X Close

Awang peserta MyStarz pertama tersingkir

Diterbitkan: Isnin 9 Jul, 2007


Awang peserta pertama tersingkir dari MyStarz
(Foto fail The Star)

BARU sahaja ingin berjinak-jinak dengan dunia pertandingan realiti, akhirnya Awang atau nama sebenarnya Awang Jasmin Jaimin menjadi korban pertama untuk rancangan realiti terbaru MyStarz LG.

Awang yang menyanyikan lagu nyanyian Farah Diya yakni Bertakhta Di Hati gagal memikat hati panel juri yang terdiri daripada Datuk Siti Nurhaliza, Iman Wan dan Man Kidal.

Malah ketiga-tiga mereka bersetuju bahawa peserta dari Sabah itu bagaikan kurang bersedia pada pertandingan tersebut.

"Saya sememangnya bersedia untuk konsert pada hari ini. Malah, saya tidak mengalami masalah ketika latihan. Ini dinamakan nasib kerana apa yang terjadi adalah luar daripada kawalan kita," ujar pemuda yang berusia 26 tahun ketika sidang akhbar selepas konsert kedua itu.

Ketika ditanya jika pemilihan lagu yang merupakan sebuah lagu nyanian penyanyi wanita yang menjadi punca, Awang tidak bersetuju.

"Saya amat menyukai lagu ini terutamanya senikatanya. Saya tidak merasakan bahawa lagu yang saya dendangakn yang merupakan lagu artis wanita yang membuatkan saya gagal untuk bertahan dalam pertandingan ini," ujarnya lagi. 

Ketika ditanya mengenai masa hadapan Awang selepas penyingkirannya, Farihin Abdul Fattah sebagai pengetua MyStarz menjawab, "Dia akan masih bersama kami di rumah LG untuk meneruskan pengajian serta latihan bersama-sama kawan-kawannya yang lain.

"Selain daripada itu, Awang turut akan terbabit dengan kerja-kerja produksi bersama-sama krew kami. Saya mahu dia menerima pendedahan yang secukupnya mengenai kerja-kerja di belakang tabir."

MyStarz berformat baru

Pada minggu pertama rancangan MyStarz, kesemua peserta-peserta bertanding dalam durasi satu jam.

Namun minggu kedua melihatkan satu perubahan yang drastik apabila peserta-peserta MyStarz dibahagikan kepada dua buah kumpulan.

"Kami berbuat demikian kerana kesuntukan masa. Saya merasakan ianya tidak adil untuk peserta membuat persembahan dalam masa dua minit sahaja.

"Pada minggu ini, setiap peserta diberikan tiga minit untuk melakukan apa yang terbaik untuk persembahan mereka," ujar Farihin mengenai perubahan format rancangan tersebut.

"Pihak juri turut memerlukan masa yang panjang untuk membuat penilaian dan ianya lebih adil untuk mereka menilai dengan jangkamasa yang lebih panjang," tambahnya lagi.

Untuk mengelakkan sebarang ketidakadilan, kedua-dua kumpulan dibahagikan berdasarkan beberapa kriteria.

"Kedua-dua buah kumpulan bloleh dikatakan seimbang dan mempunyai peluang yang sama rata. Namun, terdapat beberapa kriteria yang kami gunakan untuk memisahkan mereka seperti jantina, konsep lagu , asal-usul serta umur mereka.

"Malah, konsert minggu ketiga nanti akan membawa perubahan serta kelainan daripada apa yang ditunjukkan pada minggu ini," ujar Farihin lagi.


Badri antara peserta yang paling menonjol pada konsert kedua
(Fail Foto The Star)

Peserta lelaki dominasi pertandingan

Tidak dapat dinafikan bahawa konsert minggu kedua melihatkan dominasi peserta-peserta lelaki.

Russel Curtis berjaya memukau hati ketiga-tiga panel juri profesional dengan dendangan lagu nyanyian Eric Clapton, Change The World. Malah, peserta tersebut turut menunjukkan bakatnya sebagai seorang pemain gitar dengan cukup cemerlang.

"Kamu bagaikan serasi dengan band yang bermain dengan kamu. Kamu mempunyai banyak potensi," ujar Iman terhadap kemampuan Russel pada petang tersebut.

"Kombinasi muzik kamu lebih kuat tetapi kamu perlu memperkemaskan lagi persembahan kamu," tegas Man Kidal yang terpikat dengan showmanship peserta dari Kuala Lumpur itu.

Peserta termuda pertandingan MyStarz,  Mohd Emeer Iskandar Mohd Bakri atau Emeer sekali lagi membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk bersaing di dalam sebuah program realiti.

Namun, sayangnya pada pertengahan persembahan Emmer, suaranya tidak kedengaran kerana asalah teknikal.

Dengan lagu dendangan daripada kumpulan Samsons yakni Kenangan Terindah, Emeer berjaya membuat ketiga-tiga panel juri terpegun dengan kelantangan serta kematangan suaranya.

"Saya bagaikan tidak percaya dengan kebolehan kamu dan kamu semestinya sudah mempunyai ramai gadis-gadis serta ibu-ibu yang meminati kamu," ujar Iman.

"Saya tertarik dengan Emeer. Walaupun menghadapi masalah mic tadi, Emeer masih bersemangat untuk meneruskan persembahan Emeer," ujar Datuk Siti Nurhaliza yang kagum dengan sikap profesional yang ditunjukkan oleh peserta berusia 12 tahun itu.

