X Close

Rumah Tok Su dan Seri Banai warisan seni bina tradisional Kedah

Diterbitkan: Rabu 27 Ogos, 2008

ALOR STAR: Menjelang sambutan kemerdekaan negara ke51 tahun, pelbagai memori singgah di pemikiran, bermula dari sejarah perjuangan menentang penjajah hingga kepada kehidupan masyarakat dahulu.

Seni bina lama yang masih teguh berdiri menguatkan lagi nostalgia.

Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Star yang menyambut ulang tahun ke100 baru-baru ini merupakan satu contoh, kerana kolej ini merupakan sekolah Inggeris pertama di negeri ini yang masih kukuh berdiri sebagai institusi pengajian yang cukup disegani.

Keunikan seni binanya yang konkrit sudah pasti menarik pandangan dan kita boleh berhenti sejenak menghayati sejarahnya yang melahirkan tokoh negara seperti Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

RUMAH WARISAN

Kedah kaya dengan struktur unik seperti ini termasuk rumah tradisional Melayu yang berdindingkan kayu meranti atau temak dan beratapkan rumbia seperti di Kampung Warisan di sini.

Terletak berhadapan dengan Wisma Pentadbiran Negeri (Wisma Darul Aman),  kampung itu menempatkan Rumah Tok Su dan Rumah Seri Banai yang menjadi lambang keunikan serta keaslian seni bina tradisional Melayu.

Kedua-dua rumah ini dipercayai berusia lebih 80 tahun.
   
PENJAGA

Keistimewaan rumah-rumah ini juga terletak pada kehalusan ukiran bunga kerawang dan ruang-ruangnya iaitu beranda, rumah ibu, anjung, ruang tengah, selang, dapur dan pelantar.

Menurut penjaganya, Muhaiyuddin Yaakop, setiap ruang rumah mempunyai fungsinya tersendiri yang amat berbeza dengan ciri kediaman masa kini yang mempunyai lebih banyak ruang peribadi seperti bilik khas.

"Rumah zaman dulu tidak ada bilik dan setiap ruang hanya dipisahkan dengan kain pemidang (langsir) dan kebanyakan ruang adalah terbuka seperti anjung, beranda dan pelantar," katanya.

Muhaiyuddin berkata rumah-rumah itu bukan berasal dari Alor Star tetapi dipindahkan dari lokasi asal yang berbeza.

"Rumah Tok Su dibawa dari Kampung Permatang Kerat di Bandar Baharu yang letaknya kira-kira 200 kilometer dari Alor Star manakala Rumah Seri Banai berasal dari Kampung Banai di daerah Kubang Pasu.

SEJARAH

"Nama Seri Banai diberikan sempena lokasi asal rumah ini manakala nama Tok Su ialah sempena nama panggilan anak bongsu pemilik asal rumah itu.

"Proses memasang semula rumah ini agak rumit serta memakan masa yang lama iaitu kirakira 4 bulan dan kos pemindahannya juga tinggi," katanya.

Rumah Seri Banai pernah digunakan sebagai sekolah rakyat sebelum Sekolah Kebangsaan Seri Banai dibina di situ sehingga kini.

Rumah Tok Su pula pernah dijadikan lokasi untuk mesyuarat politik dan pertemuan anggota Pergerakan Barisan Pemuda yang memperjuangkan bangsa Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Idea asal untuk mengekalkan rumah itu datang daripada bekas menteri besar Kedah (19951999), Tan Sri Sanusi Junid yang mahu memartabatkan warisan dan mengekalkan identitinya sebagai seni bina tradisional untuk penghayatan generasi hari ini.

Hasrat itu menjadi kenyataan kerana Rumah Tok Su dan Rumah Seri Banai kini menjadi lokasi untuk penyelidikan pelajar institut pengajian tinggi yang mengambil jurusan seni bina.

Pengurusan rumah-rumah itu kini diletakkan di bawah Lembaga Muzium Kedah dan sering juga dijadikan lokasi pengambaran filem, majalah serta dokumentari.

Kampung Warisan dibuka kepada umum sejak 2001. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk dan dibuka setiap hari kecuali pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.          BERNAMA

iklan

iklan

Iklan