X Close

Makin ramai atlet negara ambil dadah

Diterbitkan: Isnin 3 Sept, 2007

KOTA BARU:  Semangat kesukanan yang semakin tipis tetapi terlalu mengejar kejuaraan di kalangan sesetengah atlet menjadi punca peningkatan kes penyalahgunaan dadah dalam sukan negara, demikian menurut pengarah Pusat Kawalan Dadah Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Aishah Abdul Latiff hari ini.

Beliau berkata setiap tahun, kes penyalahgunaan dadah di kalangan atlet meningkat.

"Berdasarkan pemerhatian pihak kami, (sesetengah) ahli sukan kini sanggup melakukan apa saja untuk bergelar juara dalam apa jenis sukan yang mereka sertai. Setiap tahun, atlet yang positif dadah bertambah bilangannya," katanya kepada Bernama.

Beliau sebelum itu membentangkan kertas kerja bertajuk "Penyalahgunaan Dadah Dalam Bidang Sukan di Malaysia" pada Seminar Sains Sukan ke-7 anjuran USM di sini.

Pusat kawalan dadah USM bertanggungjawab menjalankan ujian dadah ke atas sampel yang dihantar oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

"Setiap kali ada sesuatu pertandingan, MSN akan mengambil sampel setiap ahli sukan dan menghantarnya ke pihak kami untuk diuji," katanya.

Katanya, pihaknya juga turut melakukan ujian terhadap ahli sukan dari beberapa negara lain termasuk Arab Saudi, Iran, Iraq, Taiwan, Indonesia, Singapura dan Vietnam.

"Pada tahun 2005, sebanyak 37 peratus daripada 1,800 sampel yang diambil daripada atlet termasuk dari luar negara, positif dadah. Tahun lepas juga, jumlah yang positif dadah bertambah," katanya.

Katanya keadaan itu dianggap agak serius kerana ujian hanya baru dijalankan terhadap segelintir ahli sukan.

"Kita percaya banyak lagi daripada golongan ahli sukan di negara ini yang menggunakan bahan terlarang itu.

"Atlet negara kita bukan seperti katak di bawah tempurung, mereka boleh mencari maklumat tentang sesuatu jenis 'dadah' dengan senang dan mendapatkan bahan itu dengan pelbagai cara, semata-mata hanya kerana mahu menjadi juara atau mengekalkan reputasi mereka," katanya.

Seminar tiga hari itu dengan tema "Sukan Senaman dan Kesihatan: Wanita Memecah Halangan" disertai kira-kira 300 peserta dari dalam dan luar negara, dengan 16 kertas kerja akan dibentangkan oleh pakar dalam bidang berkenaan. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan