X Close

Erra buka butik, Zed Zaidi pelbagaikan bisnes!

Diterbitkan: Khamis 13 Mac, 2008

SEAWAL tahun 90-an dahulu, kurang terdengar cerita artis-artis tempatan terlibat dalam perniagaan namun sekarang ianya seolah-olah menjadi musim artis berniaga sebagai langkah 'menyediakan payung sebelum hujan'.

Setakat tahun ini, makin ramai artis yang galak menjadikan bisnes atau perniagaan mereka sebagai sumber sampingan selain sibuk di dalam karier seni.

Apabila tembual dilakukan bersama mereka, pasti bisnes menjadi salah satu topik yang dibualkan selain gosip hangat artis.

Seingat kemunculan artis yang antara mula-mula menceburi bidang ini adalah penyanyi veteran Datuk DJ Dave atau Irwan Shah Abdullah dengan menubuhkan Shahdave Holdings Sdn. Bhd.

Selain itu, Datin Seri Tiara Jacquelina yang dahulunya dikenali sebagai model, pelakon, penyanyi tetapi kini lebih terkenal dalam bidang penerbitan filem Puteri Gunung Ledang serta teater Muzikal Puteri Gunung Ledang dan P.Ramlee oleh syarikatnya iaitu Enfiniti Productions Sdn. Bhd.

Sebagai Pengarah Urusan Enfiniti, Tiara bukan sahaja menjalankan perniagaan berkaitan dengan dunia seni malah beliau turut membuka perniagaan melibatkan makanan iaitu Borneo Rainforest Cafe dan Bistro di Bandar Sunway, Petaling Jaya yang juga mendapat sokongan daripada suaminya, Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi.

Melalui perniagaan yang diuruskan oleh Kit Kat Klub Entertainment itu, Tiara sekaligus menyediakan perkampungan seni bina etnik Sarawak dan pusat hidangan unik yang menghidangkan juadah ala carte Ketam Singapore Masak Cili, Koetiaw Penang, Laksa Sarawak, Laksam Kelantan serta minuman khasiat seperti Jus Air Serai dan Kopi Magic Sarawak.

Selepas itu, mulalah lambakan selebriti-selebriti tanah air yang mengikut jejak langkah DJ Dave dan Tiara seperti adik-beradik dari kumpulan KRU iaitu Norman, Yusry dan Edry, penyanyi jazz Sheila Majid, pelakon Norman Hakim, Zed Zaidi, Farid Kamil, Erra Fazira, Firz Fairuz, Sazzy Falak, Asyraf Sinclair, penyanyi Datin Seri Siti Nurhaliza, ND Lala, Fazley Yaacob, penyampai ERA FM dan hos televisyen Linda Onn dan ramai lagi.

Kelebihan dan cabaran

Terdapat pelbagai ragam artis dan tujuan mereka melakukan bisnes. Antaranya adalah menjadikannya sebagai langkah persediaan untuk hari tua.

Memetik kata-kata Zed Zaidi, "Kalau boleh saya nak pelbagaikan bisnes sebelum mencapai umur 40 tahun...Saya tak nak jadi artis yang terbiar apabila makin berumur."Apa yang dilihat, artis yang terlibat dalam bidang perniagaan turut mudah bekerjasama dengan golongan korporat atau mana-mana ahli perniagaan kerana mereka terlebih dahulu dikenali.

Maka tidak hairanlah jika kita lihat golongan artis boleh memakai kereta mewah dan membina mahligai seindah istana serta tidak kurang juga mengambil peluang untuk menjalinkan 'hubungan intim' dalam sekelip mata. Itulah yang dinamakan bonus!

Namun, 'langit tidak selalunya cerah' kerana ada juga artis yang terpaksa mengorbankan bisnes yang telah diraih demi menumpukan perhatian kepada karier seni seperti pelakon, model dan pengacara Dynas.

Beliau yang baru membuka gerai makanan Nasi Campur Kak Ani di Sri Hartamas selama dua bulan akhirnya terpaksa menutup perniagaan tersebut.

Dynas pernah berkata, "Pada mulanya, saya ingin terus buka restoran. Tetapi saya ingin 'test market' dengan membuka gerai sahaja terlebih dahulu. Memang kita sudah berjaya dapat pelanggan tetap dan apa yang boleh saya katakan, bisnes ini berjalan baik.

"Tetapi lepas seketika, saya merasakan lebih baik sebenarnya jika saya beri tumpuan pada satu-satu benda saja.".

Jenis-jenis perniagaan yang menjadi tumpuan

Melihat kepada jenis perniagaan yang menjadi pilihan para artis sekarang, mereka lebih cenderung memilih bisnes yang mempunyai kaitan dengan karier masing-masing.

