X Close

Adi Putra perlu jalani peperiksaan biasa

Diterbitkan: Jumaat 6 Jul, 2007

PUTRAJAYA:  Pelajar pintar matematik Adi Putra Abdul Ghani, 8, tidak terkecuali daripada perlu melalui peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jika dia mahu ke peringkat pengajian tinggi, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau mengulas berita mengenai Adi Putra yang kini memilih untuk belajar di rumah dengan bantuan beberapa pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, bagi membuat persediaan untuk menduduki A-Level.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Adi Putra tidak tahan belajar di Sekolah Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur selama enam bulan kerana merasakan dia lebih dijadikan bahan uji kaji. Sebelum ini dia dihantar ke sekolah itu setelah ibu bapanya merasakan Adi Putra tidak sesuai belajar di sekolah kebangsaan.

"Bagi saya, itu yang menjadi prasyarat, jika dia tidak menduduki peperiksaan tersebut, dia seperti orang lain yang tidak ada penanda aras. Jika dia benarbenar pintar, hari ini juga dia patut boleh menduduki peperiksaan tersebut," kata Hishammuddin mengenai perkembangan Adi Putra kepada pemberita di sini.

Kelebihan kanakkanak pintar itu dalam matematik telah mendapat publisiti meluas media dua tahun lalu, terutama setelah dia dilaporkan bosan untuk berada bersama murid sebayanya di sekolah kebangsaan tahun lepas, kerana perlu mengikuti sistem pembelajaran standard tahun satu.

Mengulas keluhan Adi Putra yang tidak tahan "dipaksa" belajar semula kelas Matematik gred dua di kolje itu sedangkan kanakkanak itu sudah melepasi gred lima, Hishammuddin berkata ia membuktikan tidak ada satu kaedah yang boleh memenuhi kehendak semua pelajar pintar.

"Sebab dia pintarlah, tidak ada satu kaedah yang boleh memenuhi kehendak semua. Contohnya Adi Putra, di mana sekolah yang telah kita kenalpasti pun tidak sesuai, akhirnya balik ke rumah untuk belajar," katanya.

Terdahulu, Hishammuddin menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan akhir bahas Piala Perdana Menteri ke34 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dijuarai Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Gombak terdiri daripada pelajar tingkatan lima Ismah Mansurah Zainudin, Dahlia Hazirah Jaafar dan Muhammad Kasyful Azim Shahlan (juga pembahas terbaik).

Sementara itu, Hishammuddin berkata kementerian berkenaan akan menawarkan 2,250 tempat tambahan setahun, bagi kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) menjelang 2010.

Beliau berkata peningkatan sebanyak 37 peratus daripada tempat yang ditawarkan ketika ini dibuat melalui pembinaan 15 buah SBP baru di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9). BERNAMA

iklan

iklan

Iklan