X Close

Pilihan raya dan amalan demokrasi di Malaysia

Diterbitkan: Jumaat 15 Feb, 2008

KUALA LUMPUR: Pada 8 Mac ini, 10.9 juta pengundi berpeluang menggunakan hak masing-masing untuk memilih sebuah kerajaan melalui peti undi suatu proses dalam amalan demokrasi di Malaysia yang telah berlangsung sebanyak 11 kali sebelum ini.

Pilihan raya ialah proses demokrasi yang memberi hak kepada rakyat untuk memilih wakil mereka daripada calon-calon parti politik atau calon bebas untuk duduk dalam Dewan Rakyat di peringkat pusat dan dalam Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri.

Parti politik yang menguasai majoriti kerusi di Dewan Rakyat akan menjadi kerajaan di peringkat persekutuan manakala parti politik yang menguasai majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri akan menjadi kerajaan di peringkat negeri.

Pilihan raya amat penting dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi seperti Malaysia.

Perjalanan pilihan raya di Malaysia diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebuah badan bebas, yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam mengendalikan pilihan raya.

Sebagaimana lazimnya, setiap kali mengadakan pilihan raya umum, SPR akan membuat beberapa pembaharuan dan kali ini perubahan paling ketara ialah penggunaan peti undi lutsinar dan dakwat pada kuku dalam usahanya menjadikan proses pengundian lebih telus dan mengelakkan penipuan.

Sejak merdeka lima dekad yang lalu, Malaysia sentiasa dipuji oleh banyak pemimpin dunia kerana berupaya mempertahankan amalan demokrasi melalui pilihan raya yang adil.

Kata-kata pujian dan tahniah daripada para pemimpin dunia setiap kali selepas keputusan pilihan raya umum disiarkan membuktikan mereka meletakkan kepercayaan penuh kepada sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia.

Pemimpin dunia yang pernah memberi pujian itu termasuklah Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush, bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair dan bekas Perdana Menteri Jepun Junichiro Koizumi serta para pemimpin negara anggota ASEAN.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye yakin bahawa pilihan raya kali ini akan merupakan suatu proses yang lebih telus hasil langkah yang diambil oleh SPR.

Kebebasan rakyat memilih calon itulah yang menunjukkan wujudnya demokrasi.

Di samping itu, suatu kejayaan besar dicapai daripada segi prinsip pilihan raya demokratik iaitu keputusan yang diperoleh melalui pilihan raya ialah keputusan yang sah dan diterima oleh semua pihak dalam atau luar negara.

Lee berkata pengenalan beberapa langkah seperti peti undi lutsinar, dakwat kekal dan tiadanya nombor siri pada kertas undi menunjukkan wujudnya demokrasi dalam perjalanan pilihan raya dan ini jaminan kepada rakyat untuk terus mengundi tanpa berasa curiga.

Demokrasinya pilihan raya di Malaysia juga dapat dilihat apabila tiada berlakunya pertumpahan darah seperti yang dialami oleh sesetengah negara.

Umpamanya dalam pilihan raya di sebuah negara Asean pada 2001, polis terpaksa menfokuskan usaha meningkatkan keselamatan dan memantau pergerakan kumpulan upahan bersenjata, di kawasan wilayah pedalaman utara dan timur laut di mana saingan sengit dan perbuatan berpaling tadah dari satu parti politik ke parti lain adalah perkara biasa.

Persaingan antara parti politik, pertandingan merebut kerusi pilihan raya, budaya gaduh serta pemberontakan penduduk dan komunis pula menjadikan pilihan raya sebuah negara lain sebagai peristiwa berdarah.

Kejadian tembak menembak membabitkan perkara remeh sering berlaku. Ketika pilihan raya keganasan membabitkan senjata api tercetus dalam kalangan anggota parti yang bertempur untuk mendapatkan kuasa.

Dengan ganjaran besar untuk pemenang pilihan raya, termasuk ganjaran wang, kontrak dan lesen kerajaan, sesetengah ahli politik sanggup membunuh untuk memenangi kerusi pilihan raya di sebuah negara luar.

Di sebuah lagi negara, penduduknya keluar mengundi dalam keadaan terpaksa pada satu pilihan raya manakala beribu-ribu penduduk kampung di sebuah negara lain terpaksa melarikan diri selepas khabar angin bahawa keganasan akan meletus bila-bila masa pada pilihan raya Parlimen.

Menurut Lee, pada pilihan raya di Malaysia semua pihak yang terlibat sentiasa menentukan tiada huru-hara serta memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan aman.

"Faktor ini penting," katanya.

Dengan jaminan polis kejadian seperti yang dialami oleh negara-negara lain semasa pilihan raya tidak akan berlaku di negara ini, kini terpulang kepada rakyat untuk menggunakan sistem demokrasi untuk masa depan mereka dan negara.
BERNAMA

iklan

iklan

Iklan