Misalnya, penyanyi akan memilih untuk membuka syarikat rakaman yang melahirkan atau mendidik bakal penyanyi manakala pelakon pula gemar membina empayar perniagaan dalam bidang produksi filem atau drama.

Tidak kurang juga yang gemar menceburi bidang teknologi maklumat dan komunikasi, periklanan, 'multi level marketing', makanan, jualan produk kosmetik dan kecantikan dan banyak lagi.

Apa kata beberapa orang artis yang semakin sibuk dan seronok menjalankan perniagaan mereka?

Linda Onn rancang buka cawangan baru

Restoren milik penyampai tinggi lampai ini iaitu My Mom's Chicken Rice sememangnya terkenal dengan menu Nasi Ayam.

Selain nasi ayam, menu istimewa yang dihidangkan adalah Mi Rebus Tulang, Tauhu Goreng JB, Chap Sai (sayur campur yang digoreng), Fish Fillay Sweet Sour, Tulang Merah Singapura termasuk minuman Fresh Orange dan Kasam Boi (sour plum).


Linda bercadang menambahkan cawangan My Mom's Chicken Rice di Bangi, Kajang dan sekitar Shah Alam serta Damansara pada masa akan datang

Menurut Linda, setakat ini beliau telah membina tapak perniagaannya di Ampang Point, Tesco Ampang, Bukit Bintang dan Shah Alam bermula tahun 2004 secara berperingkat.

"Selepas ini, saya merancang untuk meluaskan empayar di Bangi, Kajang, sebuah lagi di sekitar Shah Alam dan Damansara pada masa akan datang.

"Dalam tahun ini, dua cawangan sahaja akan dibuka iaitu di Bangi dan Shah Alam," ujar Linda.

Kini sudah masuk empat tahun Linda berniaga, jadi tidak hairanlah jika beliau telah menempuh pelbagai cabaran lebih-lebih lagi untuk berhadapan dengan pelbagai karenah manusia yang semakin mematangkannya.

"Banyak cabaran yang saya telah lalui. Antaranya adalah dari sudut pelanggan, staf dan penyediaan makanan.

"Perniagaan memerlukan saya berurusan dengan manusia. Kalau benda atau objek, mudah sahaja kita nak uruskan.

"Bukan mudah nak uruskan seseorang itu. Pelanggan adalah manusia di mana mereka mempunyai citarasa tersendiri. Nak tak nak kita terpaksa mengikut kehendak mereka kerana pelanggan ibarat 'raja'.

"Saya juga perlu berhadapan dengan saingan yang sangat sengit tetapi saya lebih melihat dari sudut positif dan sihat.

"Restoren saya ada kelainannya dan rasa yang berlainan, jadi terpulang kepada pelanggan untuk datang atau tidak.

"Selain kelainan dari segi resepi Nasi Ayam daripada ibu saya dan menu-menu istimewa lain, restoren ini turut kelihatan seperti kedai makanan segera yang selesa, mudah dan berselera untuk makan," beritahu Linda yang turut menyatakan keinginannya untuk duduk di kerusi pengarah filem atau drama.

Erra Fazira ingin melangkah ke perniagaan busana

Di kala usia 34 tahun, artis jelita ini sudah mampu membuka dua buah perniagaan iaitu produksi program televisyen di bawah kelolaan Erra Fazira Entertainment yang ditubuhkan sejak tahun 1998 dan  jualan produk kecantikan Ferra Kosmolook yang dikeluarkan oleh Kosmolook Sdn.Bhd kira-kira lebih setahun lalu.

"Sekarang saya tengah merancang bisnes busana dan fesyen. Ada beberapa perancangan untuk mengeluarkan busana muslimah dan moden.

"Sudah setahun saya membuat penelitian untuk mencari tukang jahit yang terbaik," beritahu Erra.


Erra bercadang membuka butik busana muslimah dan moden (Foto The Star oleh Azlina Abdullah)

Berbalik kepada bidang produksi, syarikat Erra telah menerbitkan dua buah program tv bergenrekan majalah fesyen iaitu "Fesyen Tempo" dan "Selebriti Ek" dan menguruskan majlis dengan menyediakan artis untuk melakukan persembahan.

Erra juga bercita-cita untuk menerbitkan filem pada masa akan datang yang katanya masih dalam proses pembelajaran.

Tentang produk kecantikan pula, Kosmolook telah memasarkan produk kecantikan Ferra KL (set pencerahan kulit), Ferra Basic, Aqua Series (set pencuci muka, toner, krim pelembab muka dan mask), Ferra White dan Ferra Nano.

iklan

iklan

Iklan