pilihanraya pertama pada tahun 1955 dan berjaya menjadi ahli perlimen bagi kawasan Sungai Siput.

Selepas itu, Sambanthan dilantik dalam kabinet dan menjadi Menteri Buruh kerana beliau merupakan ahli dalam parti perikatan Barisan Nasional pada masa itu.

Pada bulan Januari 1956, ahli-ahli delegasi dalam parti perikatan Barisan Nasional(termasuk Tunku Abdul Rahman) pergi ke London untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha London pada masa itu Alan Lennox-Boyd untuk mempercepatkan proses kemerdekaan tanah Malaya.

Sambanthan tidak mengikuti rombongan tersebut dan ramai ahli MIC lain tidak berpuas hati dengan tindakan beliau pada masa itu. Sebenarnya Sambanthan membuat keputusan untuk tidak mengikuti delegasi kerana beliau percaya akan kepimpinan Tunku Abdul Rahman.

Namun Sambanthan terlibat secara aktif apabila perbincangan akhir mengenai perlembagaan diadakan di London pada tahun 1957.

Sepanjang karier beliau dalam bidang politik, Sambanthan pernah dilantik sebagai Menteri Buruh (1955-1955), Menteri Kerja, Pos dan Telekomunikasi (1959-1971) dan Menteri Perpaduan Nasional (National Unity) dari tahun 1972-1974.

Penglibatannya selama 25 tahun dalam politik menyaksikan Tun Sambanthan memberi penekanan terhadap aspek perpaduan dalam cara hidup masyarakat Malaysia.

Tun Sambanthan meninggal dunia pada 18 Jun 1979. Namun nama beliau akan hidup buat selama-lamanya di hati orang yang mengenalinya.

Generasi baru pula tidak mungkin akan lupa kewujudan tokoh yang disegani ini. Di atas semua jasa beliau, nama Tun Sambanthan diabadikan pada stesen LRT Tun Samanthan dan Wisma Tun Sambanthan yang terletak di Kuala Lumpur.

iklan

iklan

Iklan