X Close

Gaji doktor pelatih naik 50 peratus selepas dua tahun

Diterbitkan: Rabu 5 Mac, 2008

PUTRAJAYA: Doktor pelatih atau Pegawai Perubatan Latihan Siswazah akan menikmati kenaikan gaji sehingga 50 peratus dan kenaikan pangkat secara automatik selepas tamat latihan dua tahun bermula awal tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Datuk Dr Mohd Ismail Merican berkata, jika sebelum ini, doktor pelatih yang berada di gred UD41 dengan gaji hampir RM3800 akan mengambil masa enam hingga lapan tahun untuk kenaikan pangkat, tetapi selepas perlaksanaan penambahbaikan ini, mereka akan dinaikkan pangkat secara automatik ke gred UD44 dengan gaji hampir mencecah RM5700.

“Bagaimanapun, mereka perlu menjalani latihan siswazah (housemanship) selama dua tahun yang mana sebelum ini hanya mengambil masa setahun. Mereka juga mesti berjaya menyempurnakan kursus induksi dan memenuhi syarat-syarat perkhidmatan untuk dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat pada tahun ketiga perkhidmatan mereka,” katanya.

Mohd Ismail berkata, hal ini telah dipersetujui kabinet pada November tahun lalu dan bagi merealisasikan perlaksanaan program penambahbaikan ini, seramai 2000 Pegawai Perubatan Latihan Siswazah lantikan 2008 akan diuruskan kenaikan pangkat mereka ke gred UD44 pada tahun 2010 yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.7 juta setahun.

“Pada masa yang sama, Pegawai Perubatan gred UD41 sebelum tahun 2008 juga akan mendapat faedah melalui penyelarasan kenaikan pangkat yang akan melibatkan lebih 7,000 Pegawai Perubatan dengan implikasi kewangan sebanyak RM9.8 juta,” katanya di pejabatnya di sini, Rabu.

Mohd Ismail berkata, langkah ini dilaksanakan bagi melahirkan Pegawai Perubatan yang bermutu dan kompeten untuk merawat pesakit serta boleh ditempatkan di mana-mana fasiliti kesihatan termasuk kawasan luar bandar.

“Untuk itu, sepanjang dua tahun tempoh latihan, Pegawai Perubatan Latihan Siswazah akan menjalani penempatan sekurang-kurangnya empat bulan dalam enam displin utama termasuk perubatan dalaman, pediatrik, bedah am, orthopedik, obstetrik dan ginekologi, serta perubatan kecemasan.

“Melalui penempatan ini dan bimbingan pakar-pakar yang berpengalaman, pegawai perubatan akan dapat meningkatkan kemampuan mereka dari segi pengetahuan, pengalaman klinikal dan melaksanakan prosedur rawatan yang tertentu untuk merawat pesakit.

“Justeru itu, saya telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Jabatan Klinikal dan pakar-pakar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari seluruh negara supaya membimbing mereka yang menjalani latihan dan melakukan penilaian berterusan secara telus dan adil.

“Mereka juga perlu memastikan doktor siswazah diberi layanan yang baik semasa latihan supaya mereka dapat menghayati latihan tersebut,” katanya.

Mohd Ismail berkata, perlaksanaan pemanjangan tempoh masa latihan ini diwujudkan Jabatan Perkhidmatan Awam atas syor KKM supaya pegawai terlibat lebih bermotivasi dan pada masa yang sama mengatasi masalah yang timbul rentetan latihan yang hanya mengambil masa setahun sebelum ini.

“Antara masalah yang timbul adalah aduan dari pelbagai pihak mengenai kualiti perkhidmatan khususnya kemahiran klinikal yang kurang memuaskan dan rawatan tidak mencapai standard yang dikehendaki.

“Pemanjangan tempoh latihan ini juga adalah disebabkan prestasi pegawai yang kurang memuaskan menyebabkan mereka gagal untuk didaftar oleh Majlis Perubatan Malaysia dan ada juga pegawai yang mengaku kurang bersedia serta berkemampuan memberi perkhidmatan yang baik apabila dihantar ke hospital daerah dan klinik selepas tamat tempoh setahun latihan,” katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan peluang kenaikan pangkat dan pemantapan latihan siswazah ini diharap mampu memberi motivasi kepada doktor-doktor muda dan pegawai perubatan supaya lebih tekun dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas terhadap masyarakat.


iklan

iklan

Iklan