X Close

Pengecualian denda hilang MyKad jika ada laporan polis

Diterbitkan: Rabu 4 Jul, 2007

KUALA LUMPUR: Pengecualian denda kehilangan MyKad akan diberikan kepada sesiapa yang kehilangan dokumen itu akibat dirompak, diragut atau menjadi mangsa kejadian bencana alam, jika mereka dapat mengemukakan laporan polis.

Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KDN) Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim berkata pengecualian daripada membayar denda itu juga akan diberikan kepada golongan daif, warga tua dan golongan kurang upaya (OKU).

Beliau berkata pengecualian itu diberikan atas keprihatinan kerajaan untuk meringankan beban golongan terbabit apabila kerajaan memperkenalkan kadar baru denda kehilangan MyKad antara RM100 hingga RM300 tidak lama lagi.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan kadar baru denda bagi keskes kehilangan MyKad sebagai langkah mengatasi masalah kehilangan dokumen peribadi itu yang semakin tinggi.

"Berdasarkan kadar baru itu, denda RM100 akan dikenakan bagi kes-kes kehilangan kali pertama, manakala bagi kehilangan kali kedua (RM200) dan untuk kali ketiga dan seterusnya, denda yang boleh dikenakan ialah RM300," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata kadar baru itu sejajar dengan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (pindaan) 2001, yang diluluskan dan akan diwartakan tidak lama lagi, dan menurutnya Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad meluluskan pindaan ke atas Peraturan itu pada 21 Mei lalu.

Abdul Rahman berkata sebelum ini kadar denda yang dikenakan bagi kes kehilangan MyKad kali pertama ialah RM10, kali kedua (RM20), kali ketiga (RM50) manakala kali keempat dan seterusnya (RM100).

"Bila peraturan baru ini diwartakan kita harap rakyat Malaysia, pemegang MyKad ini lebih bertanggungjawab dan menjaga MyKad ini dengan lebih baik sebagai dokumen peribadi yang sangat penting dan hanya dikeluarkan kepada warganegara sahaja," tegasnya yang menambah bahawa sehingga peraturan itu diwartakan, kadar lama denda akan digunapakai.

Beliau berkata kirakira 2.1 juta kes kehilangan MyKad dilaporkan sejak kad itu diperkenalkan, dengan kira-kira 1,000 kes seumpamanya dilaporkan setiap hari, dan bagi tahun ini sahaja, 58,839 kes kehilangan MyKad dilaporkan.

Terdahulu ketika menjawab soalan Datuk Ir.Shaari Hassan (BN Tanah Merah), dalam persidangan Dewan Rakyat, Abdul Rahman berkata setakat 31 Mei tahun ini, 381,978 rakyat Malaysia masih belum menukarkan kad pengenalan mereka kepada MyKad. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan