X Close

Dynas kini duta produk kesihatan

Diterbitkan: Khamis 5 Jun, 2008

CANTIK dan berbakat, itulah yang terlintas di fikiran penulis apabila memperkatakan tentang pelakon cantik, Dynas Mokhtar. Walaupun sudah berumah tangga, itu tidak menghalangnya daripada terus mengembangkan kariernya dalam dunia seni.

Terbaru, Dynas telah dipilih menjadi duta kepada rangkaian produk kesihatan berasaskan herba, Easy Pha-Max. Ketika ditemui semasa perlantikannya sebagai duta jenama itu, Selasa lalu, Dynas melahirkan rasa gembira dan syukurnya kerana tawaran yang diterimanya itu bagai ‘pucuk dicita, ulam mendatang’.

“Alhamdulillah, ketika agensi menelefon Dynas memberitahu yang Easy Pha-Max mahukan Dynas menjadi duta produk mereka, Dynas sungguh excited.

“Seperti yang diketahui, Easy Pha-Max menawarkan pelbagai produk kesihatan yang berasaskan herba dan sememangnya ia begitu kena dengan cara hidup Dynas yang begitu mementingkan kesihatan dan kebersihan,” kata pelakon berusia 25 tahun ini.

Dynas memberitahu, dia memang seorang yang health freak dan terlalu mahukan tubuh yang sentiasa sihat dan bertenaga.

Dynaz dilantik sebagai duta Easy Pha-Max (Foto The Star oleh Shaari Chemat)

“Dynas begitu mementingkan kesihatan sehinggakan pernah pada suatu ketika, Dynas pergi ke gym tiap-tiap hari tapi kini memandangkan jadual kerja yang agak padat, Dynas akan ke gym dua hingga tiga kali seminggu.

“Selain itu, Dynas turut mengamalkan minum minuman herba sebagai sarapan pagi dan mengambil supplement.

“Pada Dynas, kerjaya sebagai pelakon menyebabkan Dynas jarang mempunyai masa untuk menjaga badan. Ketika di lokasi penggambaran, apa makanan yang ada, Dynas makan saja.

”Justeru, senaman dan pemakanan produk kesihatan penting untuk membantu Dynas sentiasa cergas,” kata Dynas yang baru mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan permotoran, Mohd Hafizy Mohd Hafiz, 15 Mac lalu.

Dynas berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama ‘Di Bawah Ketiak Isteri’ bersama Radhi Khalid.

“Selain itu, filem lakonan Dynas iaitu Apa Kata Hati kini sedang ditayangkan bermula 29 Mei lalu, begitu juga dengan siri drama Ixora dan Janji Diana,” kata Dynas yang memenangi Anugerah Pelakon TV Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 yang lalu.

Ketika ditanya mengenai komen banyak pihak tentang mutu lakonannya yang semakin meningkat, Dynas berkata dia amat bersyukur dengan penerimaan itu.

“Memang ramai memberi komen yang baik kepada lakonan Dynas terutamanya watak Linda yang dibawa dalam Apa Kata Hati.

“Sebelum ini, Dynas memang terkenal dengan watak yang garang dan serius seperti watak Cinda dalam drama Susuk. Justeru, watak Dynas dalam Apa Kata Hati memang baru bagi Dynas dan Alhamdulillah, ia diterima," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan Eksekutif, Easy Pha-Max Marketing Sdn Bhd, Ben Wong Seng Tong berkata, syarikatnya memilih Dynas sebagai duta jenama mereka kerana imej bersih yang dibawa pelakon itu.

“Kita tahu Dynas seorang yang berbakat besar dan mengamalkan gaya hidup serta pemakanan yang sihat. Justeru, kita yakin dengannya dan percaya dia akan menjadi duta yang baik serta mampu memperkenalkan lagi produk Easy Pha-Max kepada orang ramai ,” katanya

 

iklan

iklan

Iklan