X Close

Wanita ke mahkamah kerana cek tendang RM327,555

Diterbitkan: Isnin 14 Jan, 2008

SHAH ALAM: Seorang wanita peniaga nasi lemak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dituduh menipu seorang pemilik butik dengan menyerahkan sekeping cek tendang dengan catatan nilai RM327,555 kononnya sebagai bayaran bagi barang yang dibelinya dua tahun lepas.

Noriah Ajid, 53, dari Jalan Kapar, Klang, minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof yang kemudian menetapkan 18 Feb ini untuk sebutan.

Noriah didakwa memperdayakan Norazian Din, 44, untuk mempercayai bahawa dia telah membuat pembayaran sebanyak RM327,555 melalui sekeping cek AmBank Berhad untuk barangan yang dibeli daripada Norazian dan seterusnya mendorong mangsa menyerahkan barangan itu kepadanya.

Noriah yang ditangkap pada 9 Jan lepas didakwa melakukan kesalahan itu di Bank Muamalat, Seksyen 9 di sini pada 12 Nov 2006, dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Zabariah membenarkan Noriah diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanannya kepada mahkamah sehingga kes itu selesai. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan