X Close

Kementerian Sumber Manusia buat kajian dasar pengambilan pekerja asing

Diterbitkan: Sabtu 12 Apr, 2008

JOHOR BAHRU: Kementerian Sumber Manusia akan mengkaji dasar pengambilan pekerja asing bagi meningkatkan pengurusan dan seterusnya mengelakkan masalah lebihan pekerja asing di negara ini, kata Menterinya, Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata pihaknya menerima pelbagai aduan daripada majikan mengenai penyelewengan agensi pembekal pekerja asing yang dikhuatiri menjejaskan industri perusahaan negara.

"Kementerian menerima banyak laporan tentang agensi pembekal pekerja asing termasuk melanggar undang-undang yang menimbulkan masalah kepada majikan.

Lebihan pembekalan pekerja asing juga bukan sahaja mewujudkan pengangguran di kalangan warga asing itu tetapi juga kepada rakyat tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pekerjaan 2008 dan Hari Bertemu Pelanggan, di Plaza Angsana, di sini, Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Noraini Ahmad.

Dr Subramaniam berkata berdasarkan pemerhatian kementeriannya, terdapat sebilangan besar daripada 260 agensi pengambilan pekerja asing meluluskan pengambilan pekerja asing tanpa mendapatkan terlebih dahulu pekerjaan atau kontrak dengan syarikat.

"Kebanyakan agensi mula mencari kontrak kerja hanya selepas pekerja asing itu dibawa masuk ke negara ini. Tindakan ini menyebabkan berlakunya kejadian pekerja terpaksa bergantung dengan agensi tersebut untuk menyara kehidupan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata seramai 18 majikan didakwa di mahkamah oleh Jabatan Tenaga Kerja sejak awal tahun ini, melibatkan denda sejumlah RM40,030 kerana melakukan pelbagai kesalahan undang-undang buruh.

Beliau berkata seramai dua orang majikan turut dikenakan kompaun bernilai RM15,000 sementara seramai 39 majikan lagi akan didakwa atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang buruh dalam masa terdekat.

"Sehingga kini Jabatan Tenaga Kerja telah memeriksa 2,850 majikan di seluruh negara dan dari jumlah itu kita dapati 817 daripadanya melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerja 1995 atau Akta Pampasan Pekerja 1952 termasuk gagal menyimpan daftar pekerja, gagal membayar upah mengikut jadual dan gagal menginsurankan pekerja," katanya. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan