X Close

Polens sasar jadi pengeluar utama produk herba

Diterbitkan: Selasa 5 Ogos, 2008

SHAH ALAM: Kepelbagaian sumber tumbuhan memberi ruang kepada Malaysia untuk mengambil inisiatif membangunkan industri tanaman herba sekali gus menjadi antara negara pengeluar produk tersebut.

Permintaan dunia yang meningkat terhadap produk herba dan pelbagai makanan kesihatan yang lain turut mendorong kerajaan memandang serius terhadap perkembangan dan pembangunan industri yang berasaskan produk herba.

Malahan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke9 (RMK9) turut memberi tumpuan kepada pembangunan herba sebagai peneraju baru pertumbuhan ekonomi negara.

Antara tanaman herba yang diberi tumpuan ialah tongkat ali, pegaga, misai kucing, hempedu bumi, kacip fatimah, mengkudu, dukung anak, halia, mas cotek dan limau purut.

Penghasilan produk herba akan menitikberatkan penggunaan bahan dan sumber asli dalam pertanian, penjagaan kesihatan, aktiviti perindustrian dan bioinformatik yang mana memperlihatkan perkembangan yang begitu memberangsangkan.

Langkah kerajaan ini sekali gus membolehkan industri pertanian berasaskan produk herba menghasilkan produk komersial yang sesuai dan berdaya saing sama ada untuk pasaran tempatan mahupun luar negara.

Industri herba harus diberi perhatian

Meskipun perkembangan industri pertanian berasaskan produk herba di Malaysia agak ketinggalan berbanding negara Asia yang lain seperti China dan India, namun usaha ke arah mempergiat pengeluaran hasil produk herba merupakan suatu langkah yang bijak.

Usaha ini sejajar dengan langkah mendedahkan masyarakat kepada kepentingan industri herba sebagai satu alternatif dalam penjagaan kesihatan.

Kerajaan juga menyedari sudah sampai masanya untuk kita menggunakan sepenuhnya sumber semula jadi yang kini semakin mendapat permintaan yang tinggi kerana khasiatnya mula dipercayai ramai.

Menurut Pengurus Perhubungan Awam dan Pembangunan Produk Projek Lebah Negeri Selangor (POLENs), Azman Jamaludin, potensi industri herba patut diberi perhatian yang sewajarnya agar negara mampu memanfaatkan sepenuhnya sumber tersebut sebagai satu daripada komoditi yang dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Di Selangor, pertanian tanaman herba diusahakan oleh POLENS di ladang seluas 40.5 hektar di Rawang yang memberi tumpuan kepada tanaman misai kucing di samping beberapa tanaman herba yang lain seperti tongkat ali, belimbing besi, kacip fatimah, mas cotek dan serai.

POLENS iaitu anak syarikat milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPs) bukan sahaja mengusahakan produk herba tetapi juga mengeluarkan produk berasaskan madu lebah, susu kambing dan rumpai laut.

Antara produk POLENS yang mendapat sambutan ialah teh herba misai kucing, mas cotek dan "madu jantan", kata Azman kepada Bernama baru-baru ini.

Teh herba misai kucing misalnya dipercayai khasiatnya boleh mengurangkan kencing manis, mengeluarkan toksin dalam darah yang boleh mengakibatkan pelbagai penyakit seperti penyakit sendi, batu karang dan gout.

Pengamal teh herba juga yakin produk ini mampu meningkatkan keupayaan buah pinggang, mengawal tahap glukosa dalam darah dan digunakan secara tradisi untuk keseimbangan tekanan darah.

Menurut beliau, Mas cotek pula digunakan secara tradisi terutama wanita selepas bersalin, memperbaiki tenaga dan digunakan sebagai minuman herba untuk kesihatan dan kecantikan.

Manakala "madu jantan" POLENS yang merupakan campuran ekstrak tongkat ali, ginseng dan royal jelly digunakan sebagai pembekal tenaga. Kandungannya termasuk polifenol yang boleh berfungsi sebagai antioksida.

Jaminan produk

Menyedari kewujudan banyak jenis produk berasaskan herba di pasaran, POLENS mengambil langkah proaktif dengan memastikan semua produk keluarannya mematuhi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Memastikan produk keluaran syarikat bebas daripada dadah dan bahan kimia adalah mustahak untuk mendapat keyakinan pengguna," kata Azman lagi.

Sehingga kini produk keluaran POLENS mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna kerana kualiti dan kandungannya yang dijamin bebas daripada bahan kimia dan dibungkus mengikut Amalan Pengilangan Baik.

"Semua produk keluaran POLENS sentiasa dipantau dan melalui proses penilaian yang ketat sebelum mendapat kelulusan untuk dipasarkan. Jadi pengguna tidak perlu khuatir tentang tahap keselamatan produk tersebut," kata Azman.

Semua produk diwajibkan mendapat pengesahan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sokongan daripada Unit Kawalan Dadah oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPCB).

"Disebabkan tanaman herba diusahakan sendiri, maka mudah untuk POLENS memantau segala proses dari proses tanaman sehinggalah kepada proses terakhir iaitu pembungkusan," jelas beliau.

POLENS juga menyediakan perkhidmatan lain seperti pembungkusan, pengilangan dan pembangunan produk untuk pelanggan.

Menurut Azman, sebelum POLENS menerima tempahan daripada pelanggannya, setiap produk yang hendak dibungkus dan diproses di kilang POLENS perlu dihantar ke makmal untuk proses ujian. Setelah diluluskan barulah produk tersebut diproses.

Peraturan ini perlu dipatuhi setiap pengusaha atau pelanggan yang ingin melakukan pembungkusan produk di kilang tersebut sebagai langkah keselamatan dan jaminan produk.

Usaha bantu produk IKS

Perkhidmatan pengilangan produk yang ditawarkan kepada pengusaha herba dan makanan kesihatan adalah satu langkah yang diambil oleh POLENS untuk membantu perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKs).

"Polens memiliki kilang yang dilengkapi dengan peralatan seperti kemudahan mesin yang boleh membantu pengusaha IKS. Mereka hanya perlu menghantar bahanbahan dan selepas melakukan ujian di makmal produk tersebut mendapat kelulusan untuk proses pembungkusan," kata Azman.

Setakat ini, POLENS telah melakukan pembungkusan untuk beberapa pengusaha herba dan makanan tambahan seperti Nutrimetics, Zhulian, Cleopatra, Ombak Besar, Asia

Biotel, Naqia dan beberapa pengusaha lain.

Pasaran produk herba

Azman berkata, pasaran dan permintaan terhadap produk herba dan makanan tambahan sentiasa menggalakkan, malahan permintaan yang tinggi di kalangan pengguna telah mendorong pengusaha giat melakukan kajian dengan agensi kerajaan seperti Mardi dan FRIM bagi mengeluarkan produk terbaru.

Keprihatinan pengusaha tersebut sejajar dengan sambutan orang ramai terhadap produk herba dan makanan tambahan.

"Untuk pasaran tempatan, pada masa kini kebanyakan produk POLENS dipasarkan melalui pemborong iaitu farmasi seluruh Malaysia dan tokotoko jamu," katanya.

Menurut Azman, produk POLENS kini terdapat di kirakira 500 farmasi dan ini sekali gus memudahkan pengguna.

Bagi pasaran antarabangsa, POLENS dengan bantuan PKPS sedang berusaha untuk memasarkan produk misai kucing di beberapa negara jiran seperti Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia.

Selain misai kucing, POLENS juga berusaha untuk memasarkan beberapa produk lain seperti tongkat ali dan mas cotek ke negara Timur Tengah.

"POLENS sedang mempergiat usaha untuk memperkenalkan produk herba dan pelbagai makanan kesihatan yang lain ke peringkat antarabangsa selaras dengan permintaan terhadap produk tersebut," katanya lagi.

Namun langkah dan pendekatan itu perlu disusuli dengan beberapa perkara penting seperti memastikan produk tersebut mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh negara pengimport. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan