X Close

Jururawat wajib ikuti CPD bermula 2009

Diterbitkan: Isnin 12 Mei, 2008

PETALING JAYA: Kursus pembangunan profesional berterusan (CPD) akan diwajibkan kepada semua jururawat bermula tahun 2009.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai, berkata ia adalah satu langkah yang diambil Bahagian Kejururawatan di kementeriannya dalam usaha menyemai budaya pembelajaran berterusan di kalangan jururawat serta mewujudkan sebuah organisasi pembelajaran.

“Dahulu CPD tidak diwajibkan kepada semua. Jika ada jururawat yang menghadiri CPD, ia merupakan satu bonus.

“Bagaimanapun, mulai tahun hadapan, ia diwajibkan kepada semua jururawat di sektor awam dan swasta bagi memastikan kualiti perkhidmatan jururawat semasa bertugas dapat ditingkatkan.

“Melalui CPD, mereka diberikan mata kredit bagi setiap aktiviti yang dianjur atau dihadiri dan jika mereka mencapai tahap yang ditetapkan, ini akan melayakkan mereka untuk memperbaharui Sijil Pengamalan Tahunan," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Jururawat Antarabangsa peringkat kebangsaan, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Dr Ismail Merican, Pengarah Kejururawatan Malaysia, Fathilah Abd Wahab dan Presiden Persatuan Jururawat Malaysia, Ramziah Ahmad..

Beliau berkata, langkah itu diambil untuk meningkatkan kemahiran jururawat dari semasa ke semasa di samping memberi motivasi kepada mereka untuk bekerja dengan lebih gigih bagi melayakkan mereka dinaikkan pangkat di masa hadapan.

Liow berkata, selain kemahiran dalam profession, jururawat juga perlu mengambil serius aduan dan komen daripada pesakit.

"Semua aduan yang diterima perlu dipandang serius dan positif. Ia perlu dikendalikan secara professional tanpa mengira latar belakang pesakit sama ada mengikut bangsa, agama atau pun kedudukan,” katanya sambil menambah sehingga 2008, hanya tiga aduan yang melibatkan profession itu disiarkan media.

Sementara itu, Liow berkata, sektor perubatan menghadapi kekurangan jururawat terutama dalam bidang-bidang pakar, pembedahan, kecemasan dan unit rawatan rapi.

“Latihan-latihan untuk melahirkan jururawat baru sentiasa berterusan tapi ia masih tidak cukup memandangkan bidang perubatan di negara ini berkembang pesat melalui kewujudan hospital-hospital awam dan swasta yang baru.

“Kita mempunyai perancangan untuk berhadapan masalah ini sehingga 2010 malah hingga 2020 sekali pun tapi jumlah jururawat yang diperlukan akan menjadi semakin tinggi.

“Bagaimanapun, masalah ini tidaklah begitu serius jika dibandingkan dengan masalah kekurangan doktor,” katanya sambil menambah, tindakan jururawat berpindah  daripada sektor awam ke swasta turut menyumbang kepada masalah itu.  

Liow berkata, negara kini mempunyai 70,618 jururawat di sektor awam dan swasta.

Dalam majlis yang sama, tiga jururawat dianugerahkan Anugerah Tokoh Jururawat 2008 iaitu Lim Chooi Ewe bagi bidang perkhidmatan, Chan Kum Sum bagi pendidikan dan Rose Paul bagi komuniti.

iklan

iklan

Iklan