X Close

FAMA bantu usahawan IKS melalui jenama Agromas

Diterbitkan: Jumaat 13 Jun, 2008

Sektor pertanian di Malaysia melangkah ke fasa baru apabila kerajaan mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan pelbagai teknologi canggih bagi memacu pertumbuhan sektor ini.

Pelbagai insentif turut diberikan untuk menggalakkan lebih ramai usahawan menceburi sektor pertanian. Kerajaan juga menubuhkan beberapa agensi berkaitan bagi membantu usahawan dan mereka yang terlibat dalam sektor pertanian.

Antara agensi yang bertanggungjawab ialah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) iaitu agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ditubuhkan pada 1965 sebagai sebuah badan berkanun, FAMA bertanggungjawab mengawal selia, menyelaras, mengawal atur dan menambah baik aktiviti pemasaran hasil dan produk pertanian untuk pasaran dalam negara, eksport dan import.

Hasil dan produk pertanian yang menjadi tumpuan adalah seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kelapa dan bunga-bungaan.

Sebagai agensi pemasaran kerajaan, FAMA mengaturkan pelbagai strategi seperti memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan rantaian bekalan, kecemerlangan perisikan pasaran, pengiktirafan jenama domestik dan antarabangsa, dan pembangunan keupayaan.

Di bawah pemasaran produk yang telah diproses, aktiviti FAMA tertumpu kepada pembangunan produk, pembangunan pasaran dan pembangunan usahawan. FAMA juga melaksanakan program urusniaga secara langsung.

JENAMA AGROMAS PROMOSI PRODUK MAKANAN IKS

Menurut Pengarah Kanan, Pemasaran Produk Proses FAMA, Mansor Omar, agensi itu telah memperkenalkan jenama Agromas bagi mempromosikan produk-produk pertanian yang berpotensi untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Jenama Agromas telah diguna pakai oleh FAMA bagi membantu produk pertanian terutamanya produk makanan yang diusahakan oleh Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan meluaskan pasaran produk, meningkatkan daya maju perusahaan IKS dan menambah nilai produk segar terpilih.

"Produk-produk pertanian yang menggunakan jenama Agromas mestilah menepati ciri-ciri dan standard yang telah ditetapkan oleh FAMA dan melalui satu proses penilaian yang ketat," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sehingga kini, terdapat lebih kurang 34 produk pertanian dan IKS yang menggunakan jenama Agromas. Antara produk itu ialah madu lebah tualang, kuah rojak madu, cip ubi kayu, seri kaya madu, serunding daging dan ayam, tepung rempah serbaguna, kuah kacang, bihun tom yam, jem belimbing, serbuk kari, kicap pedas, kerisik, kordial dan sos cili padi.

Mansor berkata, sebelum produk-produk IKS dilabelkan menggunakan jenama Agromas, pihak FAMA akan mengenal pasti produk makanan IKS yang berpotensi dan seterusnya menjalankan penilaian berdasarkan beberapa faktor seperti kebersihan, sambutan pengguna terhadap produk dan kebolehupayaan produk memenuhi permintaan pasaran.

Seterusnya jawatankuasa FAMA akan memutuskan sama ada produk tersebut layak dilabelkan menggunakan jenama Agromas.

"Pengusaha produk yang telah lulus penilaian tersebut perlu menghantar produk yang telah siap dan pihak FAMA akan membantu melakukan pembungkusan dan pemasaran," kata Mansor.

Pendekatan dan usaha ini telah membantu usahawan pemprosesan produk makanan berasaskan hasil pertanian menjadi vendor kepada FAMA.

KELEBIHAN PRODUK AGROMAS

Bagi menjamin kelangsungan produk yang menggunakan label Agromas di pasaran tempatan mahupun luar negara, FAMA telah memastikan produk tersebut mematuhi standard yang ditentukan seperti Akta Makanan dan Peraturan-peraturan.

"Produk-produk tersebut harus melepasi piawaian yang ditentukan oleh jawatankuasa FAMA iaitu diiktiraf halal, kilang yang memproses produk makanan tersebut diyakini kebersihannya dan menepati amalan perkilangan yang baik serta mengikuti peraturan dan kawalan yang ditentukan," katanya.

Mansor menambah bahawa produk yang menggunakan jenama Agromas berkualiti, selamat dimakan dan bercirikan nilai kesihatan. Kesemua produk Agromas menggunakan bahan-bahan asli dan segar, contohnya, jem roselle dan jem belimbing masing-masing diperbuat daripada buah roselle dan belimbing yang asli dan segar.

Faktor ini menjadi asas dalam membantu FAMA memasarkan produk-produk Agromas dan berupaya membezakan produk keluaran FAMA dengan pengeluar-pengeluar yang lain.

Malahan menurut Mansor, keistimewaan pada produk Agromas seperti bebas bahan pengawet dan kandungan monosodium glutamat (sekiranya ada, ia menepati dan dibenarkan oleh Akta Makanan) memberi kelebihan kepada produk tersebut untuk bersaing dengan produk lain yang terdapat di pasaran.

Berkenaan sambutan terhadap produk Agromas, Mansor berkata produk tersebut mendapat reaksi yang positif di kalangan pengguna dan telah meluaskan pilihan pengguna terhadap produk makanan ringan seperti ini.

Antara produk Agromas yang paling mendapat sambutan ialah seri kaya madu, madu lebah tualang, kuah rojak, cip ubi kayu, mee bandung, kicap pedas, serbuk kopi, tepung berempah serbaguna, sos cili padi dan kuah kacang.

"Madu lebah tualang misalnya telah dilakukan kajian ke atasnya oleh profesor dari USM dan didapati berkesan untuk mengubati batuk," katanya.

Kualiti yang ada pada produk Agromas mampu menjadikannya setaraf dengan produk antarabangsa, bahkan lebih baik lagi.

USAHA TINGKATKAN JUALAN

Dalam usaha meningkatkan hasil jualan melalui produk Agromas, FAMA telah mengenal pasti beberapa strategi yang diyakini berkesan.

Antara langkah yang akan diambil ialah mencari lebih ramai pengedar dan mempelawa pengedar yang sedia ada untuk mengedar produk Agromas.

"Untuk pasaran luar negara, FAMA telah bekerjasama dengan syarikat yang mempunyai rangkaian pemasaran di luar negara untuk memasarkan produk Agromas," kata Mansor.

Sehingga kini beberapa produk Agromas berjaya menembusi pasaran antarabangsa antaranya Singapura, Indonesia, Brunei, Indonesia, Negara-negara Timur Tengah dan Eropah.

Selain itu, FAMA juga akan meluaskan edaran produk Agromas yang mencatat permintaan yang tinggi. Langkah ini dilakukan untuk memudahkan orang ramai yang ingin mendapatkan produk Agromas, yang pada masa ini hanya terdapat di pasar raya tertentu.

"FAMA juga akan menambah jumlah produk yang berpotensi mendapat permintaan yang tinggi di pasaran selain mempelbagaikan jenis rekabentuk pembungkusan", katanya.

Usaha dan pendekatan ini dijangka mampu meningkatkan jualan produk Agromas di dalam mahupun luar negara sekaligus berupaya menandingi produk lain di pasaran. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan