X Close

KDN mohon JPA semak dan naikkan gaji staf Penjara

Diterbitkan: Rabu 2 Jul, 2008

KUALA LUMPUR:  Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memohon supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuat semakan dan menaikkan gaji, elaun dan insentif pegawai dan kakitangan di Jabatan Penjara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menterinya Datuk Chor Chee Heung berkata kajian itu perlu kerana terdapat perbezaan ketara antara gaji pegawai Jabatan Penjara dan pegawai polis, walaupun kedua-duanya dikategorikan sebagai berisiko tinggi.

"KDN memang menyedari terdapat sedikit perbezaan antara gaji pegawai polis dan penjara. Gaji pokok baru bagi pegawai penjara gred KX17 ialah sebanyak RM827.94 sedangkan polis pula (bagi gred yang sama) gaji pokoknya ialah RM1,100. Oleh sebab itu kementerian telah membuat permohonan ini," katanya menjawab soalan tambahan Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) di sini.

Chor berkata kerajaan juga sedang mengkaji pemberian kemudahan perumahan kepada semua kakitangan penjara.

"Kerajaan sedang mengkaji macamana kita hendak memberi kemudahan perumahan kepada semua kakitangan penjara supaya minimum 80 peratus daripada mereka diberi kemudahan perumahan ini," katanya.

Menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pula, Chor berkata terdapat 14,809 penghuni penjara terdiri daripada warga asing di seluruh negara.

Menurutnya bilangan besar warga asing itu turut menyumbang kepada kesesakan di penjara yang keseluruhannya menampung 37,446 banduan.

Katanya pada masa ini jumlah banduan itu melebihi 28 peratus daripada kapasiti yang sepatutnya dapat ditampung oleh semua penjara di negara ini hingga berlaku kesesakan.

"Melalui sistem parol dan pembinaan penjara baru, kita boleh meringankan kadar kesesakan di penjara," katanya. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan