X Close

Jasmine idam suami seperti "Mr. Mama"

Diterbitkan: Rabu 23 Apr, 2008

MENDENGAR nama Jasmine Asraff mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan wanita ini. Melihat wajahnya, mungkin ada yang berkata, "Macam pernah ku lihat perempuan ini tetapi di mana?".

Jasmine suka kanak-kanak (Foto mstar oleh Siti Azira)

Sebenarnya, nama dan wajah gadis kacukan Afghanistan dan Pakistan ini tidak asing dalam dunia seni lakonan kerana beliau sudah banyak berlakon dalam drama tempatan seperti di RTM1 dan drama terbitan Suhan Movies.

Antaranya adalah sitkom KB Sentral, drama 13 episod Kampung Pening Lalat dan drama Daun Ketupat Kering.

Terbaru, beliau menjayakan watak utama dalam drama terbaru 13 episod iaitu Mr. Mama yang bakal disiarkan di TV3 mulai 29 April ini.

Apa yang menariknya, Jasmine diberi watak seorang ibu bernama Suria yang mempunyai dua orang anak lelaki yang nakal dan seorang anak perempuan.

"Susah juga hendak melakonkan watak seorang ibu yang mempunyai tiga orang anak memandangkan saya belum mempunyai pengalaman berumah tangga.

"Jadi agak susah juga untuk memikat hati budak-budak ini untuk selesakan diri mereka dengan saya. Namun, lama-kelamaan budak-budak ini mula rapat dengan saya sehingga mereka memanggil saya "mama" di luar set.

"Mereka juga selalu telefon saya lebih-lebih apabila demam. Jadi saya akan pujuk budak-budak ni. Saya tak kisah sebab saya memang suka kanak-kanak.

"Sepanjang shooting drama ini selama 20 hari, kami selalu makan sama-sama. Mungkin sebab tu budak-budak ni rapat dengan saya," beritahu Jasmine yang mula berlakon sejak tiga tahun lepas melalui drama Orang Gaji 2.

Katanya, dunia lakonan hanyalah sekadar kerja sampingannya di waktu lapang kerana beliau sendiri sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai Penyunting Filem di salah sebuah stesen tv.

"Saya berlakon juga sebab minat. Biasa saya buat suntingan video dalam dua hari dan kemudian saya bercuti.

"Jadi, saya gunakan masa terluang itu untuk berlakon ditambah lagi masa cuti hujung minggu," tambah Jasmine yang pernah mengacara program 36 episod Sukan Dot Com bersama penyampai Hot FM Azura di RTM1 dan satu episod program Rentak Bollywood.

Pengalaman menarik yang dikecapi oleh Jasmine selepas berlakon di dalam drama bersiri Mr. Mama ini adalah merasai pengalaman hidup berumah tangga.

"Dalam drama ini saya merupakan seorang isteri yang bekerja sebagai arkitek. Jadi, saya berasa seronok apabila suami sudah menyiapkan segala-galanya seperti mengemas rumah, membayar bil dan macam-macam lagi apabila saya pulang dari kerja.

"Walaupun saya sibuk, suami tetap sayangkan saya dan tak cari perempuan lain. Saya akui karektor Mr. Mama adalah karektor suami idaman saya," ulas gadis berusia 28 tahun ini yang mengaku sudah mempunyai teman lelaki namun belum merancang untuk membina rumah tangga lagi.


Barisan pelakon Mr. Mama (Foto mstar oleh Siti Azira)

Drama bersiri terbitan Radius One Sdn. Bhd. ini turut diterajui oleh Rashidi Ishak sebagai Fikri atau suami Suria yang dilakon oleh Jasmine. Sementara pelakon kanak-kanak yang melakonkan watak sebagai anak-anak mereka adalah Syainie Aida (Aliya), Muhammad Syahmi (Alif) dan Syahrul Emeer (Afif).

Mr. Mama menceritakan kehidupan Fikri dan Suria yang sibuk mengendalikan projek besar syarikat masing-masing. Fikri yang merupakan seorang peguam baru mendapat satu kes besar di syarikat guamannya dan jika berjaya dia dijanjikan oleh ketuanya, Tuan Bakri mendapat sebahagian daripada saham syarikat.

Manakala Suria yang bekerja sebagai arkitek sedang sibuk menyiapkan rekaan untuk binaan sebuah hotel lima bintang. Fikri dan Suria terpaksa menghadapi masalah dengan orang gaji yang seringkali berhenti kerja kerana tidak tahan selalu dibuli oleh anak-anak mereka yang nakal.

Rashidi penat berlakon dalam Mr. Mama

Menurut Rashidi yang juga suami kepada pelakon popular Vanidah Imran, ini adalah pertama kali beliau berlakon dalam drama terbitan Radius One.

Bukan sahaja pertama kai berlakon di bawah drama yang diterbitkan oleh pengarah dan

Rashidi pegang watak Mr. Mama (Foto mstar oleh Siti Azira)

penerbit terkenal Sharul Ezad Mohamedin, beliau juga pertama kali berlakon di bawah arahan pengarah baru iaitu Rozi Izma Abdul Karim.

Katanya, beliau sebenarnya kepingin untuk berlakon di bawah arahan Ezad namun mungkin belum ada rezeki.

Walaupun begitu, Rashidi menerima tawaran untuk berlakon drama itu pun kerana mempunyai masa terluang tanpa melihat skripnya terlebih dahulu.

"Berlakon dalam Mr. Mama memang memenatkan kerana sudah menjadi lumrah bagi saya apabila berlakon dengan pengarah baru.

"Ini adalah kerana walaupun babak yang dilakonkan ketika itu saya rasakan ok, Rozi kerap kali menyuruh kami mengulang shot yang sama.

"Selain itu, beliau banyak play safe dan tidak berani untuk melakukan shot yang lebih dari jangkaan saya," beritahu Rashidi yang tidak kisah bekerjasama dengan pengarah baru. Baginya, beliau hanya mengikut kehendak pengarah tersebut walaupun amat memenatkan.

Tambahnya lagi, bekerja dengan pengarah baru ini juga membuatkan beliau terpaksa menghayati watak itu walaupun cerita tersebut 'ringan'.

Dalam pada itu, Rozi menyatakan sebab beliau meminta pelakon mengulang lakonan mereka yang dirasakan perlu bagi sesuatu babak.

"Banyak segi yang perlu saya ambil berat kerana kadangkala timbul masalah teknikal. Kita bekerja dalam satu pasukan. Contohnya, kalau giliran lakonan Rashidi ok, mungkin budak-budak pula tak ok. Begitu juga sebaliknya.

"Setakat ini, saya lihat semua pelakon memberikan persembahan yang baik. Saya bukanlah seorang cerewet namun saya ingin memastikan setiap pelakon mempunyai chemistry antara satu sama lain," ujar Rozi yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai penolong pengarah sejak tahun 2001.

Kata Rozi lagi, walaupun tugasnya hanya duduk di kerusi pengarah, tak bermakna beliau gembira dengan tanggungjawab yang diberikan kerana tugas pengarah ini memerlukan beliau menumpukan banyak perkara termasuk bekerjasama dengan penyunting visual.

"Tumpuan saya pada mulanya bukanlah untuk menjadi pengarah tetapi lebih kepada produser namun selepas tamat belajar pada tahun 2000, saya terus ditawarkan jawatan pengarah. Namun, saya bermula dari bawah dan bukanlah terus mendapat jawatan tersebut," terang gadis yang berusia 29 tahun ini. 

Saksikan Mr. Mama setiap Selasa, jam 10 malam di TV3 bermula 29 April ini!

iklan

iklan

Iklan