X Close

Nabil tidak lupa bayar nazar!

Diterbitkan: Rabu 28 Mei, 2008

KETIKA menyertai program realiti Raja Lawak musim kedua lagi, Ahmad Nabil Ahmad sudah bercita-cita untuk membuat kenduri kesyukuran jika beliau bergelar juara.

Setelah memegang gelaran tersebut sejak dua bulan lalu, baru kali ini beliau berkesempatan untuk menunaikan hasrat tersebut.

Pada 23 Mei lalu, Nabil dan keluarga telah menjemput kira-kira 750 orang menghadiri majlis tersebut di kediaman mereka di Mambau, Negeri sembilan.


Bersama keluarga..Dari kiri: Ahmad Hj. Ismail, Nabil, Rohizah Abdul Latiff, Ahmad Kamal, Siti Hawa, Siti Fairuz dan Siti Aishah. (Foto The Star oleh Norafifi Ehsan)

Namun, mereka yang hadir pada malam itu melebihi dari jumlah tersebut apabila kira-kira 1000 orang 'menyerbu' rumahnya iaitu daripada kalangan sanak-saudara, sahabat handai dan peminatnya termasuk yang datang dari Kelantan.

Selain membuat kenduri, duit RM10,000 yang dimenanginya itu turut diagihkan ke 10 buah rumah anak yatim sekitar Seremban termasuk beberapa buah masjid dan surau berdekatan dengan rumahnya.


Nabil sempat lagi berlawak dengan kedua ibu bapanya

"Untuk famili pula, saya belikan mereka aksesori seperti rantai dan jam tangan menggunakan duit show yang saya dapat.

"Saya rasa lega apabila dapat menunaikan hajat nak buat kenduri ni. Sebenarnya, dah lama saya terfikir nak buat kenduri ni iaitu sejak saya dalam Raja Lawak lagi. Jadi, alhamdulillah apabila majlis pada malam ini berjalan dengan lancar," ujar Nabil yang seronok melayan peminatnya bergambar sambil bermesra dengan mereka.


Nabil bermesra dengan tok guru yang mengajarnya mengaji iaitu Tok Isa

Bercerita tentang kariernya sekarang, Nabil berkata beliau bakal muncul dalam empat buah filem iaitu Sifu arahan Prof. Razak Mohaideen, Lu Pikirlah Sendiri de Movie arahan Osman Ali, Kecoh Sana Kecoh Sini terbitan Sri Saheb Productions dan Perompak terbitan Metrowealth.

'Kami risau dia silap pilih kawan'

Dalam dunia hiburan ini, macam-macam perkara boleh berlaku kepada artis yang baru hendak 'bertatih' seperti Nabil.


Antara yang hadir ke kenduri kesyukuran Nabil

Hal tersebut turut merisaukan kedua ibu bapanya iaitu Rohizah Abdul Latiff, 57 dan Ahmad Hj. Ismail, 57. Kedua ibu bapa pernah bertugas di Jabatan Pelajaran Seremban.

Asas didikan yang baik dapat dilihat dengan cara pergaulan Nabil dan adik beradiknya. Malah keluarga yang peramah ini turut menekankan pendidikan bahasa Inggeris dalam pergaulan seharian di mana mereka hanya melanggan surat khabar bahasa Inggeris. Namun setelah Nabil bergelar artis barulah mereka mula memberi akhbar harian berbahasa Melayu.  

Siapa yang tidak risau dengan anak mereka lebih-lebih lagi jika anaknya tinggal di Kuala Lumpur yang penuh dengan pelbagai tempat dan aktiviti sosial yang boleh membuatkan mereka alpa jika tidak pandai membawa diri.


Nabil sempat melayan tetamu yang hadir mengambil makanan

"Risau tu biasalah. Jadi, kami akan selalu menasihatinya agar pandai memilih kawan dan menjaga diri. "Bukan apa, kami takut dia mudah terpengaruh dengan kawan-kawan dan ke tempat-tempat yang melibatkan alkohol dan dadah.

"Kami juga risau jika dia lupa kawan-kawan dan ibu bapa. Tapi, kami harap dia tak lupa diri..," kata bapanya, Ahmad.


Nabil dikerumuni peminatnya

Ibu Nabil pula menambah, "Dia baru nak berjinak-jinak dalam bidang ni. Dulu hidup susah sedikit tapi sekarang dah boleh dapat apa yang dia nak dengan usaha sendiri.

"He works for it and he gets it. Dia ni merupakan seorang yang suka barangan branded. Jadi, agak boros juga. Tetapi, dia akan usaha sendiri kalau dia nakkan sesuatu benda tu. Masa dia kerja dulu pun, jarang dia minta duit dengan kami untuk beli apa-apa yang dia mahu.

"Sekarang, dia treat adik-adiknya, pak cik dan mak cik juga."


Meriah sungguh kenduri Nabil macam kenduri kahwin

Perubahan sikap Nabil

Menurut Rohizah, beliau mula perasan perubahan sikap yang dialami oleh Nabil sejak memasuki Raja Lawak.

"Kalau dulu dia ni mudah marah, tetapi sekarang dah berubah kepada seorang yang ceria dan suka berlawak.


Ada juga yang sempat mengambil autograf

"Yalah, dia bekerja dalam bidang komedi. Jadi, bagaimana dia hendak berlawak jika bersikap bengis.

"Lama-lama kerja tu akan menghilangkan perasaan marah tu. Laughter is the best medicine...," cerita Rohizah mengenai anak kesayangannya itu. Nabil merupakan anak ketiga dari tujuh beradik. 

Untuk makluman semua, Nabil dalam proses menubuhkan kelab peminatnya. Namun, jika ada yang ingin mengetahui info dan mengikuti forum tentang Nabil, layari nabilfc.bigforumpro.com.

iklan

iklan

Iklan