X Close

Keracunan makanan di sekolah...salah siapa?

Diterbitkan: Selasa 26 Feb, 2008

UMUM mengetahui pada awal tahun ini, beberapa kes keracunan makanan di kantin sekolah dilaporkan berlaku. Terbaru melibatkan 40 pelajar sekolah rendah di Jitra, Kedah yang muntah-muntah selepas makan nasi dan sambal ikan bilis di kantin sekolah mereka.

Semuanya berpunca daripada makanan yang tidak bersih tidak kira sama ada dari segi bahan mentah itu sendiri atau pun cara penyediaannya.

Apakah punca sebenar kes-kes seperti ini berlaku? Adakah para penjual di kantin sekolah kini sudah sudah mula mengabaikan tahap keselamatan makanan yang mereka jual? Tidakkah mereka terfikir yang sikap sambil lewa mereka membawa padah kepada para pelajar sekolah.? Sudah diberi kepercayaan tetapi mereka khianati.


Mungkin perlu ada satu garis panduan dalam menghidang atau menjual makanan di kantin sekolah bukan sahaja merangkumi kebersihan malah kandungan nutrisi dalam makanan itu sendiri (Gambar hiasan)

Menurut pakar pemakanan dan jurulatih kecergasan, Kevin Zahri, sikap pengusaha kantin yang terlalu mementingkan keuntungan menjadi penyebab kepada kes-kes seperti ini.

“Melalui kes-kes yang berlaku, kita dapat lihat yang mereka hanya mahu untung dan kebersihan makanan bukan lagi perkara utama.

“Contohnya ketika memilih ikan, mereka sepatutnya membeli ikan yang segar dan baru tetapi disebabkan ikan yang lama dijual lebih murah, mereka lebih cenderung membeli ikan ini tanpa memikirkan kesannya kepada pelajar.

“Cara memasak makanan juga perlu dititikberatkan. Makanan laut contohnya mesti dimasak lebih lama berbanding ayam atau daging kerana kandungan bakteria dalam bahan mentah itu lebih tinggi,” katanya.

Mungkin kerana terlalu banyak jenis makanan yang dijual di kantin sekolah menyebabkan cara menjaga kualiti kebersihan bagi setiap makanan agak sukar dilakukan.

"Ibu bapa pelajar secara bergilir-gilir mengurus kantin sekolah, dan pada masa yang sama mereka juga mengawal apa yang dijual di kantin," - Kevin Zahri

Begitu juga dengan kandungan nutrisi makanan, sama ada ia terlalu berlemak, terlalu berminyak atau terlalu manis, semuanya dijual tanpa ada satu tahap piawaian tertentu.

Bagi Kevin sendiri yang pernah bersekolah di luar negara, makanan yang dijual kantin sekolah di Malaysia sangat berbeza berbanding di luar negara.

“Di sekolah-sekolah di barat, makanan yang dijual di kantinnya agak terhad. Kebanyakannya adalah makanan yang bernutrisi tinggi seperti roti, susu dan buah-buahan.

“Kita faham yang Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan budaya, justeru tentulah kita kaya dengan aneka jenis makanan.

“Bagaimanapun, tidak salah rasanya jikalau kita aplikasikan cara pemakanan seperti itu kerana bukan sahaja kita akan dapat mengawal tahap kebersihannya malah kandungan nutrisinya juga baik untuk tumbesaran pelajar sekolah,” katanya.

Katanya lagi, ketika beliau bersekolah di Jerman, kantin sekolahnya diurus oleh ibu bapa pelajar sendiri di mana mereka juga yang menentukan jenis makanan yang disediakan.

“Ibu bapa pelajar secara bergilir-gilir mengurus kantin sekolah, dan pada masa yang sama mereka juga mengawal apa yang dijual di kantin.

“Ini merupakan salah satu cara yang baik bagi mengawal tahap kebersihan dan memastikan makanan yang dijual adalah makanan yang berkhasiat kerana mereka pastinya lebih peka dan tahu apa yang terbaik untuk anak-anak mereka..

“Bagaimanapun, cara kehidupan dan pemakanan mereka tidak sama dengan kita namun tidak mustahil untuk kita aplikasikannya,” katanya.

Mungkinkah dengan cara itu kita dapat memastikan gejala kes keracunan makanan tidak berulang? Ada benarnya apa yang dikatakan Kevin Zahri. Mungkin cara sedemikian agak mustahil dilaksanakan memandangkan kita amat kaya dengan pelbagai jenis makanan.

Namun demikian, kita boleh lakukan perkara yang sama namun dengan cara yang berbeza. Mungkin perlu ada satu garis panduan dalam menghidang atau menjual makanan di kantin sekolah bukan sahaja merangkumi kebersihan malah kandungan nutrisi dalam makanan itu sendiri.

Mungkin kita boleh mengubahsuai menunya mengikut selera Malaysia namun masih menjadikan kebersihan dan nutrisi sebagai perkara utama.


iklan

iklan

Iklan