X Close

Hannah abadikan pengalaman Bezanya Cinta

Diterbitkan: Jumaat 8 Feb, 2008

SUKAR juga untuk mendapatkan gadis comel ini, memandangkan nama Hannah Tan, 27 yang lebih dikenali sebagai model, personaliti tv, penyanyi, penulis lirik dan duta Animax Asia ini selalu sahaja sibuk dengan tugasannya.

Terbaru, beliau baru sahaja selesai pengambaran telefilem Bezanya Cinta arahan Zulkiflie M.Osman terbitan Shooting Star Media Sdn. Bhd yang disiarkan pada 7 dan 8 Februari ini di Astro Ria.

Hannah sukar berbahasa Melayu dan Mandarin dengan baik dalam Bezanya Cinta (Foto The Star oleh T.K.Lim)

Selain Hannah, ramai muka baru dalam dunia lakonan yang mewarnai telefilem tersebut seperti Syarul Izani Mohd. Ezzuddeen, 19, Daniella Sya Yeng Yeng, 20, Sheikh Bolkhiah, 23, Adam Lee, 40, Dhanya Nambiar, 26, dan Razaly Zain, 28.

Sementara pelakon Louisa Chong, Robin Lai dan Roslan turut membantu menjayakan telefilem mengenai cinta dan persahabatan remaja kolej itu.

Telefilem ini dibuat sempena Tahun Baru Cina yang menjelang tahun ini.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya memegang watak utama dalam telefilem Melayu dan bekerja dengan pasukan baru untuk Astro Ria.

"Walaubagaimanapun, saya akan mengabadikan lakonan selama tujuh hari ini sampai bila-bila," kata Hannah sambil tersenyum.

Katanya, beliau yang memegang watak Jenny ini cukup bertuah kerana diberi peluang untuk bekerja dengan kumpulan yang bagus.

"Bermula daripada kumpulan produksi hinggalah pelakon. Meskipun jadual kerja selalu tak menentu, saya seronok menjalani setiap waktu yang berlalu.

"Perjalanan karier saya masih panjang dan masih banyak yang perlu saya pelajari, jadi saya sangat berharap untuk meningkatkan tahap lakonan saya pada masa akan datang.

"Saya merupakan seorang yang cerewet serta merasakan saya boleh melakukan yang lebih baik sekiranya diberikan masa yang lebih panjang dan tidak dilakukan dalam keadaan terburu-buru tetapi buat masa sekarang saya berpuas hati...hingga lakonan saya selepas ini.

"Disebabkan kesuntukan masa, kami hanya melakukan satu atau dua 'take' semasa pengambaran. Jadi, saya berasa kecewa kerana tidak dapat mencuba beberapa kali melakukan yang terbaik pada setiap syot," jelas Hannah yang pernah berlakon sebagai penampilan istimewa dalam sebuah drama bersiri Gol & Gincu dan sebuah siri komedi.


Antara aksi lakonan Hannah (baring) dalam Bezanya Cinta

Walaupun beliau memahami bahasa Melayu, namun tidak bermakna beliau boleh bertutur dengan baik menggunakan bahasa Kebangsaan itu.

Lantaran mengukur kelemahan yang ada dalam dirinya itu, Hannah mengakui bahasa merupakan cabaran ketika berlakon dalam telefilem tersebut.

"Saya menerima skrip dalam bahasa Melayu dan sebahagiannya dalam bahasa Mandarin di mana kedua-duanya bukanlah bahasa ibunda saya dan saya perlu yakin dan memberi perhatian sepenuhnya ketika menyampaikan setiap butir patah perkataan supaya ianya selaras dengan aksi yang dilakukan," ucap Hannah yang sesekali tertawa nakal.

Bezanya Cinta menceritakan tentang Izac (Syarul Izani), Farid (Sheikh Bolkiah) dan Bob (Razali Zain) ditegur pengetua kolej kerana pencapaian akademik mereka yang lemah.

Pensyarah mencadangkan mereka mendapatkan bantuan Jenny seorang pelajar cemerlang kolej.

Jenny menolak untuk membantu mereka. Mereka lebih tertekan dengan rakan lelaki Jenny yang menganggap mereka sebagai  looser.

Izac dicabar oleh rakannya untuk mendapatkan cinta Jenny. Izac berjaya mendapatkan simpati Jenny dengan cara yang tersendiri sehingga Jenny jatuh cinta kepadanya.

Amat malang apabila Jenny mengetahui tentang pertaruhan antara Izac dan rakan-rakannya namun Izac benar-benar telah jatuh cinta.


Barisan pelakon Bezanya Cinta..(Dari kiri: Hannah, Daniella, Sheikh, Syarul, Razaly dan Dhanya )

Album kedua berkonsepkan 70-an dan 80-an

Jika dahulu namanya dikenali dengan Hannah T namun sekarang sudah bertukar semula dengan Hannah Tan.

Perubahan itu berlaku selepas Hannah memilih jenama baru yang menggunakan label "Making the Difference" yang turut dipersetujui oleh peminatnya.

Mereka percaya yang label tersebut mampu menyentuh kalbu, memberi kesan langsung dan inspirasi cita-cita.

"Saya mengambil peluang ini untuk menempatkan diri saya dan jenama itu supaya lebih merefleksikan siapa saya sebenarnya serta sebagai seorang yang mempunyai warisan Asia yang dibanggakan.

"Kini saya bukan sahaja bergerak sebagai seorang artis malah sebagai jenama baru yang diharapkan dapat diterima oleh semua tanpa mengira taraf sosial, bangsa, agama, budaya atau diskriminasi geografi sekalipun.

"Music is indeed our vehicle to bridge the indifferences, if any," terang Hannah.
 
Menurut Hannah, album kedua, Redefined akan datang menonjolkan refleksi kepada sebelum ini di mana Hannah menjanjikan kelainan bagi menunjukkan dirinya yang sebenar.

"Album ini dijangka berada dipasaran sekitar bulan Julai atau selepas bulan Oktober nanti.

"Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini lebih upbeat funky, groovy vibes dan dipengaruhi dengan muzik dari tahun 80-an dan 70-an. Keep a look out ya!," beritahu gadis kacukan Cina-Kelabit ini.

Mendengar tentang jualan album pertamanya, "Sudah tentu lebih baik dari yang dijangkakan dengan sambutan yang menggalakkan."

"Jadi, saya menganggap jualan album secara talian (online) lebih berkesan dan menguntungkan.

"Web adalah alat yang sangat berkuasa di mana ia mempunyai kapasiti untuk mencantumkan pelbagai perbezaan geografi dan budaya.

"Walaubagaimanapun, kita masih memerlukan kepercayaan dan sokongan daripada seluruh masyarakat, kerajaan dan sudah tentu media," akhiri Hannah yang mula menjual album secara talian di Amerika Syarikat.

Kata graduan Sains Komputer ini, sambutan yang diterima tidak menghampakan dan berharap galakan yang diberikan dapat membantu beliau berjaya dalam industri ini.

 

iklan

iklan

Iklan