X Close

32,000 pekerja bank dapat pelarasan gaji 17%

Diterbitkan: Sabtu 21 Jun, 2008

KUALA LUMPUR: Selepas berbulan-bulan menemui jalan buntu dalam perundingan bagi perjanjian bersama (CA), bank telah bersetuju untuk membayar kenaikan gaji 17 peratus untuk kira-kira 32,000 pekerja, termasuk 25,000 ahli di bawah Persatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE).

Pelarasan gaji itu akan berdasarkan kepada gaji asas pada 31 Disember 2005 dengan tunggakan dari 1 Jan, 2006.

Para pekerja juga akan terus menerima bonus tetap dua bulan setiap tahun.

Menurut Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon, tunggakan untuk gaji dan bonus akan dibayar dalam tempoh sebulan, ditolak tujuh peratus peratus pelarasan gaji awal yang telah dibayar pada Februari tahun ini.

"Kenaikan ini (17 peratus) adalah yang tertinggi sejak 10 tahun lepas. Jika kita lihat kembali pada 2005 ketika kita memuktamadkan CA yang akhir, kita hanya dapat sembilan peratus, tetapi sekarang, kita dapat 17 peratus," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian bersama antara NUBE dan Persatuan Bank Komersial Malaysia (MCBA) yang diadakan di sini hari ini.

Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Solomon juga berkata keputusan itu adalah seiring dengan nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri.

Berikutan selesainya perjanjian itu, pekerja bank yang layak akan mendapat tunggakan gaji antara RM4,000 dan RM17,000 bergantung kepada jawatan mereka.

Selain itu, terma dan syarat perkhidmatan lain untuk pekerja bank akan turut dipertingkatkan secara umumnya dengan kenaikan dalam pelbagai elaun dan faedah.

Antaranya termasuklah, kenaikan dalam pelbagai elaun sebanyak lima peratus, kelayakan yang lebih tinggi untuk pinjaman perumahan dan peruntukan jumlah tidak melebihi RM300 daripada faedah perubatan bagi pembelian insurans hospital dan pembedahan bagi suami/isteri dan anak-anak kakitangan.

Solomon juga berkata, pekerja bank akan mendapat RM100 sebagai elaun sara hidup untuk perjanjian bersama akan datang, berkuat kuasa 1 Januari 2009. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan