X Close

Hujan tidak hirau digelar 'band syok sendiri'.

Diterbitkan: Selasa 22 Apr, 2008

KEMUNCULAN band Hujan yang popular dengan lagu Bila Aku Sudah Tiada dan Pagi Yang Gelap sejak awal tahun 2006 lalu mula menampakkan 'taring' mereka apabila band ini bukan sahaja mendapat perhatian oleh peminat di Malaysia malah turut menjelajah ke luar negara seperti United Kingdom.

Jika melihat kepada jadual persembahan Hujan pada masa akan datang di laman web MySpace mereka, mereka ini lebih banyak menjayakan 'private show' dan tidak kurang juga persembahan 'besar' seperti Konsert Sunburst 2008 lalu.

Walaupun bertunjangkan kepada 'indie band' yang pada asalnya kurang diterima oleh pihak 'mainstream', Hujan telah diundang untuk menjayakan persembahan Zoom In @ RTM bersama penyanyi popular Elyana dan indie band Meet Uncle Hussein manakala penampilan khas daripada kumpulan Coco.

Terbaru, Hujan sekali lagi ke Angkasapuri, RTM sebagai artis jemputan untuk program Rentak Juara pada 20 April lepas jam 8 malam dan konsert oleh band popular Indonesia Peter Pan pada 27 April ini jam 8 malam juga bertempat di Stadium Negara Kuala Lumpur.

Biarlah ke mana pun Hujan pergi, nama mereka tetap mekar di hati dan ingatan golongan-golongan yang meminati muzik 'indie' termasuk golongan yang baru jatuh cinta dengan muzik yang mereka cuba sampaikan.


Lagu-lagu band Hujan semakin diterima ramai (Foto oleh Fad dan Iwan)

"Alhamdulillah, sekarang kami semakin diminati ramai oleh pelbagai golongan dari segenap lapisan masyarakat. Jadi, kami rasa lebih gembira untuk berkongsi karya.

"Seperti di luar negara, rata-rata yang hadir melihat persembahan kami adalah pelajar Melayu di Malaysia dan Brunei yang belajar di sana.

"Tidak kurang pasangan Melayu yang sudah berkahwin samada Malaysia dan Brunei yang tinggal di Manchester juga meminati dan mendengar lagu-lagu kami.

"Kunjungan kami hasil kerjasama dengan pelajar di UK itu tidak terhad kepada persembahan sahaja, malah kami turut 'lepak' untuk berbual dan sangat rapat dengan mereka," ujar vokalis band ini iaitu Muhammad Noh Salleh atau Noh.

Setakat ini, Hujan sudah menjejakkan kaki ke Manchester, Cardiff, Liverpool dan Sheffield untuk menghiburkan peminat mereka yang dianggarkan seramai 300 orang itu.


Hujan di Oxford Bar, Manchester

Jelajah Hujan ke UK bukan sahaja untuk mempromosikan dua buah EP Hujan yang sudah diterbitkan iaitu "1,2,3, Go!" dan "Check Check Rock Rock" malah mereka turut menjual baju T dan lencana istimewa Hujan.

"EP yang pertama iaitu 1,2,3, Go! memuatkan enam buah lagu sementara EP yang kedua iaitu Check Check Rock Rock memuatkan tujuh buah lagu.

"Jika di Malaysia, kami menjual EP tersebut secara berasingan tetapi kalau edisi UK, kami akan gabungkan kedua-dua EP menjadi satu dengan design yang agak eksklusif.

"Kami menjual EP Hujan UK dengan harga 8 pound iaitu bersamaan dengan RM56. Walaupun bajet agak mahal, jualan CD mampu memberi pulangan yang berbaloi kepada kami.

"Yang membuatkan saya terharu apabila mereka sanggup menghabiskan duit poket masing-masing untuk membeli CD tersebut walaupun diakui ada antara mereka yang hidup susah di sana. Sebagai pemuzik, saya rasa sedih 'gila'," beritahu Noh yang enggan menyatakan jumlah bajet yang digunakan untuk menerbitkan kedua-dua EP bandnya.


Hujan di Zanzibar, Liverpool

Dengan kedudukan mereka di dalam industri yang tidak terikat dengan mana-mana label syarikat rakaman, Hujan lebih puas hati apabila menjual EP mereka secara langsung dalam setiap gigs yang dilakukan.

Lagu baru tak diterima

Walaupun Hujan sudah melahirkan EP kedua yang popular dengan lagu Aku Scandal, stesen radio tempatan masih memutarkan lagu-lagu seperti Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada yang dimuatkan dalam EP pertama band ini.

"Kami ada juga meminta stesen radio memutarkan lagu terbaru kami iaitu Aku Scandal namun mereka tak nak release," tambah Noh yang meminati pelawak dan pelakon Zizan dan Nabil yang dicungkil dari program realiti Raja Lawak.

Bukan mahu mengelakkan diri daripada mendapat liputan media, Hujan lebih senang membuat hal mereka sendiri tanpa menghiraukan umpatan dan penghinaan yang diterima seperti 'band syok sendiri', 'band menggelabah', 'kurang ajar' dan sebagainya.


Hujan dikelilingi peminat di CF10, Cardiff Students Union

Hal ini selari dengan tag line Hujan yang turut dianggotai oleh Am, Dukegong dan AG (Coco) iaitu "kami terus main muzik...kami tak hirau..".

"Setakat ini, kami berasa gembira kerana ada juga orang terima kami dan lagu kami. Selain itu, mereka datang tengok kami membuat persembahan. Jadi, ia sebagai petanda baik untuk band yang lain.

"Saya lihat orang sekarang dah hargai band dan buat-buat tahu pasal band. Kami tak sangka semakin dikenali dan yang penting kami hanya nak kongsi muzik dalam industri ini.

"Setiap kritikan yang diberikan kami terima dan anggapnya sebagai dugaan.

"Kami pernah merasai pengalaman ketika pertama kali menceburi indie band dengan tiada apa-apa. Namun sekarang kami tak jangka sehingga lagu Bila Aku Sudah Tiada disenaraikan dalam carta radio tempatan.

"Mesti orang ingat kami 'kerek' namun kami sebanarnya nak tolong band yang sedang naik sekarang. Kami kawan apa dengan band 'mainstream' lain seperti Sixth Sense," terang Noh yang menamatkan pengajian beliau dalam bidang Sistem Komputer di Pusat Pengajian Kemahiran Sarawak (PTKS), Kuching, Sarawak.

'Kami pernah hidup susah!'

Bercerita tentang pencapaian berharga yang diperolehi oleh Hujan, Noh mewakili kumpulan tersebut berkata semua pengalaman yang dilalui oleh Hujan adalah amat bermakna bagi mereka.

"Banyak perkara yang kami lalui dan tidak ramai yang tahu betapa susahnya kami sejak awal-awal dulu sehingga kami sampai ke tahap yang sekarang.

"Namun, saya tak tahu apakah pencapaian yang kami terima kerana banyak juga kumpulan lain yang kutuk kami. Ada yang cakap kami 'poyo.'

"Kami tak pernah demand pun. Mereka tak tahu tentang perjalanan band kami yang susah sehingga enam bulan tak dibayar suatu ketika dahulu ibarat membuat persembahan amal.  Memang perit!

"Kami juga telah merasai pengalaman tanpa bernaung di bawah mana-mana label syarikat rakaman.

"Pihak media juga menuduh indie sombong kerana tak nak sain kontrak dengan mana-mana label. Sedangkan indie enjoy dan ingin membuat segalanya secara sendiri. Kami tak nak bekerja di bawah label kemudian duduk sahaja dan tunggu show serta recording. Memang penat kalau macam tu.

"Jadi, pengalaman banyak mengajar kami tentang erti kehidupan ini. Kami lebih berpuas hati apabila benda yang kami jual dihasilkan sendiri, pergi kilang sendiri, kemudian menjual kepada fans dari tangan ke tangan dan semuanya kami lakukan sendiri," luah Noh seakan-akan tidak ingin band indie dikutuk lagi angkara mereka menolak tawaran untuk bernaung di bawah label syarikat rakaman.

Lagu untuk abang

Kata Noh, lirik lagu kumpulan Hujan lebih telus tanpa berselindung di sebalik metafora tertentu.

"Lagu kumpulan Hujan berkait dengan benda yang terjadi di sekeliling kita.

"Seperti lagu Pagi Yang Gelap, ia berdasarkan cerita abang kandung saya. Dia rapat dengan saya kerana kami pernah berjanji untuk menubuhkan band bersama-sama dulu. Kami punya cita-cita yang sama dalam bidang muzik ini.

"Namun dia buat hal dan kemudian ditahan di pusat pemulihan. Sekarang, dia dah ok. Tapi niat kami dulu tak mungkin akan diteruskan kerana saya putus harapan," beritahu Noh.

iklan

iklan

Iklan