X Close

Iwan mahu kahwini wanita bertudung selepas dua kali bercerai

Diterbitkan: Jumaat 4 Jul, 2008

WALAUPUN telah dua kali gagal dalam perkahwinan, penyanyi dangdut Iwan atau nama sebenarnya Wan Syahman Wan Yunus, 47 masih mempunyai keinginan untuk berkahwin lagi.

Kedua-dua isterinya adalah wanita yang pernah bergelar artis sebelum ini iaitu pelakon Rosnah Mohd. Noor, 49 dan penyanyi Wan Rafidah Abu Bakar (Wan), 34.

Melalui perkahwinan pertamanya dengan Rosnah, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Wan Ramada Agus Putra, 19, Wan Syamira Puteri Octavia, 17 dan Wan Syahira Puteri Aprena, 15.

Iwan masih aktif dalam bidang nyanyian. (Foto The Star oleh Samuel Ong)

Sementara perkahwinan kedua yang dibina selama lapan tahun dengan Wan tidak dikurniakan zuriat. Namun begitu, mereka mempunyai seorang anak angkat iaitu Nursyafiqah Emisya, 6 yang dijaga oleh Wan.

Setelah dua tahun menduda, Iwan kini sedang mencari-cari pasangan yang sesuai untuk dijadikan calon isteri. Katanya, kali ini beliau ingin wanita yang bertudung pula.

"Kalau boleh saya nak wanita yang bertudung kerana kini saya lebih tertarik dan tertumpu untuk mendekatkan diri kepada agama. Jadi, sebab itu saya mahukan wanita yang menutup aurat.

"Insya Allah...Bukan apa apabila umur makin tua ini, kita inginkan perubahan sebagai bekalan untuk akhirat nanti. Bila sudah berumahtangga, saya ingin menjadi suami yang soleh dan lebihkan kepada agama.

"Pengalaman dua kali gagal dalam rumahtangga juga membuatkan saya tidak mahu gagal lagi jika berkahwin nanti. Insya Allah, itupun kalau ada jodoh. Jika tiada tak mengapa sebab anak-anak saya pun dah besar...," jelas Iwan yang bakal mengeluarkan album pada bulan Ogos ini.

Album berjudul Koleksi Terbaik Dunia Pop dan Dangdut itu akan diedarkan oleh Warner Music.

Walaupun Iwan jarang muncul di depan khalayak sebelum ini, beliau dalam diam masih aktif dalam industri ini sekaligus menerbitkan album.

"Album saya tidak komersil sangat seperti  Lagenda Cinta, Dang Dang Dut 3 dan lain-lain lagi. Album terakhir saya iaitu Dang Dang Dut 3 join dengan Tabung Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah.

"Kebanyakan lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah lagu-lagu lama dalam album terdahulu. Hanya dua buah lagu baru yang dimuatkan dalam album ini.

"Ada enam buah lagu pop yang dimuatkan dalam album terbaru ini seperti Wulan, Fantasia Musim Cinta, Romantika Air Mata, Sonia termasuk lagu baru Ke Jalan Yang Lurus. Lagu Ke Jalan Yang Lurus adalah lagu berbentuk dakwah yang berentak slow rock.

"Manakala lagu bergenre dangdut pula antaranya adalah Yang Sedang-Sedang, Saling Percaya, Nada Cinta, Benang Biru, dan Tung Keripit.

"Lagu baru iaitu Sekadar Bertanya merupakan lagu lama yang sebelum ini pernah dipopularkan oleh Ally Kasim. Tetapi, lagu dangdut ini akan ditambah dengan sedikit muzik hip hop.

"Jadi, kita akan campur dua genre pop dan dangdut itu dalam satu album di mana kesemuanya dalam 14 buah lagu," terang Iwan.

Menurut Iwan, setiap albumnya yang dikeluarkan tidak tertumpu kepada pasaran Malaysia sahaja malah turut menembusi pasaran Indonesia. Maka, tidak hairanlah jika album-albumnya sebelum ini terjual lebih daripada 400,000 unit.

"Biasanya, album saya yang diedarkan di Malaysia akan diedarkan juga di Indonesia. Tetapi syarikat yang mengedarkan album saya ini di sana dan di sini tidak sama. Di sana, jika tak Sony BMG, mungkin Warner Music atau Piti Musica. Tetapi sekarang ini saya berurusan dengan Piti Musica," beritahu Iwan.

Sebelum ini, Iwan lebih dikenali sebagai pasangan duet penyanyi dangdut Amelina. Mereka berdua juga pernah menjadi pasangan kekasih. Tetapi, selepas berpisah dengan Amelina, tiada siapa yang dirasakan sesuai untuk menjadi pasangan duetnya.

Kolaborasi Amelina dan Iwan memang sepadan lebih-lebih lagi apabila berduet lagu Memori Daun Pisang dan Yang Sedang-Sedang. Mereka berdua membuatkan muzik dangdut diterima ramai dan menjadi hits suatu ketika dahulu.

"Sekarang saya bergerak solo sebab rasa tak berbaloi untuk buat album duet secara kompilasi. Lagipun, trend penyanyi dangdut sekarang ni tidak ada yang ingin mengeluarkan album baru kerana pulangan kurang menguntungkan.

"Lebih-lebih lagi pasaran muzik sekarang dikuasai oleh Indonesia. Beginilah, kalau kita buat kompilasi pun, biayanya tidak terlalu banyak. Jika ada cetak rompak pun, ia masih berbaloi lagi.

"Selepas ini, saya akan bergantung kepada dua buah lagu baru dalam album tersebut. Insya Allah, kalau lagu dakwah saya diterima, saya mungkin akan lebih banyak membuat lagu seperti itu. Tetapi, kalau lebih ramai orang suka lagu dangdut saya, jadi saya akan buat dangdut lagi," ujar Iwan.

Jika ada yang tidak tahu, ini bukanlah pertama kali beliau membuat lagu dakwah kerana dalam tiga buah album pop Iwan sebelum ini turut memuatkan lagu berunsur nasihat dan ketuhanan.

iklan

iklan

Iklan