Peserta kegemaran penonton di studio, Badri atau nama sebenarnya Badri Ibrahim memilih sebuah lagu romantis yang berjudul Have You Ever Loved A Woman.

Ternyata dia berjaya mengambil hati mereka yang hadir serta panel juri yang berpuas hati dengan persembahannya.

"Itulah lagu kegemaran saya. Saya enjoy dan kamu bakal menjadi seorang idol nanti," ujar Iman.

"Pandai kamu pilih lagu ye. Malah ini merupakan persembahan terbaik. Kamu mempunyai kawalan vokal yang bagus," ujar Datuk Siti.

Saangnya tiga orang peserta kurang memberi impak pada petang tersebut.

Rubisa Tiasin memulakan saingannya dengan sebuah lagu dangdut yang berjudul Penasaran.

Walaupun menunjukkan pergerakan berdansanya, Rubisa masih kekurangnya identiti serta impak.

"Terdapat banyak penyanyi wanita di dalam industri ini. Kamu harus menunjukkan satu kelainan." ujar Iman.

"Kamu kelihatan gementar berbanding dengan minggu yang lalu. Pastikan kamu relaks untuk setiap persembahan kamu," kata Datuk Siti mengenai peserta dari Sabah itu.

Peserta dari Kuala Lumpur, Mimie Aishah pula mendendangkan lagu nyanyian juri tetap MyStarz, Datuk Siti Nurhaliza yakni Destinasi Cinta.

Walaupun menunjukkan peningkatan vokal namun peserta yang mirip-mirip seperti Datuk Siti kurang menyerlah daripada segi penguasaan pentas.

"Kamu berhenti di tempat yang kurang strategik. Kamu harus berada di posisi tengah agar kesemua penonton dapat memberi fokus terhadap kamu," ujar Datuk Siti.

"Kamu ada gaya tetapi kamu masih malu. Kamu mesti rasa selesa dengan diri kamu sendiri," kata Man Kidal.

Peserta dari Sabah, Awang pula gagal memberikan sebarang persembahan yang solid pada petang tersebut. Dengan nyanyian Bertaktha Di Hati, Awang bagaikan tidak bersedia serta bagaikan lupa cue untuk memasuki lagu tersebut.

"Vokal kamu ada pitchy. Walaupun bermula dengan baik, tetapi kamu bagaikan penyanyi karaoke ketika chorus bermula," ujar Iman mengenai peserta tersebut.

"Kamu bagaikan kurang latihan. Selepas ini, kamu harus memastikan bahawa kamu tahu mana untuk masuk semula untuk menyanyi," ujar Datuk Siti.

Kini tinggal sebelas peserta yang bakal bertanding merebut gelaran juara MyStarz. Mereka adalah Hamiza Tasyha Bashir dari Kuala Lumpur; Mimie Aishah (Kuala Lumpur); Rubisa Tiasin@Mimie (Kota Kinabalu); Rachel Wesley (Kota Kinabalu); Shaza Marina Azmi (Johor Bahru); Ahmad Aliff Afif Tirmizie (Kuala Lumpur); Russel Curtis (Kuala Lumpur); Mohd Emeer Iskandar Mohd Bakri (Kuantan); Badri Ibrahim (Kuala Lumpur); Andy Adrian J (Kota Kinabalu) dan Khairul Hizam Kaha (Kuching) 

MyStarz, LG membariskan komposer Farihin Abdul Fattah sebagai pengetua dan Aubrey Suwito selaku pengarah muzik. Program ini mempunyai kelainan tersendiri. Selain diberikan pendedahan latihan sebagai penyanyi, mereka turut terlibat dalam program kebajikan dan aktiviti kemasyarakatan.

Peserta juga akan diberi tips tentang perhubungan awam dan bagaimana untuk menjawab soalan-soalan dari pihak media. Setiap peserta diberi pengetahuan menjaga penampilan diri (grooming) dari minggu pertama sehinggalah ke akhir episod.

Selama 13 minggu juga, semua finalis akan mengikuti pembelajaran muzik di 'LG House' yang disampaikan sekumpulan pemuzik.

Mereka bagaimanapun tidak 'terkurung' di lokasi itu sahaja dan dikehendaki mengikuti modul pembelajaran yang telah disediakan. Mereka bebas berjumpa dengan keluarga dan rakan selepas sesi belajar.

Juara MyStarz, LG berpeluang memenangi wang tunai berjumlah RM100,000, sebuah TV LCD berukuran 42" (kedua-dua tajaan LG) dan rakaman album dengan label antarabangsa.

Penaja utama MyStarz, LG ialah LG sementara penaja penginapan rasmi ialah Best Western Premier Seri Pacific Hotel sementara penaja bersama lain ialah Yamaha Music, Proton Holdings Berhad, KCC Paint Sdn Bhd, Ayamas Food Cooperation manakala penaja pakaian ialah Rizman Ruzaini, ADIDAS (M) Sdn Bhd dan Converse (M) Sdn Bhd.

LG juga menaja pelbagai alat elektrik keluarannya dan telefon bimbit model terbaru LG Shine KE970, penghawa dingin dan juga Chocolate Audio sistem yang terbaru.

iklan

iklan

Iklan